Headlines News :
Home » » Pusat percutian keluarga

Pusat percutian keluarga

Written By zabidi on Monday 5 September 2016 | September 05, 2016

Kedudukan yang strategik bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan menjadikan A’Famosa Resort pusat percutian keluarga yang sangat mudah untuk dikunjungi.

Pusat percutian seluas 520 hektar itu bukan sekadar resort biasa kerana turut menyediakan pelbagai tarikan seperti taman tema, penginapan, padang golf bertaraf antarabangsa dan pusat beli-belah Freeport A’Famosa Outlet (FAO).

A’Famosa menyediakan tiga penginapan iaitu hotel, kondo dan vila menawarkan bilik serta suite dilengkapi balkoni peribadi dengan pemandangan padang golf serta pelbagai kemudahan lain seperti televisyen, peti sejuk mini serta kemudahan membuat teh dan kopi.

Selain itu, vila empat bilik standard dan superior pasti memberikan keselesaan kepada mereka yang bercuti bersama keluarga kerana dihiasi dengan reka bentuk dalaman unik dan ruang tamu luas.

Menambahkan lagi keseronokan, mereka yang datang bersama ahli keluarga boleh menghabiskan masa di Water Theme Park yang menawarkan lebih 14 slaid air yang pastinya memberi kepuasan serta pengalaman berbeza.

Pengunjung boleh mencuba permainan menyerupai kon aiskrim gergasi atau ‘Big Ice Cream’ membuatkan mereka seolah-olah ditelan ke dalam kon sebelum meluncur keluar melalui terowong.

Selain itu, permainan ‘Wahaha’ juga memberikan pengalaman menyeronokkan kerana pengunjung berpeluang merasai debaran seolah-olah ditelan ombak tsunami dan memberi kejutan adrenalin apabila pintu empangan dibuka setiap dua minit menyebabkan pengunjung melambung serta berpusar mengikut alunan ombak.

Permainan terbaharu, ‘Hula-hula’ yang direka khusus bagi yang mahukan cabaran dijamin memberikan kepuasan berganda kepada mereka mencuba­nya, manakala bagi kanak-kanak permainan sesuai untuk mereka ialah Lazy River, Wave Pool, Family Raft, Arabian Village dan Kids Adventure Pool.

Peminat haiwan boleh singgah ke Safari Wonderland untuk melihat sendiri gelagat haiwan seperti burung, binturong, orang utan, harimau, unta, zirafah dan pelbagai lagi haiwan.

Pengembaraan di Safari Wonderland bermula dengan Elephant Encounter Show, Multi Animal Fun Play, Colour Of The Birds dan Wild Wild West Show yang sesuai bagi kanak-kanak kerana mereka dapat mempelajari banyak perkara sambil berseronok.

Bagi yang gemarkan cabaran, A’Famosa menyediakan dua aktiviti menarik iaitu `Tiger Encounter’ di mana anda boleh memberi makan kepada harimau secara dekat menerusi konsep safari terbuka dan ‘Crocodile Alive’ iaitu menyuapkan makanan kepada buaya menggunakan pancing di kolam Safari Wonderland.

‘Animal Ride’ pula menjadi aktiviti pilihan utama pengunjung terutama kanak-kanak apabila berkesempatan menunggang gajah, unta dan pony (kuda padi) yang jarang ditawarkan di pusat percutian lain.

Pengunjung juga berpeluang menyentuh pelbagai jenis monyet jinak di ‘Monkey Island’ dan pelbagai haiwan lain di Walk Thru Area termasuk badak air yang menjadi tarikan terkini ke resort itu.

Percutian di A’Famosa tidak lengkap jika pengunjung tidak meluangkan masa di taman tema Old West yang dikenali sebagai Cowboy Town sebelum ini. Kemeriahan pesta di Old West lebih menarik dengan ‘4D Cinema’ taman tema bagai pesta ria untuk kanak-kanak dan nikmati perarakan `Carnival Musical Parade’, `Red Indian Show’ dan pertunjukan bunga api mempesonakan yang menghiasi langit bagai mimpi indah.
Bagi yang mahu membeli-belah dan bersantai, FAO paling sesuai kerana menyediakan pelbagai kedai menawarkan jenama seperti Puma, Skechers, Hush Puppies, Brooks, Levi’s dan Nike.

Bukan sekadar pakaian biasa, FAO juga menyediakan kedai menujal aneka makanan seperti KFC, Marrybrown dan Papparich, AuntieAnne’s. Pengunjung juga boleh singgah ke gerai menjual makanan seperti Fahmy Satay, Ali Mamu’s Kitchen, Claypot (asam pedas & cili pedas) dan Topsizzler.

Pada tahun ini, A’Famosa akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti ‘Superkid 2016’(September), Holloween Day dan Member Day (Oktober) dan hari kanak-kanak (November).

Selain itu, Promosi Merdeka juga diadakan sepanjang Ogos dan September melalui tempahan menerusi laman web A’Famosa Resort. Dengan harga dari RM168, pengunjung boleh mendapat penginapan selama dua hari satu malam, sarapan pagi dan tiket masuk ke Old West.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER