Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mahukan cahaya mata sebagai penyeri hidup. Namun, ada juga sesetengah wanita yang belum bersedia untuk bergelar ibu disebabkan komitmen lain.
Misalnya yang belum menamatkan pengajian selain berdepan masalah kewangan. Ia sering dijadikan ‘isu besar’ yang akhirnya mengambil jalan pintas dengan menggugurkan bayi. Kehamilan yang tidak dirancang dan tidak dikehendaki berlaku di seluruh dunia.
Peningkatan kehamilan luar nikah tidak saja membimbangkan ibu bapa dan pemimpin masyarakat, juga menjadi perhatian pakar perubatan kerana banyak kehamilan begini berakhir dengan pengguguran tidak selamat atau pembuangan bayi.
Pada 2012, dianggarkan 40 peratus daripada 213 juta kandungan di seluruh dunia adalah tidak dirancang berdasarkan kajian terkini manakala 85 juta berakhir dengan pengguguran.
Prof dan Pengerusi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Western University Of Health Science Los Angeles (LA) Dr Anita Nelson berkata, lambakan kaedah alat perancang kehamilan di pasaran berserta mekanisma serta aturan pengambilan berbeza adalah penting kepada golongan wanita untuk mengambil tahu mengenai risiko serta faedah setiap produk.
“Golongan wanita juga perlu tahu bahawa keberkesanan kaedah ini adalah sangat bergantung kepada setiap gaya hidup individu dan latar belakang sama ada perancang digunakan dengan betul serta konsisten.
“Antara kaedah pencegah hamil moden termasuk pemandulan, alat intrauterin (IUD), kondom, pil perancang, kaedah kalendar atau pengetahuan hal dan waktu kesuburan wanita.
“Wanita juga dilihat semakin beralih ke kaedah pencegahan kehamilan seperti mengambil pil kecemasan yang biasanya diambil selepas hubungan seks tanpa perlindungan,” katanya ketika ditemui pada bengkel World Contraception Day 2016 di ibu negara baru-baru ini.
Perancangan keluarga secara langsung mengurangkan kadar kematian ibu kerana peluang kehamilan terhad dan komplikasi yang berkaitan dengannya seperti mengurangkan risiko mengalami keguguran yang tidak selamat (mengurangkan tekanan), melewatkan kehamilan pertama dalam kalangan wanita muda yang mungkin mengalami perkembangan pinggul yang pramatang selain kehamilan semula dalam tempoh singkat.
Laporan International Medical School (IMS) yang dikeluarkan baru-baru menunjukkan peningkatan 38 peratus dalam penggunaan pil kecemasan di Malaysia pada April sehingga Jun 2016 berbanding tahun lalu.
Namun, ramai yang tidak sedar kaedah itu tidak sesuai untuk kegunaan berulang disebabkan kesan sampingan dan boleh mengganggu kitaran haid semula jadi.
Walaupun penggunaan alat pencegahan kehamilan meningkat, keperluan yang tidak dipenuhi untuk kontraseptif kekal tinggi. Laporan Institut Guttmacher menekankan bahawa 22 peratus daripada semua wanita dalam usia reproduktif di Asia adalah sama iaitu tidak menggunakan kaedah atau menggunakan kaedah tradisional yang kurang berkesan. Kira-kira 77 peratus daripada semua kehamilan adalah tidak dirancang di rantau ini.
Menurut Anita, satu daripada sebab utama mengapa wanita tidak menggunakan alat pencegah kehamilan adalah disebabkan kebimbangan mengenai kesan sampingan atau risiko kesihatan.
“Ini adalah hasil daripada mitos dan salah faham seks dan kehamilan. Ramai wanita takut bahawa pil hormon kekal boleh menjejaskan kesuburan semula jadi mereka tetapi ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Sementara itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Tang Boon Nee berkata, adalah terlalu biasa dengan salah faham sebegitu.
“Saya terkejut kerana kerap berdepan dengan wanita yang memberi maklumat salah apabila mereka datang untuk merancang kelahiran. Penting untuk wanita berbincang dengan doktor mengenai kaedah merancang keluarga.
“Mereka perlu membuat keputusan yang bijak terhadap pilihan terbaik dengan gaya hidup dan tidak boleh hanya bergantung kepada merancang sendiri,” katanya.
Tahu risiko, faedah alat cegah hamil
Written By zabidi on Tuesday, 4 October 2016 | October 04, 2016
Labels:
Kesihatan
Post a Comment