Bagi pasangan pengantin pula, jika ibu bapa mereka pernah bercerai, melangkah masuk ke alam perkahwinan adalah satu langkah yang mencabar. Malah ramai daripada mereka berfikir panjang kerana takut apa yang terjadi kepada ibu bapa mereka bakal terjadi kepada mereka.

Oleh itu, ada yang memilih untuk tidak berkahwin dengan alasan “takut dapat suami macam bapa” atau “takut beristeri orang seperti ibunya!”

Dalam perkahwinan, perkara utama ialah nafkah semasa berkahwin dan selepas bercerai. Semasa pasangan berkahwin, soal makan minum, tempat tinggal, pakaian dan perubatan isteri serta anak-anak ditanggung suami sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah.

Kebanyakan pasangan hari ini tidak jelas mengenai nafkah kerana kedua-dua pasangan bekerja. Adalah lebih baik merujuk al-Quran dan hadis dalam hal ini. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, 233: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya,”

KETAHUI HAK NAFKAH

Berdasarkan nas tersebut adalah jelas nafkah anak tetap menjadi kewajipan seorang bapa walau dalam apa juga keadaan. Dalam kitab Fiqh al-Manhaj, kewajipan memberi nafkah kepada anak adalah berdasarkan kepada syarat nafkah usul (ayah, datuk) kepada furuk’ (anak, cucu). Usul dimaksudkan dengan bapa dan datuk (usul keturunan) yang wajib memberi nafkah kepada anaknya serta cucunya hingga ke bawah (furu’ keturunan).

Oleh itu, bapa adalah orang bertanggungjawab membiayai nafkah anak sama ada lelaki atau perempuan. Jika anak itu tidak mempunyai bapa, maka datuk iaitu ayah kepada bapa wajib mengambil tanggungjawab berkenaan.

Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa. Ibu tidak dibebankan dengan tanggung jawab itu tetapi apa yang diberikan jika ada dianggap pemberian sumbangan bagi membantu suami.

Justeru, apabila seorang bapa mempunyai harta kekayaan, wajib ke atasnya membiayai nafkah anaknya dengan hartanya. Jika tidak berharta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha mencari kerja yang membolehkannya membiayai nafkah.

Dengan itu, bapa yang menganggur dan mengharapkan ibu membayar keperluan anak adalah lelaki yang tidak amanah dan berdosa. Kitab Fiqh al-Manhaj menjelaskan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anaknya tidak akan terjejas sekali pun mereka adalah berlainan agama.

BUKAN PERKARA MUDAH

Ramai dalam kalangan pasangan muda hari ini agak keliru atau tidak memahami konsep nafkah. Ia adalah kewajipan seorang lelaki yang bernama suami. Wajib bermakna, dibuat dapat pahala dan jika diabaikan mendapat dosa.

Namun hari ini, ramai dalam kalangan suami atau bapa tidak bekerja dan ditanggung isterinya. Isteri menjadi ketua rumah yang bertanggungjawab mencari rezeki.

Dalam kes suami atau bapa tidak sihat, gila atau tidak berkemampuan, maka tanggungjawab itu perlu dipikul oleh keluarganya iaitu bapanya (datuk kepada anak-anak) atau saudara lelaki suami atau bapa.

Persoalannya, adakah ini berlaku?

ANAK JADI MANGSA

Sekarang kita dapati lebih ramai wanita yang bekerja dan suami duduk di rumah akibat diberhentikan kerja atau berhenti kerja untuk berniaga dan akhirnya perniagaan tidak menjadi. Apabila ini berlaku, isteri dibebankan dengan semua tanggungjawab yang sepatutnya ditanggung oleh suami.

Yang lebih mendukacitakan apabila isteri sudah tidak mampu menanggung keluarganya, suami mengambil keputusan meninggalkannya atas alasan tidak mendapat layanan daripada isteri.
 Anak-anak adalah pemerhati yang jujur dan setiap apa yang berlaku dirakam dalam minda mereka dan ia akan berada lama dalam pemikiran mereka.

Dapatkah anak melupakan kesusahannya itu? Hari ini ramai pasangan muda yang bercerai dan ramai juga suami atau bapa yang secara sengaja enggan membayar nafkah anak.