Headlines News :

Aurat dipelihara, hidup sejahtera

WANITA merupakan insan istimewa ciptaan Allah. Kehadiran mereka menjadi pelengkap dan penyeri hidup seorang lelaki. Nikmat dikurniakan ibu yang penyayang, isteri peneman hidup dan anak penghibur hati perlulah disyukuri.

Sejajar dengan amanah yang perlu digalas sebagai ketua keluarga, kewajipan tentang penjagaan aurat wanita perlu diterapkan dengan berhikmah. Ini merupakan jaminan untuk mengecapi hidup sejahtera di dunia hingga ke akhirat.

Firman Allah dalam Surah al-Tahrim, ayat 6 :
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Namun harus diingatkan juga bahawa kewajipan menutup aurat bagi lelaki juga telah ditetapkan oleh syariat Islam. Sepertimana isteri dan anak-anak perempuan, jangan pula diabaikan juga anak-anak dan saudara-saudara lelaki kita.

Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak diseksa dan diazab kerana tidak menutup aurat?
Marilah kita sama-sama menghayati bagaimana yang dikatakan aurat dijaga, hidup sejahtera.
Moga-moga ia boleh bermanfaat dan dikongsi bersama ahli keluarga.

TUTUP AURAT 
PERINTAH ALLAH 

Menutup aurat adalah perintah Allah, bukannya satu fesyen dan trend yang menjadi ikutan.

Secara jelas Allah menyatakan dalam Surah An-Nur, ayat 31, bermaksud : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Menutup aurat merupakan salah satu manifestasi iman bagi perempuan dan lelaki. Mana mungkin kita mengaku beriman dengan lidah, membenarkan dengan hati, tetapi kita gagal menterjemahkan melalui perbuatan. Menutup aurat bukan kerana cantik, untuk nampak baik atau untuk menutup kekurangan diri tetapi menutup aurat biarlah berprinsip dan digarap dengan kefahaman tauhid yang jelas.

Kesempurnaan dalam menutup aurat 

Mari kita fikirkan, apa akan terjadi pada hidangan tanpa ditutup? Sudah pasti hidangan ini dihinggapi lalat, lantas menghilangkan selera kepada penggemarnya. Islam secara jelas menggariskan ciri-ciri menutup aurat melalui Surah al-Ahzab , ayat 59, maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kesempurnaan aurat meliputi tudung yang tidak jarang dan labuh menutup dada. Manakala pakaian pula, mestilah labuh, kain yang tebal dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk badan. Realiti masyarakat hari ini, sebahagian menyangka dengan bertudung mereka telah menutup aurat. Sedangkan, ciri-cirinya masih belum ditepati.

Natijahnya, gambaran tentang bertudung sudah semakin tercemar. Kita ghairah mengikut budaya masyarakat lain. Hasilnya lahirlah busana Muslimah yang pada hakikatnya tidak menepati syariat. Mari kita fikirkan sejenak, adakah isteri dan anak-anak kita telah menutup aurat dengan sempurna. Atau sekadar mengikut orang yang mereka suka? Perkara ini yang perlu dijelaskan sebagai tanda kasihkan mereka.

PENDIDIKAN SEJAK KECIL 

Mulakan kefahaman ini dengan menekankan sifat malu sebagai amalan. Perasaan malu adalah asas kepada akhlak yang mulia, termasuklah keinginan menutup aurat. Jika tidak, masakan Rasulullah S.A.W secara sinis menjelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam

al-Bukhari daripada Uqbah bin Amru RA maksudnya: “Antara perkara yang masih diamalkan umat manusia daripada ajaran Nabi terdahulu ialah ‘Jika engkau tidak malu, buatlah apa saja yang kamu mahu.”

Justeru, teraplah budaya pakaian yang menutup aurat sejak kecil. Berilah pujian dan galakan dengan membeli pakaian yang cantik dan menepati syariat. Bukannya membeli pakaian yang mendedahkan aurat dan mencolok mata.

Didiklah mengikut tahap dan peringkat. Semailah minat dan rasa cinta hidup berpandukan syariat sejak awal, pasti kesannya akan berpanjangan. Moga-moga tindakan hari ini menyelamatkan kita pada masa akan datang.

KESAN TIDAK 
MENUTUP AURAT

Melihat masalah sosial hari ini, menimbulkan kegusaran di hati. Apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan terbuka. Eksploitasi wanita semakin bermaharajalela.

Masih ingatkah mengenai pengajaran tentang aurat dalam Peristiwa Israk Mikraj? Bayangkan rambut yang menjadi kebanggaan, diikat dan digantung sehingga menggelegak otaknya. Sanggupkah kita melihat anak dan isteri kita diazab sedemikian rupa? Justeru, apa lagi? Buktikan kasih sayang pada golongan wanita ini. Tarbiahlah mereka agar perintah Allah ditepati.

