Headlines News :
Home » » Vaksin: menerima pendapat pakar

Vaksin: menerima pendapat pakar

Written By zabidi morad on Tuesday, 2 August 2016 | 1:42 pm

Oleh Malina Osman  

STATISTIK terkini oleh Kementerian Kesihatan mengenai penyakit difteria pada 27 Julai lalu mengesahkan lagi lima kes baru dengan satu kematian. Sejak kes difteria mula dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu dengan mencatatkan beberapa angka kematian, isu vaksin terus menjadi liputan utama dalam diskusi masyarakat kita.

‘Aura’ perdebatan mengenai vaksin ini telah pun berlegar sejak beberapa dekad lalu. Diskusi itu terus menjadi isu hangat di platform media alternatif yang akhirnya pada masa ini mereka yang menolak vaksin membentuk kelompok yang terus mencabar hebat polisi vaksin negara.

Kelompok antivaksin mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, pola amalan yang mereka lakukan secara berasingan itu tidak lagi terbatas secara peribadi. Kewujudan media alternatif membo­lehkan apa sahaja yang dilakukan setiap individu dikongsikan untuk tatapan awam. Ini secara umum sangat mempengaruhi individu yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan pengalaman saintifik.

Sebahagian golongan antivaksin adalah mereka yang terpelajar serta individu yang dihormati masyarakat. Antara hujah mereka menolak vaksin ialah vaksin mempunyai komplikasi sangat bahaya, dianggap menyalahi hukum agama, agenda provokasi Yahudi serta ‘batu locatan’ pihak tertentu mengaut keuntungan.

Walau perspektif berbeza, kita perlu tahu mengapa vaksin itu wujud dan sangat disyorkan, bagaimana vaksin bertindak dalam tubuh kita serta bagaimana sesuatu vaksin itu disahkan selamat sebelum ia disahkan selamat untuk masyarakat awam.Vaksin adalah bahan yang menghasilkan antibodi dalam tubuh seseorang terhadap penyakit tertentu. Ia mengandungi komposit bahan yang dinyahaktifkan kandungan toksiknya, yang mana kandungan biologi itu diperlukan untuk mengaruhkan antibodi terhadap sesuatu penyakit secara semula jadi.

Sebagai contoh, vaksin terhadap difteria mengandungi bahan terdiri binaan molekul tertentu dari kuman difteria yang telah dimusnahkan komponen toksiknya; yang mana binaan itu menyebabkan tindak balas tubuh menghasilkan antibodi terhadap penyakit difteria.

Secara umum, penghasilan vaksin sama seperti penghasilan ubat yang digunakan dalam rawatan perubatan iaitu melalui ujian rawak klinikal yang sangat ketat serta didokumentasikan kesemua kesan sampingan yang berpotensi berlaku. Namun, pengetahuan mengenai rumitnya sesuatu ujian klinikal itu tidak difahami oleh golongan anti vaksin. Mereka secara umumnya mendefinisikan saintifik menurut acuan mereka tanpa asas pengetahuan yang benar. Justeru, fokus perbincangan mereka dalam mengemukakan hujah menolak vaksin menyimpang serta tidak mengikut terma dan syarat ilmu.

Laman web Children’s Hospital of Philadephia memaparkan hasil kajian yang sangat menarik dalam membahaskan isu ini. Pembentangan mereka pada November 2015 itu yang bertajuk Mengapa maklumat anti-vaksin sangat persuasif? Analisis kandungan laman web yang menjelaskan perkembangan strategi promosi vaksin. Kajian tersebut menilai sebanyak 480 laman web antivaksin dan mendapati sebanyak 65 peratus daripada laman web itu mengatakan vaksin sa­ngat bahaya, 62 peratus darinya menyebut vaksin menyebabkan autisme, manakala 41 peratus darinya memberikan maklumat vaksin boleh menyebabkan kerosakan otak.

Untuk menyokong hujah itu, 65 peratus dari laman web itu menyebut ia daripada pe­nemuan saintifik tanpa perincian manakala 30 peratus dari laman web berkenaan bergantung kepada testimoni! Lebih menarik, laman-laman web itu bukan sahaja memberikan maklumat tidak benar mengenai vaksin, 19 peratus daripadanya mempromosikan perubatan alternatif dan 10 peratus daripadanya mempromosikan homeopati. Tambah mengelirukan apabila ada yang mempromosikan diet tertentu sebagai ganti kepada vaksin dan merawat autisme akibat vaksin.

Kajian saintifik sebenarnya bukanlah mainan sesuatu hujah. Dalam mana-mana hasil akademik, tatacara penghasilan serta reka bentuk penyelidikan untuk mengesahkan keberkesanan serta selamat sesuatu bahan perlu diperincikan dengan menyandarkan kepada konsep validiti dan reliabiliti. Adalah tidak benar sekadar menyebut hujah penemuan saintifik namun apa dan bagaimana dilakukan tidak didedahkan. Dalam konteks penyelidikan saintifik, testimoni adalah bukti yang paling lemah untuk memberikan kesimpulan keberkesanan sesuatu bahan.

Dalam isu yang mengaitkan vaksin dan autisme pula, tidak ada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dan autisme. Kajian pada 1998 yang melaporkan hasil penemuan 12 kanak-kanak yang didakwa mendapat autisme akibat vaksin telah ditarik balik oleh majalah Lancet pada 2010 selepas artikel didapati mengandungi data palsu. Penyiasatan lanjut akhirnya mendapati penulis kajian tersebut sebenarnya ditaja oleh kelompok tertentu yang mengemukakan saman terhadap syarikat vaksin tertentu.

Pembohongan data kajian terserlah apabila penyiasatan mendapati lima daripada 12 kanak-kanak yang dilaporkan itu telah pun mendapat autisme sebelum mereka menerima vaksin! Namun, golo­ngan antivaksin terus membuat propaganda dan berbohong mengatakan kes tersebut sebenarnya telah disemak semula dan sebahagian data diperakui benar. Hal seperti inilah sebenarnya menjadi ‘duri dalam daging’ serta digunakan oleh mereka yang tidak kita pasti apa agendanya terus bertindak menentang polisi vaksin.

Kesimpulannya, terlalu ba­nyak skop dalam kehidupan kita yang masih tidak diketahui. Jika kita bukan ahli dalam sesuatu bidang, jangan pula memandai membuat kesimpulan. Tanyalah mereka yang lebih tahu.

PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi Penyakit Berjangkit/ Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER