Siapa pun kita baik lelaki mahupun perempuan mesti ada pekerjaan yang tetap untuk mendapatkan pendapatan atau wang bagi menyara kehidupan kita. Demi menampung pendapatan keluarga, lazimnya kita keluar pagi bekerja dan petang baru kembali ke rumah, bahkan ada yang menjelang malam baru berada di rumah bertemu keluarga setelah seharian bekerja.
Oleh sebab itu perlu sebagai seorang wanita/isteri yang bekerja menjaga maruah diri, maruah ibu bapa, dan maruah suami, semoga kerja kita itu mendapat reda Allah. Jadikan tempat kerja kita itu sebagai ladang pahala: Kerja sebagai ibadah dan bekerja kerana Allah.
Jadikan Allah tujuan utama hidup kita dan mencari reda Allah adalah hala tuju kita. Jaga akidah, ibadah dan akhlak walau siapa pun kita dan di mana pun kita berada. Tentukan solat tepat pada waktu dan menutup aurat.
Kedua, menjaga maruah dan amanah keluarga. Kalau kita seorang anak jagalah maruah ibu bapa dan kalau kita seorang isteri jagalah maruah suami. Wanita keluar bekerja dengan izin ibu bapa dan suami, jadi sangat penting wanita menjaga batas pergaulan antara lelaki dengan wanita di tempat kerja. Jangan terlalu rapat atau sentiasa berdua-dua dengan pekerja lelaki kalau bukan kerana urusan kerja, bimbang timbul fitnah. Jangan mudah berkongsi kisah peribadi atau keluarga dengan rakan sekerja lelaki kita, kerana akan menimbulkan rasa simpati dan kasihan yang akhirnya mungkin membibitkan rasa kasih sayang di luar batasan.
Ketiga, menjaga hubungan sesama manusia: Walau siapa pun kita dan di mana pun kita berada dan dengan siapa pun kita bekerjasama, kita tetap sama dari segi sikap, tingkah laku, keimanan, dan hati budi.
Contohnya, kadang-kadang kita seorang pekerja yang baik di pejabat, tetapi di rumah kita seorang isteri yang kasar dengan suami, garang dengan anak, sombong dengan ibu dan bapa mentua atau kita seorang ibu mentua yang mengongkong. Atau sebaliknya, di rumah bukan main lembut kita sebagai isteri dengan suami, tetapi di tempat kerja garang, sombong dan tunjuk kuasa.
Keempat, jadikan tempat kerja sebagai ladang pahala: Semua pekerjaan dan perbuatan bermula dengan niat. Niatkan bekerja sebagai ibadah tempat kita mencari rezeki dan pahala. Bagi wanita yang sudah berkahwin dan mendapat redha suami untuk bekerja, gunakanlah peluang yang suami berikan kepada kita itu, sebagai laluan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan keluarga. Kalau isteri berjawatan tinggi lebih daripada suami, tinggalkan jawatan itu apabila balik ke rumah. Hormatkan suami dan sentiasa mengasihi dan menghargainya, kerana syurga seorang isteri atas reda suaminya.
Keyakinan diri
Kelima, keyakinan diri: Orang yang tidak yakin kepada dirinya bermakna dia tidak yakin kepada Allah.
Sebaliknya orang yang berkeyakinan diri dia percaya bahawa tidak akan berlaku musibah ke atasnya kecuali dengan ketentuan Allah, dan dia hanya berlindung dan bertawakal kepada Allah, dia tidak akan bertuhankan/mengagungkan/mendewa-dewakan manusia. Sebagai pekerja wanita mesti mempunyai keyakinan diri yang tinggi walaupun kita berada dalam kalangan pekerja lelaki yang tentunya dari segi fizikal kelihatan mereka lebih hebat. Amalkan sikap kerjasama dan elakkan persaingan yang boleh menimbulkan perasaan negatif, kecuali persaingan positif yang boleh membangunkan semangat yang positif.
Keenam, jangan berasa diri penting: Sebagai pekerja jauhi sifat keegoan. Kita seorang wanita yang secara fitrahnya mempunyai sifat yang lemah lembut dan sopan apabila berkata-kata. Kalau kita wanita yang berjawatan tinggi, sebagai ketua atau majikan jangan berasa diri kita hebat dan besar, kerana kita berasakan rezeki pekerja bawahan kita terletak dalam kekuasaan kita. Ingat bahawa sebenarnya rezeki seseorang itu dalam genggaman Allah, hanya melalui kita.
Ketujuh, jangan mengharapkan penghargaan orang: Apabila kita melakukan kerja sebagai pekerja jangan mengharapkan balasan, seperti kenaikan pangkat, pujian dan penghargaan. Lakukan kerja dengan ikhlas kerana Allah dan kerja sebagai ibadah.
Kelapan, memudahkan jangan menyusahkan urusan: Bekerjalah dengan kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain. Kasih sayang membuatkan kita bekerja dengan sepenuh hati. Dan dengan menghormati kedudukan masing-masing, sama ada kita pekerja bawahan atau kita ketua akan mencipta suasana bekerja yang harmoni dan bertolak ansur. Mudahkan urusan yang susah dengan sikap bertolak ansur, dan jadilah kita orang yang senang melihat orang senang dan susah melihat orang susah.
Kesembilan, jangan merungut, mengeluh, dan menyesal: Setiap kali melaksanakan kerja berpeganglah kepada prinsip ‘saya mahu melakukan kerja’ bukan ‘saya kena melakukan kerja’. Sebab jika kita berprinsip ‘kena melakukan’ bermakna kita akan berasa terpaksa dan kita menjadi mangsa. Tetapi, kalau kita berprinsip ‘mahu melakukan’ bermakna kita dengan rela melakukan kerja itu dan kita akan bekerja bersungguh-sungguh, maka kita tidak akan merungut, mengeluh dan menyesal.
Kesepuluh, amalkan konsep bahagia membahagiakan: Kita akan sentiasa berada dalam keadaan bahagia kalau kita sentiasa memberikan kebahagiaan kepada orang yang mendampingi kita. Wujudkan suasana kerja yang ceria bukan stres. Keceriaan menambahkan kreativiti dan inovasi, tetapi ketegangan suasana/stres dalam suasana kerja menjadi punca penyakit-penyakit kronik.
Dengan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’, kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memberi perkhidmatan lebih daripada biasa, kerana kita bekerja dengan niat kerana Allah dan tempat kerja itu adalah ladang pahala kita. Pada hakikatnya memang kita hanya akan dapat berdasarkan nilai yang kita beri. Iaitu, kita dibayar berdasarkan keperluan yang dibayar, dan bagaimana bagus atau tidak kita melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita.
* PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD
Profesor Oftalmologi,
Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS)
FELO DAKWAH YADIM
Post a Comment