KESIMPULAN 

Menutup aurat merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia perlu dilaksanakan berteraskan ketakwaan kepada Allah.

Didiklah anak-anak dan isteri menutup aurat dengan sempurna selaras tuntutan syariat untuk menutup ruang dan jalan maksiat dalam kalangan masyarakat.

Pendidikan tentang kepentingan menutup aurat bagi lelaki dan perempuan perlu bermula sejak kecil. Pengabaian terhadap perkara penting ini akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup bersyariat orang yang kita sayang. - Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Ujian Musibah Tanda Hamba Dikasihi

Daripada Anas RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW, “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi
seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia.

Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat.

Nabi SAW bersabda,“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”(At-Tirmizi)

Huraian Hadith:

Orang beriman akan diuji menurut tahap keimanan dan kedudukan mereka di sisi Allah.

Bersabar menghadapi bala atau penyakit akan menghapuskan dosa.

Di antara tanda-tanda seseorang itu disayangi Allah ialah bala ujian yang ditimpakan ke atasnya.

Oleh itu kita wajib bersabar atas kesusahan yang menimpa kita agar tidak ditimpa bala dua kali, yang keduanya ialah kerugian luput pahala.

Seseorang yang sabar menghadapi kesusahan hidup adalah sebagai tanda bahawa dia dikasihi Allah.

Orang yang tidak dikasihi Allah dilambatkan balasannya iaitu sampai ke hari kiamat.

Seseorang yang bersabar menghadapi kesusahan akan diberi ganjaran yang setimpal dengan kesusahan yang dihadapi itu.

Seseorang yang ingin menjadi hamba yang dikasihi Allah dia hendaklah bersedia menerima ujian yang diturunkan Allah kepadanya, sebaliknya seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah dia akan dibenci Allah.

Tepati masa jauhi sifat munafik

Oleh Mohd Hassan Adli Yahya 

Masa! Ada apa dengan masa hingga Allah bersumpah dengan masa dalam firman-Nya dalam surah Al-’Asr yang bermaksud, “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Saya teringat pada zaman persekolahan di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh dahulu. Setiap kali lepas solat Asar di surau, akan ada pelajar yang menyampaikan tazkirah. Pendek kata, sepanjang melanjutkan pelajaran di situ, setiap orang pasti paling kurang sekali akan ‘merasa’ untuk bercakap di hadapan pelajar.

Antara tajuk tazkirah yang menjadi kegemaran pelajar, terutama mereka yang kali pertama menyampaikan tazkirah adalah berkaitan dengan masa. Sudah tentu dalil wajib yang diselitkan dalam tazkirah itu adalah daripada surah al-’Asr.

Entah mengapa tajuk itu menjadi kegemaran bagi sebahagian pelajar. Mungkin kerana ia mudah dikupas atau mungkin juga ia begitu signifikan dalam kehidupan manusia. Ya, membicarakan soal masa dalam kehidupan tidaklah sesukar mana.

Dalam kehidupan manusia setiap hari, terutama umat Islam, kita pasti terikat dengan masa dalam rutin kita.

Awal pagi, kita diwajibkan untuk menunaikan solat Subuh sebelum terbit fajar. Selepas itu kita mungkin sibuk untuk menyiapkan anak untuk ke sekolah sebelum van atau bas sekolah datang mengambil mereka.

Jika lambat, pasti anak kita akan ditinggalkan bas dan kita pula terpaksa menghantar mereka ke sekolah. Selepas itu, kita bergegas pula ke tempat kerja dan mesti sampai di pejabat pada waktunya.

Sampai di pejabat, ada beberapa temujanji yang perlu kita hadiri pada waktu dijanjikan.

Sebelah malam pula selepas pulang kerja, kita berjanji dengan rakan untuk bermain futsal atau badminton pada waktu tertentu. Begitulah antara rutin seharian kita setiap hari yang sebenarnya terikat dengan masa tanpa kita sedari.

Namun perkara yang lebih besar adalah persoalan sejauh mana menguruskan masa kita dengan baik. Sejauh mana juga kita menepati masa yang dijanjikan. Saya teringat ketika berada di Korea Selatan tahun lalu.

Setiap hari akan ada van berserta pemandu yang menunggu kami di bawah hotel untuk itinerari pada hari berkenaan. Setiap hari van itu datang pada jam 10 pagi dan ya, ia datang sebelum daripada waktu itu dan bergerak tepat pada jam 10 pagi.

