Oleh Afiq Hanif
Industri game di negara ini semakin mendapat perhatian terutama dalam kalangan remaja.
Ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan namun menempa nama di persada antarabangsa.
Namun, kita perlu bertindak bukan saja sebagai pengguna namun potensi lebih besar iaitu bersedia menjadi pembangun game terbabit.
Di Malaysia, program lima hari seperti Level Up KL menjadi pemangkin kepada anak muda, pembangun game tidak kira bernaung di bawah syarikat atau bergerak bebas untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bukan saja sembang kosong tetapi menuntut ilmu dan membuka peluang di peringkat lebih tinggi.
Level Up KL akan berlangsung 5 hingga 9 November ini di Kuala Lumpur yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan turut ditaja Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) dalam usaha melahirkan bakat dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi setaraf pembangun game lain yang popular.
Sejauh mana tarafnya? Sudah pasti di peringkat tertinggi apabila ia menjadi acara Asia Tenggara dan bukan membabitkan seminar semata-mata tapi peluang menjual produk kepada pembangun luar atau memperkenalkan produk kepada penerbit berpotensi.
Selama lima hari, aktiviti dianjurkan begitu menarik minat seperti seminar industri, padanan rangkaian (bertindak sebagai networking) dan perniagaan, Anugerah Game Mudah Alih Antarabangsa SEA (IMGA), SEA Game Jam 2016, padanan projek, pensijilan Unity dan GameFounders Asia - Demo Day.
Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin berkata, ia kali kedua Level Up dianjurkan memandangkan sebelum ini tiada acara khusus untuk pembangun game dan hanya tertumpu pengguna semata-mata seperti Comic Fiesta atau acara e-sukan lain.
“Tiada acara atau program khusus untuk pembangun memasarkan produk mereka,” katanya.
Katanya, Malaysia memerlukan acara berkredibiliti seperti Level Up bagi industri game dan seminar sendiri seperti Persidangan Pembangun Game (GDC) di Amerika Syarikat atau Casual Connect yang paling hampir dengan Malaysia.
“Fokus banyak kepada pengguna dan tumpuan perlu diberikan kepada pembangun game sama ada mereka mempunyai syarikat atau pembangun bebas,” kata Hasnul.
Level Up KL mempunyai dua fokus utama iaitu SEA Game Jam iaitu pertandingan membangunkan game dalam masa 48 jam secara berkumpulan tidak kira sama ada dari Malaysia atau negara Asia Tenggara lain.
Selain itu, kami mempunyai IMGA yang sudah bertapak lebih 11 tahun dan MDEC membawanya secara eksklusif ke Malaysia.
“Pengadil akan datang dan memilih aplikasi game mudah alih terbaik di peringkat Asia Tenggara selepas mereka bermain sendiri game terbabit,” katanya.
Malah, MDEC turut menawarkan pensijilan game Unity bagi memberi pengiktirafan antarabangsa sebagai pakar dalam pembangunan aplikasi game yang tiketnya juga ditawarkan bersama Level Up pada harga murah.
Level Up sebelum ini mendapat sokongan padu daripada pembangun Indonesia.
Menariknya juga, antara pemenang pada salah satu acara tahun lalu memperoleh geran Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) bagi memperkasakan produk mereka.
“Hadir ke Level Up dan memperoleh geran IPCC berjaya membuktikan produk mampu ke pergi jauh ke depan,” katanya.
Kenapa pembangun perlu menyertai Level Up?
“Ia acara khas untuk pembangun game dengan tema ‘Level Up Locally Growing Globally’, inisiatif MDEC dalam menaik taraf keupayaan mereka,” kata Hasnul.
Ia platform sesuai untuk belajar, mencipta hubungan rangkaian dan menjual produk masing-masing memandangkan Level Up acara bersifat serantau dengan kehadiran nama besar seperti EA, Sony, Ubisoft dan Bandai Namco.
“Mereka mungkin mencari pembangun untuk membangunkan sesuatu iaitu vendor mereka,” katanya.
Katanya, syarikat gergasi ini mempunyai akses kepada peserta Level Up dan mampu melihat keupayaan syarikat tempatan.
“Mereka juga akan memberi seminar dalam beberapa siri khas,” kata Hasnul.
Sehingga kini, Level Up mengesahkan 35 penceramah dan masih menyasarkan sehingga 50 lagi bagi sesi seperti panel perbincangan atau ‘keynote’.
“Kami sasarkan sekurang-kurangnya 400 pembangun hadir.
“Tahun lalu kami mencatatkan lebih 450 peserta namun kami tidak boleh membuka lebih banyak ruang kerana mahu pembangunnya mendapat sesi lebih rapat dengan aktiviti yang ada,” jelas Hasnul.
Terdapat 60 pembangun dan penerbit berstatus MSC yang ada di Malaysia sekarang namun lebih 700 penggiat industri berada di Malaysia.
“Lebih ramai lagi hanya sebagai pencinta game sebab itu kami mahu mereka ini melangkah ke perniagaan,” katanya.
Hasnul berkata, pencipta game sangat teruja membangunkan game namun ramai tidak mengambil peluang perniagaan hasil game terbabit.
“Ya, kamu boleh buat game yang bagus tapi jika tiada pelan perniagaan, anda tidak boleh membawa game anda ke lonjakan berikutnya sebab itu wujudnya Level Up ini dan aktiviti lain seperti GameFounders,” tegas Hasnul.
MDEC menawarkan mentor juga bagi membolehkan mereka sedia untuk maju.
“Syarikat game bukan lagi game saja tapi menjadi syarikat analisis data yang boleh membaca data pengguna dan melihat peluang menghasilkan pendapatan daripadanya,” kata Hasnul.
Ramai yang berupaya mencipta game tapi ramai yang tidak tahu menarik perhatian pengguna membayar sesuatu daripada game terbabit. Akhirnya pengguna bermain secara percuma saja.
“Kami mahu mereka faham bagaimana buat duit daripada game ini kerana ramai pengguna tak mahu membayar untuk game tapi ada syarikat tempatan yang berjaya membuatkan pengguna bayar secara berterusan untuk game dibangunkan,” jelas Hasnul.
MDEC juga kini dalam proses membuka hab Level Up di Kuala Lumpur sebagai pusat komuniti untuk pembangun game yang dilengkapi akses teknologi dan program mentor.
“Kalau anda bersedia atau mahu menjadi sebahagian pencipta game, sertai kumpulan di Facebook terlebih dulu seperti GameJam Collective Malaysia dan Game HQ untuk menyertai perbincangan dan mempelajari selok-belok mengenai pembangun game,” kata Hasnul.
Buat duit dengan game
Written By zabidi on Thursday, 6 October 2016 | October 06, 2016
Labels:
Teknologi
Post a Comment