Headlines News :
Home » » Tak mustahil naik basikal ke pejabat

Tak mustahil naik basikal ke pejabat

Written By zabidi on Tuesday 2 August 2016 | August 02, 2016

OLEH NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED 

WALAUPUN bunyinya macam pelik dan kelakar tetapi percayalah tidak mustahil satu hari nanti rakyat kita terutamanya warga kota akan menjadikan basikal sebagai antara pengangkutan utama ke pejabat masing-masing. Hal ini kerana negara-negara maju yang lain sudah lama mengamalkan budaya berbasikal ke pejabat. Justeru kita yang memasang impian untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak lama lagi juga boleh mengikuti jejak langkah mereka asalkan masyarakat kita lebih terbuka dan berfikiran positif.
Amalan dan budaya berbasikal dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya bukanlah suatu perkara baru.

Dewasa ini minat rakyat kita baik golongan muda mahupun dewasa untuk berbasikal terutamanya untuk tujuan riadah dan kesihatan boleh dikatakan terus meningkat. Ini ditambah pula dengan pelbagai program berbasikal dan kayuhan amal yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan organisasi yang dilihat semakin merancakkan inisiatif untuk menggalakkan rakyat kita berbasikal.

Antara inisiatif yang boleh dipuji penganjuran program KL Car Free Morning oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan OCBC Bank yang diadakan sebanyak dua kali setiap bulan iaitu pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga.
Program KL Car Free Morning dilihat mampu menggalakkan warga kota menggunakan basikal sebagai satu kaedah pe­ngangkutan di ibu kota. Program yang bertujuan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di kawasan bandar itu diadakan setiap bulan bagi memupuk minat warga kota untuk berbasikal. Selain itu, kempen ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan rekreasi serta mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar.

Hakikatnya, budaya berbasikal bukan saja menyumbang kepada gaya hidup sihat tetapi turut membantu menjaga alam sekitar daripada pencemaran asap terutamanya di bandar besar dan sibuk seperti Kuala Lumpur di samping dapat me­ngurangkan kesesakan lalu lintas. Berbasikal sewajarnya menjadi alternatif yang baik kepada pengguna yang mahu mengelak dari kesesakan di ibu negara iaitu sama ada menggunakan kemudahan pengangkutan awam ataupun berbasikal ke destinasi yang hendak dituju.

Justeru penulis berpandangan sudah tidak wajar dan tidak relevan lagi untuk sesetengah golongan masyarakat secara berterusan masih menggunakan alasan bahawa amalan berbasikal ke pejabat kurang sesuai di negara ini kerana faktor cuaca. Betul, kita bukan negara bermusim sejuk seperti Jepun, Korea mahupun seperti di negara Barat lain tetapi sampai bila kita mahukan jadikan itu sebagai alasan dan penghalang untuk membudayakan amalan berbasikal dalam kalangan masyarakat kita?

Dalam konteks ini kita perlu terima hakikat bahawa kita tidak mungkin akan memperoleh musim sejuk seperti itu justeru kita perlu memikirkan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian supaya budaya ini dapat dikembangkan. Pertama, sudah semestinya dari aspek kemudahan infrastruktur seperti laluan khas untuk berbasikal. Kita memuji segala inisiatif yang telah dilaksanakan selama ini oleh pihak DBKL dalam menyediakan laluan basikal dan kita berharap projek laluan basikal akan terus dikembangkan di kawasan strategik sekitar ibu kota supaya pada akhir­nya hampir semua lokasi utama di ibu kota dapat disambungkan dan dicapai dengan laluan basikal yang selamat dan sofistikated.

Seterusnya kita juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menyediakan kemudahan basikal kepada pengguna sama ada kita boleh guna konsep sewa, pinjam ataupun menyediakan kemudahan skim tertentu untuk menggalakkan rakyat kita membeli basikal sendiri. Kebanyakan negara maju menyediakan kemudahan basikal sama ada secara percuma ataupun secara sewaan kepada pengguna yang mahu menggunakan basikal untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di mana mereka boleh pinjam dari satu lokasi dan kemudiannya memulangkan basikal tersebut di lokasi lain.

Dalam pada itu, sebagai galakkan jangka panjang penulis cadangkan pihak kerajaan menyediakan kemudahan skim rebat pembelian basikal agar lebih ramai rakyat kita mampu membeli basikal sendiri. Pihak kerajaan boleh menyediakan subsidi me­lalui skim ini di mana pengguna boleh membeli dan membayar pada harga yang lebih murah serta boleh dibayar secara ansuran.

Ini tidak mustahil untuk dilakukan misalnya pengalaman penulis di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan penyediaan skim rebat basikal banyak membantu pelajar UPM membeli basikal dan membayar secara ansuran pada setiap semester. Melalui cara ini UPM bukan saja menggalakkan budaya berbasikal dalam kalangan warga kampus malah dapat terus memelihara status kampus hijau dengan mengekang dan mengawal pelepasan asap kenderaan yang berlebihan.

Dalam pada itu, rungutan yang biasa kita dengar dalam kalangan orang bekerja adalah keadaan cuaca di negara kita akan menyebabkan kita cepat berpeluh jika berbasikal dan tidak selesa untuk ke pejabat dalam kea­daan berpeluh. Untuk atasi rungutan ini kita perlu memastikan majikan dan setiap pejabat menyediakan bilik salinan pakaian yang khas agar mereka yang berbasikal itu dapat membersihkan diri dan mulakan kerja dengan cergas, sihat dan selesa seperti biasa. Majikan juga boleh menyediakan ruang simpanan basikal.

Ringkasnya, dalam hal ini pihak majikan perlu memainkan ­peranan yang sewajarnya kerana mereka perlu lihat betapa budaya berbasikal akan membolehkan pekerja mereka kekal sihat dan cergas sekali gus dapat meningkatkan produktiviti diri dan juga organisasi.

Memang sukar untuk kita memulakan dan membudayakan suatu amalan yang baru seperti berbasikal ke pejabat ini. Tetapi percayalah tidak mustahil untuk dilakukan andai semua pihak berfikiran terbuka dan positif di samping kesediaan pihak kerajaan untuk menyalurkan sedikit peruntukan dan pelaburan jangka panjang bagi menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan sebagai galakkan kepada anggota masyarakat yang ingin berbasikal. Kita perlu terima kenyataan betapa berbasikal bukan saja menyumbang kepada kesihatan dan kecergasan badan tetapi turut menyumbang kepada aspek penjagaan alam sekitar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara ini.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER