Tidak berputus asa menghasilkan karya terbaik, Pekin Ibrahim berharap filem kedua arahannya, KL Wangan mampu berdiri setanding filem antarabangsa.
Malah dia yang turut beraksi dalam filem itu mahu taruhan terbarunya berjaya menembusi pasaran luar negara dan meraih penghargaan seperti karya terdahulu, Mat Moto.
Bertemu di lokasi penggambaran KL Wangan baru-baru ini, Pekin berkata, dia bersyukur filem itu mendapat sokongan dan tajaan penuh Volkswagen Malaysia.
Baginya satu penghargaan yang tidak ternilai apabila syarikat pengeluaran kereta antarabangsa memandang karya seni anak tempatan.
Malah bajet filem yang kini melebihi RM5 juta tidak menjadi masalah buat penaja untuk terus menyalurkan dana.
“Syukur, mereka percayakan saya. Justeru, saya kena bekerja lebih keras bagi memastikan penggambaran filem ini berjalan lancar.
“Insya-Allah penggambaran akan berakhir sekitar dua bulan. Soal kos saya tidak mahu lokek dan apa sahaja diperlukan kru produksi saya cuba penuhi kerana mahu setiap babak yang dihasilkan nampak lebih realistik.
“Jika di Hollywood ada Fast and Furious, saya di Malaysia pula ada KL Wangan. Wangan saya ambil sempena nama perlumbaan kereta yang sudah lama menjadi kegilaan masyarakat Jepun.
“Banyak kajian saya lakukan untuk menghasilkan filem ini. Malah saya sedang menyenarai pendek pelakon undangan dari Hollywood untuk tampil sebagai cameo.
“Andai perlu ke Los Angeles untuk merakamkan babak membabitkan pelakon itu, tidak mustahil saya dan kru akan ke sana,” katanya yang berpuas hati dengan pembikinan filem itu.
Meskipun berdepan banyak dugaan, Pekin gembira dikelilingi tenaga kerja profesional. Malah masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan sehingga memudahkan segala urusan.
“Saya tahu bukan mudah menguruskan ramai kru. Filem ini menggunakan kepakaran 40 kru, 10 pelakon lagak ngeri dan 20 pelakon aksi gaduh.
“Satu cabaran besar apabila saya perlu memastikan ia berjalan lancar. Namun saya bersyukur setiap mereka tahu kerja masing-masing. Malah kami akan sama-sama berbincang bagi memastikan setiap babak dapat dihasilkan sebaik mungkin.
“Menariknya, menerusi filem ini saya menggunakan kamera jenis Phantom. Saya bawa jurukamera dari Singapura untuk menguruskan kamera ini. Setiap hari tiga kamera kami gunakan bagi mendapatkan sudut yang menarik dan realistik.
“Babak berlumba di jalan utama yang banyak kereta juga tidak mudah untuk kami. Saya perlu memastikan tiada aksi kemalangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar meskipun babak berkejar di sekitar jalan di Pavilion dan KLCC hampir berlaku kemalangan,” katanya.
Sambung Pekin, dia tidak salah memilih barisan pelakon kerana semuanya profesional.
Malah, Faizal Hussein sendiri banyak melakukan aksi lagak ngeri tanpa menggunakan khidmat orang lain.
“Saya kagum dengan semangat setiap pelakon dalam menjayakan filem ini. Masing-masing komited dan bersungguh.
“Abang Faizal misalnya, saya tidak menyangka dia mahu lakukan sendiri babak aksi. Pada mulanya bimbang juga tetapi saya akur apabila dia cakap mahu cabar diri,” katanya.
Pekin berkata, boleh dikatakan semua jenis kereta ada dalam filem ini. Justeru, dia berharap semua pelumba atau penggemar kereta akan berpuas hati menonton filem itu nanti.
Sinopsis
Mengisahkan Hong dan Yudi yang ada sejarah yang panjang dalam perlumbaan drag. Mereka bermula dari bawah hinggalah mendapat kepercayaan memandu kereta berkuasa besar.
Selepas sekian lama tidak menyertai sebarang perlumbaan berikutan sibuk dengan perniagaan masing-masing, mereka bertemu di jalan raya. Ketika berlumba, Hong kemalangan.
Hong cuba mencari pemilik kereta yang menyebabkan dia kemalangan tanpa menyedari kereta itu sebenarnya milik Yudi.
Bermulalah pelbagai agenda dan pergelutan yang akhirnya menemukan mereka dengan Ejay. Siapakah Ejay? Apakah kaitan Ejay dengan Hong dan Yudi?
Aksi mendebarkan di jalan raya
Written By zabidi on Thursday, 6 October 2016 | October 06, 2016
Labels:
Hiburan
Post a Comment