Rekod itu mirip kepada dominasi Real Madrid dan Barcelona dalam saingan bola sepak Sepanyol dengan pertemuan dua musuh tradisi itu dinamakan sebagai ‘El Clasico’ - perlawanan yang sentiasa dinantikan peminat seluruh dunia.

Berikutan itu, pertembungan Selangor dan Singapura mendapat label sebagai ‘El Clasico’ versi tempatan kerana persamaan dominasi pasukan terlibat dalam saingan liga masing-masing. Namun begitu, sejak ketiadaan Singapura dan Selangor juga agak longgar cengkamannya, sukar untuk melabelkan pertembungan bertaraf ‘El Clasico’ versi Malaysia apatah lagi sudah tidak wujud kuasa dominan seperti mana dahulu.

Kuasa bola sepak tanah air seakan bersilih ganti dengan rekod cemerlang hanya mampu dikekalkan untuk beberapa musim sebelum dilanda prestasi yoyo seperti mana berlaku pada Kelantan, Pahang, Perak, Kedah dan beberapa pasukan lagi termasuk Selangor sendiri.

Bagaimanapun, kemunculan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun lalu memperlihatkan satu usaha yang begitu serius di bawah teraju Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pasukan Harimau Selatan itu yang menjalani proses revolusi dengan setiap posisi dibarisi pemain bertaraf bintang lantas menjadikan JDT kuasa bola sepak baru.

Akhirnya selepas setahun, pelaburan besar mereka berbaloi apabila meraih kejuaraan pertama setelah merangkul Liga Super musim ini biar pun terlepas Piala FA kepada pasukan Pahang.

Ironinya, kemenangan Piala FA buat Pahang yang pernah mendapat jolokan Real Madrid Malaysia pada era 90-an kerana turut memiliki ramai pemain bintang seakan memberi petunjuk yang Tok Gajah kembali bangkit . Bermula dengan menjulang Piala Malaysia 2013 diikuti Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini, reputasi skuad Tok Gajah semakin kukuh apatah lagi mereka berjaya melayakkan diri ke saingan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Justeru, pertemuan Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil antara Harimau Selatan dan Tok Gajah sememangnya menarik perhatian ramai sehingga dianggap final impian.

Malah tidak salah untuk dilabel pertembungan antara dua pasukan ini umpama bayangan ‘El Clasico’ versi dekad baru bagi kejuaraan tempatan menggantikan pertembungan musuh tradisi Singapura dan Selangor. Apatah lagi dalam tempoh dua musim ini, sehangat aksi di padang begitulah juga suhunya di luar padang melibatkan kedua-dua penyokong.

Kebetulan, perlawanan sulung JDT dengan kelibat Daniel Guiza, bekas penjaring terbanyak La Liga dalam saingan Liga Super musim lalu adalah menentang Pahang di Kuantan yang menyajikan drama dengan keputusan berakhir 3-2 memihak Pahang biar pun lawan mendahului dua jaringan pada babak pertama.

Terdapat insiden kecil selepas perlawanan tersebut antara kedua penyokong yang kemudian berlarutan pula dengan hampir setiap perlawanan antara dua pasukan sering berlangsung dalam keadaan tegang. Paling tidak boleh dilupakan pastinya perlawanan separuh akhir kedua Piala FA pada 28 Mei 2013 antara JDT dengan Pahang apabila terpaksa didakan semula di venue berkecuali di Stadium Nasional akibat insiden limpahan penyokong.

Bagi penyokong Pahang, versi mereka permainan malam tersebut boleh diteruskan selepas penonton meninggalkan trek stadium dan menyalahkan pemain JDT kerana meninggalkan stadium lebih awal sebelum pengesahan polis. Maka api persengketaan semakin meluap apatah lagi kewujudan media sosial ibarat minyak yang menyamarakkan lagi sentimen yang ada angkara provokasi dari papan kekunci.

Pada awal musim ini pula berlaku drama perebutan pemain tengah, Mohd. Amirulhadi Zainal antara JDT dan bekas majikannya, Pahang yang menghangatkan lagi perang mulut penyokong kedua-dua pasukan. Di Youtube boleh dilihat video insiden-insiden ini antaranya perlawanan Liga Super 8 Februari lalu di Kuantan yang mana aksi tegang di padang berlarutan melibatkan penyokong hingga mengundang campur tangan polis selain insiden 28 Mei 2013.

Pada perlawanan separuh akhir Piala FA tahun ini yang menemukan kembali antara JDT dan Pahang pada 31 Mei lalu di Kuantan juga tidak terlepas daripada insiden provokasi penyokong.

Insiden seperti ini jika dinilai dari sudut penyokong Pahang tidak berlaku ketika menerima kunjungan pasukan lain. Malah dalam perlawanan separuh akhir kedua tempoh hari menentang Kedah, semangat kesukanan tinggi ditunjukkan penyokong kedua-dua pasukan.

Di sudut JDT, imej segelintir kecil penyokong fanatik dengan ada yang bertopeng hitam masih terus dibangkitkan. Tambahan pula tindakan segelintir penyokong menganggu latihan pemain Felda United di Johor Bahru selain insiden melibatkan negeri jiran tetangga Pahang, Terengganu memanaskan lagi keadaan.

Jika ditinjau di media sosial, provokasi antara penyokong sudah mula berlaku. Jangan biarkan kemeriahan liga tempatan yang suatu ketika hilang seri diganggu gugat oleh sikap segelintir penyokong yang tidak rasional. Jangan dibiarkan gejala samseng atau hooligan yang mencemari kemeriahan bola sepak di Eropah seperti di England sedikit masa dahulu menjangkiti Malaysia.

Pada era Youtube, memang penyokong semakin terdedah dengan aksi termasuk pakaian kelompok ‘peminat ultras’ kelab luar negara yang mula mempengaruhi mereka seperti mengadakan perarakan dan nanyian sorakan sebelum dan selepas perlawanan. Selagi terkawal, pakailah apa nak pakai, buatlah apa nak buat kerana itu juga penting bagi menambah kemeriahan bola sepak.

Cuma liga kita tidak perlukan samseng bola sepak. Biarlah penyokong sejati yang setia jatuh bangun bersama pasukan kesayangan hadir ke stadium. Ingatlah, kekalahan dan kemenangan suatu yang perlu diterima.