Oleh Afiq Hanif
Kemerdekaan yang dikecapi membolehkan usaha menjadikan Malaya negara yang bebas dengan acuan tersendiri.
Selepas 59 tahun, arus pembangunan negara semakin hangat menerusi pelbagai perubahan yang memberi impak kepada kehidupan seharian rakyat daripada hanya megah dengan pertanian kepada sektor lebih menguntungkan.
Dalam menghadapi 10 tahun akan datang, kemerdekaan yang membawa erti pembangunan juga tidak terlepas dari arus pemodenan terutama membabitkan teknologi semakin canggih.
Beberapa perubahan ketara teknologi perlu menjadi fokus untuk Malaysia meneruskan kecemerlangan.
Daripada hanya menjadi hamba beralih kepada pemacu pembangunan digital yang boleh membuatkan negara lain terlopong meskipun Malaysia masih muda secara relatifnya.
Internet untuk segalanya (IoT)
IoT mula menunjukkan taring, bermakna mungkin periuk nasi anda sendiri akan dipasang dengan Internet membolehkan anda memasak nasi jauh dari rumah.
Peranti elektronik mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat serta pergerakan pengguna.
Revolusi teknologi masa depan menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet.
Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata menyaksikan Internet muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.
Di Malaysia, pelaksanaan Pelan Induk Internet Untuk Segalanya (IoT) menjadi petunjuk masa depan Internet yang lebih luas.
Jika ada pendekatan yang jelas, tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara dalam IoT.
Kajian menunjukkan, terdapat 50 bilion peranti disambungkan di Internet pada tahun 2020 berbanding jumlah penduduk yang ketika itu hanya berjumlah 7.6 bilion.
Kenderaan cekap tenaga (EEV)
Sudah ada Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 diperkenalkan dua tahun lalu dan antara agenda diberi penekanan dalam insentif berkenaan membabitkan pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) dan mendorong menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan dalam segmen itu menjelang 2020.
Namun masih perlu diberi lonjakan kerana ia agak perlahan terutama membabitkan pemilikan dalam kalangan rakyat.
Antara sebabnya sudah pasti membabitkan harga yang mahal meskipun EEV penting dalam menjamin kestabilan persekitaran hijau yang Malaysia nikmati sekarang.
Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini terdapat beberapa syarikat memperkenalkan pelbagai model kenderaan dalam segmen EEV iaitu kenderaan elektrik dan hibrid namun ia belum menjadi pilihan.
Nasib baik inisiatif kenderaan seperti bas elektrik diperkenalkan di Melaka menjadi pemula yang baik apabila kita bercakap mengenai pengangkutan awam.
Teknologi kesihatan
Ia perlu diketengahkan bagi mengumpul sebanyak mungkin data pesakit yang boleh membantu mengurangkan masa menunggu dan merawat secara lebih cekap.
Jika perkakasan dan perisiannya boleh disesuaikan dalam suasana kesihatan di negara ini, tahap kecekapan boleh meningkat berkali ganda.
Maklumat kesihatan pesakit perlu diselaraskan yang boleh diakses mereka di mana saja dan ia memerlukan prasarana mampu urus, mengumpul, menterjemah serta menghantar data.
Sudah pasti ia memberikan jaminan kepada rakyat yang lebih sihat dengan penggunaan teknologi.
Sekolah digital
Mengajar subjek pengekodan memang langkah terbaik bagi sekolah di Malaysia namun paling penting, sistem persekolahan yang diubah secara menyeluruh menjadi lebih digital.
Paling asas, pengajaran berasaskan papan putih atau papan hitam mungkin boleh ditukar kepada skrin yang lebih interaktif.
Ia sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran selain mengurangkan penggunaan kertas.
Sekolah boleh memanfaatkan aplikasi untuk komunikasi antara ibu bapa dan pelajar yang memungkinkan pemantauan dan interaksi lebih efisien.
Malah penggunaan gajet elektronik seperti peralatan multimedia seperti persembahan slaid dan ‘power point’ membolehkan guru menyampaikan pelajaran dengan cara lebih ‘hidup’.
Ia pembelajaran menyeronokkan yang memberi pengalaman audio dan visual kepada murid malah perhatian murid serta interaksi dengan guru lebih tinggi.
Bandar pintar
Lihat saja perancangan bandar yang belum sempurna memandangkan kekangan tertentu. Teknologi boleh menjadikannya lebih baik.
Beberapa model bersepadu termasuk sistem trafik, pengawasan dan pengurusan kerajaan boleh diuruskan dengan teknologi yang tidak tertumpu kepada hanya tumbuhnya bangunan seperti cendawan semata-mata.
Kemerdekaan dan teknologi
Written By zabidi on Monday, 5 September 2016 | September 05, 2016
Labels:
Teknologi
Post a Comment