Headlines News :
Home » » Bagus atau tidak pemanis tiruan dalam minuman anda?

Bagus atau tidak pemanis tiruan dalam minuman anda?

Written By zabidi on Monday 29 February 2016 | February 29, 2016

NEW YORK, — Ahli sains masih menggaru-garu kepala, tidak pasti sama ada mengambil pemanis
tiruan seperti dalam minuman diet boleh menguruskan badan atau menggemukkan?

Pemanis tiruan, yang tidak mempunyai khasiat pemakanan, memang tidak mempunyai kalori dan sering dimasukkan dalam makanan untuk membantu mengurangkan berat badan.

Beberapa ujian menunjukkan mereka yang mengambil pemanis tiruan tidak menambah berat seperti mereka yang mengambil minuman bergula, lapor New York Times seminggu lalu.

Namun, lapor akhbar berpengaruh itu, kajian di kalangan ramai responden menunjukkan keputusan sebaliknya. Mereka yang sering mengambil pemanis tiruan boleh mengalami mudarat kesihatan, termasuk menambah berat badan.

Kajian melibatkan 6,814 warga Amerika Syarikat berumur 45 hingga 84 tahun mendapati mereka yang meminum soda diet sekurang-kurangnya sekali sehari lebih berisiko 67 peratus menghidap diabetes jenis 2 berbanding mereka yang tidak mengambil minuman diet, sama ada berat badan mereka bertambah atau tidak.

Kajian itu, yang dijalankan sekurang-kurangnya selama lima tahun, juga mendapati mereka bakal mengalami sindrom metabolisme 36 peratus lebih tinggi, yang boleh mendatangkan penyakit jantung, serangan angin ahmar dan diabetes kemudiannya.

Satu lagi kajian yang dijalankan terhadap penduduk San Antonio selama 10 tahun mendapati mereka yang mengambil lebih 21 hidangan minuman diet setiap minggu berisiko dua kali ganda menjadi gemuk. Lebih banyak minuman soda diet yang diambil, lebih tinggi risikonya.

Ujian berskala besar itu bagaimanapun tidak mencari sebab dan akibat; dan mungkin membayangkan mereka yang bertambah berat badan minum terlalu banyak soda diet.

Dr John Fernstrom, profesor di Universiti Pittsburgh dan juga perunding syarikat perisa makanan terkenal Ajinomoto, mengkaji semula bukti terhadap pemanis tiruan. Beliau menyimpulkan bukti yang mengaitkan pemanis tiruan dengan masalah metabolisme sebagai "tidak begitu meyakinkan".
Tetapi ahli-ahli sains lain lebih berhati-hati, mereka menuntut lebih banyak kajian.

Mereka berhujah, ujian-ujian pada haiwan menunjukkan pemanis tiruan mengubah tindak balas terhadap gula dalam darah tikus dengan mengganggu hidupan mikrob pada sistem penghadaman.

Ada juga ahli-ahli sains mengandaikan pemanis tiruan boleh mengganggu keupayaan badan mengawal gula dalam darah dengan merangsang reseptor rasa manis ke seluruh sistem pencernaan atau mengganggu hormon dan laluan saraf otak yang mengawal kelaparan dan kekenyangan.

"Sehingga kita mengetahui lebih lanjut, kita wajar menggunakan pemanis tidak berkhasiat ini secara berpada-pada.

“Anggap saja ia satu hidangan khas sekali-sekala, bukannya sesuatu yang perlu diminum sepanjang hari," kata M Yanina Pepino, pembantu profesor di Pusat Pemakanan Manusia di Fakulti Perubatan Universiti Washington.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER