Perjalanan dari rumah lelaki ini ke tempat kerjanya di Universiti Malaya hanya mengambil masa 15
minit sahaja, akan tetapi ia kebiasaannya lebih daripada itu.
Tinggal di Kerinchi, kawasan yang berhampiran dengan beberapa tanda tempat ibu kota dan pusat perubatan, kesesakan dan kesibukan kenderaan bertali arus ketika waktu puncak sememangnya tidak dapat dielakkan.
Boleh mengundang tekanan dan kemarahan kepada sesiapa sahaja, tetapi tidak bagi lelaki ini kerana beliau mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan jiwa pada waktu itu.
Memilih lagu sebagai terapi minda seperti mana warga kota lain, menariknya lagu-lagu yang mengisi halwa telinganya bukanlah berentak terkini tetapi dendangan suara Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Saya ada dua CD (cakera padat) yang menghimpunkan lagu-lagu P. Ramlee dan isterinya Saloma. Boleh dikatakan saya mendengarnya setiap kali pergi dan pulang dari kerja. Suaranya begitu merdu dan sebab itulah saya meminatinya.
“Beliau merupakan permata yang amat berharga dan semestinya Malaysia sangat bertuah kerana pernah memiliki insan seni yang sungguh hebat ini,” katanya
Kata-kata penghargaan dan minat terhadap legenda negara ini adalah biasa dalam kalangan kita, tetapi bagaimana pula dengan lelaki ini yang sebenarnya anak kelahiran Rusia.
Tidak jemu
Beliau adalah Profesor Madya Dr Victor A. Pogadaev yang begitu mengagumi bakat insan istimewa ini. Beliau yang merupakan pensyarah bahasa dan budaya Rusia di UM sempat berkongsi keterujaannya dengan menyanyikan beberapa bait kata lagu ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ semasa ditemuramah baru-baru ini.
Pogadaev, 68, yang fasih berbahasa Melayu mengakui tidak pernah jemu mendengar kemerduan suara legenda Malaysia itu. Turut tergantung di dinding biliknya adalah potret P. Ramlee.
“Tidak kira mana-mana, lagu-lagu P. Ramlee sentiasa menjadi pilihan termasuklah semasa percutian saya ke Tanjung Bidara, Malacca. Saya mendengarnya bersama isteri sepanjang perjalanan pergi dan balik.
“Walaupun tidak tahu semua lirik lagu, tetapi apabila mendengar berulang kali, ia sedikit-sebanyak membolehkan saya menghafalnya,” ujar bapa kepada tiga orang anak ini.
Gabungan pelbagai irama tradisional sambil berselang-seli kerancakan muzik moden, lagu-lagu Allahyarham amat mengasyikkan.
Maka, tidak menghairankanlah seniman berbakat besar dalam industri seni sebagai komposer, penyanyi dan penulis lirik ini sukar ditandingi artis lain malah sehingga ke generasi hari ini mengenali beliau, kata Pogadaev.
Sebutir bintang
Siapa tidak kenal bintang legenda ini? Tanyalah sesiapa sahaja, pastinya generasi muda hari ini juga mengenalinya walaupun sudah hampir lima dekad pemergian Allahyarham pada 1973.
P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, merupakan anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang yang mempunyai bakat begitu besar dalam industri hiburan.
Kreativitinya sungguh hebat dan tidak dapat disangkalkan dalam penghasilan karya indah dan bermutu meliputi pelbagai cabang seni, ciptaan lagu, pemuzik, penyanyi, pelakon mahupun juga dalam pengarahan filem.
Malah, filem arahan dan lakonannya tidak pernah jemu ditonton biarpun berulang kali kerana jalan ceritanya yang amat menarik.
Hang Tuah, antara filem Allahyarham yang kerap kali disiarkan di kaca televisyen yang begitu menggamit perhatian Pogadaev.
Baginya, biarpun pemilik suara emas itu tidak meninggalkan pusaka emas mahupun wang berjuta. Tetapi, khazanah seninya dalam menyuntik arena perkembangan Baru industri hiburan adalah peninggalan amat berharga bagi generasi akan datang.
Semua gara-gara ‘woh’
Menceritakan detik awal minatnya terhadap seniman ikon Malaysia ini, Pogadaev berkata semuanya bermula pada 1970 semasa terpilih mengikuti programme pertukaran pelajar antara Malaysia dengan Rusia di UM selama setahun.
