Headlines News :
Home » » Jangan terperdaya cinta siber

Jangan terperdaya cinta siber

Written By zabidi on Thursday 27 September 2018 | September 27, 2018

Oleh

NAMPAKNYA bilangan wanita tempatan yang terperdaya dengan strategi licik kekasih siber atau lebih popular dengan gelaran seperti African Scam dan Love Scam semakin bertambah. Hampir setiap hari kes seperti ini dilaporkan di akhbar membabitkan pelbagai kategori mangsa dari seluruh negara. Ironinya yang mudah tertipu ini kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita berstatus profesional, berpelajaran dan berkedudukan tinggi. 

Agak mengejutkan apabila pihak polis baru-baru ini mendedahkan ramai yang jatuh muflis akibat mengejar cinta sejati bila wanita tempatan dikatakan sanggup kehilangan RM83.6 juta sepanjang lapan bulan pertama tahun ini di tangan kekasih siber yang tidak dikenali dan tidak pernah jumpa. Jumlah kerugian yang cukup besar ini sekali gus menunjukkan wanita kita sanggup berkorban apa saja tanpa menyiasat sepenuhnya latar belakang lelaki yang dikenali di alam siber.
Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail, berdasarkan statistik yang mereka peroleh jumlah kes membabitkan kegiatan ini terus mencatatkan peningkatan membimbangkan.

Pada 2017, sebanyak 1,652 kes Love Scam dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM61.9 juta di seluruh negara. Bagaimanapun jumlah kes tersebut yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan angka yang cukup membimbangkan apabila mencatatkan 1,301 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM83.6 juta.

Walaupun bilangan kes kelihatan rendah namun jumlah kerugian besar ini amat menggusarkan dan wajar membuka mata semua pihak supaya segera bertindak mengatasinya.

Pihak berkuasa sudah banyak kali mengingatkan tentang modus operandi sindiket ini iaitu, media sosial terus menjadi lubuk untuk penjenayah memancing mangsa. Biasanya mereka akan menggunakan Facebook untuk berkenalan dengan golongan wanita yang dipilih secara rawak.

Dengan berbekalkan ayat cinta mereka mengumpan mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita yang memiliki karier profesional mahupun suri rumah yang kesunyian.

Sindiket ini akan bijak menggunakan kata-kata sehingga akhirnya mangsa percaya sepenuhnya dan sanggup membuat apa saja yang diarahkan. Paling biasa mangsa akan diminta memberikan sejumlah wang sama ada secara terus atau melalui panggilan telefon daripada individu lain yang kononnya mahu memberi bungkusan, namun barangan itu berada dalam tahanan pihak berkuasa sebelum diminta membuat bayaran penebusan.

Sudah terlalu banyak kes seperti ini didedahkan selama ini yang sepatutnya menyedarkan masyarakat.

Antara beberapa kes terbaru adalah seorang pengurus kanan syarikat hartanah kerugian RM100,000 selepas berkenalan dengan lelaki mendakwa warga Eropah yang dikenalinya melalui Facebook April lalu dan kemudian berhubung melalui WhatsApp. Mangsa ditipu apabila dikatakan hadiah yang dikirim bernilai lebih RM1,000,000 ditahan pihak kastam dan perlu dibayar cukai sebanyak RM100,000.

Jelas masalah ini semakin serius dan memerlukan tindakan segera semua pihak. Kita percaya pihak berkuasa sudah melakukan kerja mereka dengan baik namun apakan daya semua kes hanya dilaporkan selepas mangsa menyerahkan duit kepada penjenayah tersebut menyebabkan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pihak berkuasa.

Justeru setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan supaya dapat mencegah kejadian ini terus berulang. Tidak logik untuk kita percaya mereka mengirim hadiah dengan nilai yang begitu tinggi dan kita perlu bayar untuk tebus hadiah tersebut. Ingat, ramai lagi lelaki tempatan yang baik, jujur dan budiman yang boleh dipilih sebagai teman hidup.

Semoga golongan wanita akan ambil iktibar dan segera sedar supaya kita dapat mencegah sindiket ini dari terus berleluasa dan memperdaya wanita tempatan. Cukup-cukuplah jumlah kerugian yang dialami dan bilangan kes yang dilaporkan selama ini.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER