Jika Perang Dunia Kedua melibatkan dua pihak utama iaitu Pakatan Axis (Jerman, Itali, dan Jepun) dan Pakatan Berikat (Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, dan Rusia), Perang Dunia Ketiga dijangka membabitkan tiga kuasa utama dunia iaitu AS, Rusia dan China.

Secara teknikalnya, Rusia dan AS sedang berperang, tetapi lebih kepada bentuk peperangan proksi iaitu memainkan peranan penting menga­tur strategi walaupun tidak terlibat secara langsung dengan konflik yang berlaku di serata dunia.

Manakala China sebagai satu daripada kuasa dunia, dianggap sebagai ancaman besar oleh AS dan sekutunya yang bimbang terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan ketenteraan republik itu selain kelantangan Beijing memperluaskan pengaruh serta penguasaan di rantau Asia.

Berdasarkan konflik yang tercetus di seluruh dunia pada hari ini, terdapat lima lokasi panas atau krisis yang berpotensi besar untuk mencetuskan Perang Dunia Ketiga jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat dunia tidak mengambil tindakan bagi mengelakkan episod hitam Perang Dunia Kedua berulang.

Krisis Korea Utara

Pelancaran roket jarak jauh dan ujian nuklear yang dijalankan oleh Pyongyang baru-baru ini ternyata membangkitkan kebimbangan seluruh dunia yang menganggap republik itu tidak goyah dengan sekatan antarabangsa, sebaliknya melaungkan amaran dengan me­lancarkan provokasi dan propaganda secara terbuka.

Di bawah kepemimpinan Kim Jong-un yang jauh lebih muda dan lebih bercita-cita tinggi berban­ding ba­panya, Korea Utara dengan lantang mempamerkan kekuatan untuk menjadi kuasa baharu dunia dengan membangunkan program nu­klear dan peluru berpandu ba­listik yang secara tidak langsung menggugat kedudukan AS di rantau Asia menerusi Korea Selatan.

Sekatan PBB dan antarabangsa juga gagal memberi impak yang besar terhadap ekonomi republik itu dalam program memodenkan ketenteraan, tetapi peperangan antara Korea Utara dan Korea Selatan akan mengheret beberapa negara lain termasuk China, sebagai sekutu Pyongyang, manakala Jepun dan AS memihak kepada Seoul.

Konflik China-India-Pakistan

Krisis tiga negara berkuasa nu­klear ini melibatkan pertikaian sempadan susulan isu tentera China melintasi Garisan Kawalan Sebenar (LAC) yang terletak bersempadan dengan India di kawasan Chumar, timur Ladakh dekat pergunungan Himalaya pada September tahun lalu yang membangkitkan kemarahan New Delhi.

Tiada sebab kukuh boleh mencetuskan perang antara kedua-dua negara memandangkan pertikaian sebelum ini berjaya menemukan jalan penyelesaian, tetapi hubungan baik antara China dan Pakistan berpotensi menjadi punca pergolakan serius, lebih-lebih lagi isu perebutan wilayah Kashmir antara Islamabad dan New Delhi sejak kedua-dua negara mencapai kemerdekaan pada 1947.

Selain itu, dasar Pandang ke Timur yang dipegang oleh India tidak disenangi oleh China kerana polisi tersebut berpihak kepada ­Vietnam dan Jepun yang merupakan seteru lama Beijing.

Pergolakan Asia Barat

Peperangan di Syria yang berlanjutan sejak lima tahun lalu bukan lagi antara kumpulan penentang dan kerajaan, sebaliknya lebih kepada perang proksi antara dua pakatan utama iaitu AS menentang Rusia sebagai merebut gelaran kuasa dunia, manakala Arab Saudi menentang Iran disebabkan fahaman yang berbeza.

Campur tangan AS memberi tamparan buat Rusia sebagai sekutu kuat Syria, tetapi Moscow berpeluang membantu Damsyik apabila berselindung di sebalik kempen memerangi kumpulan militan IS yang diisytiharkan sebagai musuh global.

Kemelut antara Arab Saudi dan Iran bukan sesuatu yang baharu, tetapi hubungan diplomatik kedua-dua negara bertambah keruh susulan hukuman mati terhadap ulama terkemuka Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr pada awal bulan lalu mengundang bantahan keras dari Teheran selain penglibatan Riyadh memerangi pemberontak Syiah Houthi di Yemen juga sebagai usaha mengekang pe­ngaruh Iran di rantau Asia Barat.

Krisis timur Ukraine

Sebelum Rusia menyertai kempen memerangi militan IS di Syria dan Iraq, isu pemisahan wilayah Crimea daripada Ukraine menarik perhatian dunia terutamanya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bimbang terhadap usaha Moscow memperluaskan pengaruh.

Sentimen pro-Rusia menular pantas di beberapa wilayah lain termasuk Donetsk dan Luhansk sehingga tercetusnya pemberontakan antara kumpulan pro-Moscow dan tentera Ukraine yang disokong oleh NATO yang juga dianggotai oleh AS.

Meskipun konflik itu dilihat semakin reda susulan perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak, NATO mengambil langkah drastik untuk memperkukuhkan kedudukan di timur Eropah de­ngan memulakan perbincangan sejak September lalu bagi melaksanakan Pelan Tindakan Persediaan terma­suk menempatkan kira-kira 20,000 tentera dan aset pertahanan di negara yang bersempadan dengan Rusia.

Pertikaian wilayah Laut China Selatan-Timur
Isu pertikaian di Laut China Selatan dilihat sebagai ancaman utama untuk mencetuskan Perang Dunia Ketiga memandangkan AS secara terbuka menggunakan proksinya di rantau Asia mengekang sebarang tuntutan China terhadap kawasan perebutan.

Di Laut China Selatan, Beijing berdepan bantahan daripada ­Vietnam, Taiwan, Filipina, Malaysia dan Brunei berhubung isu perti­kai­an wilayah terutamanya di Kepulauan Spratly manakala di Laut China Timur, isu perebutan Pulau Senkoku atau Diaoyu membaya­ngi konflik yang lebih besar antara Beijing dan Tokyo jika isu tersebut tidak ditangani secara diplomatik.

Malah tindakan sengaja AS me­nunjukkan kuasa ketenteraan di rantau itu dengan menghantar kapal pemusnah dan pesawat pengebom di kawasan pertikaian sejak kebelakangan ini selain menjalankan urusan penjualan senjata kepada Taiwan, mengeruhkan lagi keadaan dan dikhuatiri China akan bertindak balas secara fizikal.