Mengapa maklumat di alam maya ini penting untuk dibahaskan dalam tulisan ini pada kali ini? Banyak contoh sebenarnya yang kita boleh ambil dari segi peri penting dan kritikalnya ledakan maklumat di alam maya ini. Sebagai contoh dalam bidang politik dan pemerintahan masa kini.

Jatuh bangunnya sesebuah negara atau seseorang pemimpin amat bergantung kepada kemampuan menguasai maklumat di alam maya ini. Trend pada hari ini, rakyat lebih memilih media sosial bagi mendapatkan informasi berbanding dengan akhbar, majalah dan lain-lain. Ini adalah kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh media sosial seperti informasi terkini, kos yang murah, mudah dicapai di mana sahaja, boleh mendapatkan maklumat dalam bentuk audio dan visual serta banyak lagi.

Maklumat ini sedikit demi sedikit akan mempengaruhi minda rakyat sesebuah negara. Maklumat-maklumat ini akan terbentuk secara perlahan-lahan di dalam kotak pemikiran rakyat dan akhirnya setelah bertahun-tahun perkara itu akan menjadi satu ideologi ataupun pegangan yang mantap.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan cubaan rampasan kuasa yang berlaku di Turki dan me­ngapa usaha itu menemui kegagalan. Mungkin banyak sebab yang boleh kita katakan tetapi apa yang ingin diutarakan di sini adalah peranan cybertrooper di belakang tabir.

Rakyat Turki telah menyahut seruan pemimpin mereka, Recep Tayyib Erdogan untuk berkumpul di jalan-jalan raya. Walaupun tembakan dan letupan telah menggegarkan kedua-dua bandar raya Istanbul dan Ankara selepas tentera mengambil kedudukan di kedua-dua bandar tersebut.

Apa yang kita dapat pelajari daripada peristiwa itu adalah kemampuan menguasai alam maya atau media sosial ini. Untuk menguasai alam maya ini terdapat dua cabaran besar. Pertama adalah dari segi pengisian atau informasi di alam maya ini. Apakah maklumat-maklumat terkini yang perlu diberi kepada rakyat?

Siapakah yang berperanan untuk bertindak sebagai cybertrooper? Bagaimana sepatutnya pihak kerajaan dapat memikirkan bagaimana untuk melantik beribu-ribu cybertrooper secara sukarela yang boleh berperanan di media sosial ini?

Cybertrooper ini sepatutnya dilatih agar memberikan maklumat yang tepat dan betul. Maklumat yang dirujuk dari sumber yang boleh dipercayai sahaja. Cybertrooper yang dilatih dengan penuh integriti dan terdiri dari pelbagai bidang dan pelbagai peringkat dan kaum.

Cabaran yang kedua untuk menguasai media sosial ini adalah berkaitan dengan kepakaran dari segi teknikal berkaitan teknologi maklumat ini. Kepakaran teknikal ini sangat penting untuk dikuasai kerana teknologi ini cepat berubah dengan versi-versi yang baharu. Sebagai contoh, Web 1.0 adalah generasi pertama web yang berfungsi sebagai pemberi informasi dan maklumat yang bersifat satu arah dan statik. Segala isi kandungannya adalah di tangan admin.

Contoh adalah seperti e-mel, forum dan chat. Sebelum ini ruangan untuk bersembang atau chat adalah seperti di #IRC yang mana ada saluran-saluran seperti #veteran, #kampung dan lain-lain lagi. Pada ketika itu, bersembang hanya dalam berbentuk tulisan sahaja. Tidak ada gambar, video, rakaman suara yang dapat dikongsikan.

Namun, perkembangan teknologi bergerak pantas dan seterusnya memperkenalkan kita kepada Web 2.0 yang mana isi kandungan web tersebut tidak sepenuhnya dipegang oleh admin tetapi pengunjung juga boleh mengendalikannya. Ini membolehkan pengguna berinteraksi di media sosial dan membentuk komuniti maya.

Pengguna boleh memberi komen-komen, memberi pendapat, memuat naik video, gambar serta boleh menyanyi bersama-sama atau berkaraoke yang merentasi negara. Contoh-contoh Web 2.0 ini adalah seperti Facebook, YouTube, Smule serta banyak lagi.

Perkembangan web 2.0 tidak berhenti setakat itu tetapi berkembang kepada Web 3.0. Apakah web 3.0 ini pula? Satu contoh perkembangan dalam Web 3.0 adalah seperti web semantik (web bermakna), micro-network, clouding computing serta lain-lain. Contoh-contoh lain seperti bagaimana kita ingin mendapatkan maklumat yang tepat mengenai harga kereta termurah dalam tahun tertentu misalnya.

Isu teknikal yang seterusnya ialah Internet of Things (IoT). Apa itu Internet of Things? Internet of Things ini adalah satu senario di mana benda, haiwan atau manusia di beri pengenalan khas (IP) dan membolehkan data dipindahkan melalui rangkaian tanpa menggunakan interaksi manusia-kepada-manusia ataupun manusia-kepada-komputer.

Sebelum ini, penggunaan Internet hanya melibatkan manusia, komputer dan rangkaian iaitu melibatkan perpindahan data di antaranya. Kini, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin maju dan penggunaan teknologi ini bukan hanya melibatkan manusia tetapi juga melibatkan benda dan haiwan yang dikenali sebagai Internet of Things (IoT).

Satu lagi isu teknikal yang menarik untuk kita fikirkan ialah isu Big Data. Setiap hari, kita menjana 2.5 quintillion byte data sehinggakan 90 peratus data di dunia hari ini dijana dalam tempoh dua tahun ini sahaja.

Data ini datangnya dari merata tempat: pengesan untuk mengumpul maklumat cuaca, maklumat yang dimuatkan di media sosial, gambar digital dan video, rekod belian dan transaksi, isyarat GPS telefon bimbit dan sebagainya. Big Data ini berdasarkan tiga parameter iaitu volume, velocity dan variety. Dengan kata lain, Big Data adalah lebih daripada suatu koleksi besar data dan cabaran pengurusan serta penyimpanan.

Sebagai kesimpulan, teknologi yang terdapat pada hari ini menjanjikan perubahan yang drastik dari semasa ke semasa. Perubahan dari segi teknologi ini sekali gus akan mengubah cara kita berfikir dan juga gaya hidup kita di masa akan datang sebagaimana yang dikatakan oleh Profesor Stephen Hawking bahawa kecerdasan buatan artificial intelligence yang telah berkembang sejauh ini terbukti sangat bermanfaat, namun beliau bimbang bahawa teknologi ini yang pada akhirnya dapat melampaui kemampuan otak manusia.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).