Bertujuan mengukuhkan bahasa Melayu yang dipelajarinya di Moscow State University ketika itu, pertemuannya dengan P. Ramlee di Dewan Tunku Canselor (DTC), UM, membuatkan jiwanya terus terpaut.
“Waktu itu, DTC adalah dewan paling besar di Kuala Lumpur. Segala pertunjukan, konsert diadakan di sini. Kebetulan P. Ramlee ada datang mengadakan konsert ketika saya berada di UM bagi programme pertukaran pelajar.
“Sebaik mendengar suaranya, saya terus terpegun kerana beliau menyanyi seolah-olah bukan dengan suara tetapi dengan ‘jiwa’. Saya masih ingat lagi, ketika hendak mengambil gambarnya dari dekat, beliau mengangkat tangan dan melaung ‘Woh’ kepada saya sambil tersenyum,” ceritanya sambil ketawa.
Merasakan insan seni itu seorang yang peramah dan begitu dekat dengan peminat, akui Pogadaev yang beliau mula mencari maklumat mengenai Allahyarham selepas daripada konsert itu.
Pada masa sama, beliau yang turut meminati Saloma telah membeli beberapa piring hitam dan kaset kedua-dua insan hebat ini untuk dibawa balik ke Moscow.
Koleksi
Minatnya terhadap P. Ramlee tidak pernah pudar biarpun setelah kembali ke negara asalnya setahun selepas itu. Malah, dikongsi pula dengan tiga orang anak perempuan, isteri dan pelajarnya ketika menjadi pensyarah di universiti negara berkenaan.
“Bahasa yang digunakan P. Ramlee dalam karya-karyanya sangat mempersona, sempurna dan sesuai untuk dijadikan bahan pengajaran kepada pelajar.
“Bagaimanapun, ketika itu hanya lagu-lagunya sahaja dapat diperdengarkan kerana belum ada lagi teknologi DVD untuk filem-filem P. Ramlee,” katanya.
Sudah dinamakan rezeki, beliau kembali ke negara ini apabila ditawarkan berkhidmat di UM.
Peluang itu tidak disia-siakan, malah beliau yang turut meminati penyair hebat dan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan DVD filem-filem P. Ramlee.
Selain dijadikan koleksi peribadi, beliau juga menghadiahkan DVD berkenaan kepada rakannya yang mengajar bahasa Melayu di Moscow State University.
“Sampai sekarang, karya-karya P. Ramlee masih digunakan di universiti sana sebagai rujukan. Sambutan diberikan pelajar pun amat menggalakkan dan mereka menyukainya,” katanya yang mempunyai lebih 10 DVD filem P. Ramlee dalam koleksi peribadinya.
Relevan
Karyanya yang jujur dan kepintarannya dalam menghasilkan filem yang mempunyai nilai pengajaran dalam kehidupan masyarakat merentasi zaman dan sempadan, menjadikannya relevan sehingga hari ini.
Selain itu, ia kaya dengan identiti budaya Melayu untuk dipelajari kalangan mahasiswa Rusia, kata Pogadaev.
“P. Ramlee berjuang hak masyarakat melalui karyanya. Beliau pandai mengolah cerita untuk menampakkan manusia sama sahaja tanpa mengira darjat. Baginya, setiap orang ada kepentingan masing-masing.
“Misalnya, filem Penarek Becha beliau menggarap cerita supaya orang faham bahawa peranan penarik beca juga penting dalam masyarakat,” katanya.
Bagi membuatkan mereka lebih faham, Pogadaev ada menghasilkan beberapa artikel mengenai P. Ramlee selain ensiklopedia mengenai Malaysia dalam bahasa Rusia.
“Kerana terlalu minat juga, saya ada menziarahi kuburnya di Ampang sebagai tanda penghormatan. Beliau, sebenarnya adalah seorang insan seni hebat yang mana bakatnya tidak ada galang gantinya,” katanya.— Bernama
Seni P. Ramlee getarkan jiwa pensyarah Rusia
Written By zabidi on Wednesday, 20 January 2016 | January 20, 2016
Labels:
Rencana
+ comments + 1 comments
This comment has been removed by a blog administrator.
Post a Comment