Saya teringat pula kisah yang dikongsikan oleh rakan yang melawat Jepun tahun lalu. Dalam satu sesi lawatannya ke sebuah universiti, dia terkejut dan teruja kerana apabila sampai sahaja ke tempat lawatan itu, mereka disediakan dengan program tentatif. Teruja kerana ia hanya lawatan ringkas tetapi jadualnya telah disusun dengan rapi.

Setiap sesi pula dijaga agar masa yang diperuntukkan benar-benar dipatuhi dan tidak mengganggu sesi berikutnya. Kedua-dua negara maju ini nampaknya begitu menjaga perihal masa.

Ia sangat berbeza dengan budaya atau adat menjaga masa dalam kalangan orang kita. Sesetengah daripada kita mempunyai pemahaman, jika berjanji untuk berjumpa pada jam 10 pagi, maka waktu ‘sebenar’ untuk berjumpa adalah jam 10.30 atau 11 pagi.

Jam 10 pagi sebenarnya kita baru bergerak menuju ke destinasi dijanjikan. Atau lebih teruk lagi, jam 10 pagi baru kita mula bersiap.

Tiba di destinasi, parkir berdekatan penuh dan kita mungkin terpaksa berlari dalam lingkungan jarak yang jauh. Apabila lambat sampai, dengan berpeluh kita mula menyalahkan kesesakan lalu lintas kerana menjadi punca lambat.

Walhal kita sedia maklum laluan berkenaan memang sejak dahulu lagi sesak dan mesti keluar awal untuk sampai tepat pada waktu yang dijanjikan.

Cuba kita bayangkan jika orang yang kita berjanji itu mempunyai jadual ketat pada hari itu dan dia sebenarnya sangat menepati waktu. Akibat kelewatan kita, mungkin ada jadualnya yang terpaksa dibatalkan gara-gara kegagalan kita menepati masa.

Ini adalah sesuatu yang perlu kita ubah agar tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan. Menepati masa dan janji adalah ciri-ciri seorang Mukmin dan Muslim yang baik manakala tidak menepati janji itu mendekati ciri-ciri orang munafik.

Rancanglah pada malam sebelumnya agar ia berjalan dengan sempurna dan kita tidak menjadi ‘punca’ kepada kekalutan orang lain.

















Isteri lihat kekurangan diri pasti temui banyak kelebihan suami

Oleh Dr Muhaya Mohamad 

JIKA kita seorang lelaki atau wanita yang baik dan beriman berniat untuk mendapatkan pasangan soleh serta solehah, kita akan dapat sebagaimana yang diniatkan. Jika kita sudah berusaha menjadikan diri soleh atau solehah, Allah SWT akan menggerakkan hati orang yang beriman mendekati kita.

Itu yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran 'reset minda' dengan formula 'Ada - Beri - Dapat'. Insya-Allah kita akan dapat orang yang sama seperti kita, kecuali Allah hendak menguji dengan memberikan pasangan yang bertentangan sikap, perangai, bagi menguji kesabaran, ketakwaan dan keimanan. Atau kita ditakdirkan Allah SWT menjadi 'ejen pengubah' kepada pasangan.

Wanita yang memiliki suami, anak, rumah tangga aman bahagia, sihat tubuh badan dan harta secukupnya, ia adalah nikmat tidak terhingga. Ibarat telah mendapat syurga di dunia. Bersyukur kepada Allah SWT jika kita tergolong dalam kategori wanita bertuah seperti itu. Ada wanita yang nasibnya tidak sebaik kita.

Mereka dikurniakan suami kacak, baik, berkerjaya bagus, berharta dan agamanya terjaga, tetapi walaupun sudah bernikah bertahun-tahun pasangan itu tidak dikurniakan anak. Ada wanita pula, hasil perkahwinan dengan suami tercinta, dikurniakan ramai anak tetapi ekonomi mereka tidak kukuh.

Tidak kurang juga wanita yang berasa tidak bahagia, walaupun dikurniakan beberapa orang anak kerana anaknya semua perempuan, sedangkan suami teringin hendak anak lelaki. Elak membandingkan diri Lebih dahsyat lagi ujian Allah SWT, ada pasangan mempunyai anak lelaki dan perempuan tetapi anaknya cacat pula.

Dalam hidup ini, apabila kita fokus kepada apa yang dimiliki, kita akan bersyukur. Tetapi, jika fokus kepada yang tidak ada, akan rasa kekurangan kerana asyik membandingkan diri dengan orang lain.
Hasil daripada perbandingan itu, yang akan terserlah hanyalah rasa terkilan dan tidak puas hati kerana hidup tidak seindah atau sebahagia orang lain.


Ingatlah jika asyik membandingkan dan bersaing dengan orang lain, mengharapkan penghargaan manusia dan sentiasa fikir apa orang kata, hidup tidak akan tenang. Demikianlah permasalahan rumah tangga, jika tidak berpunca daripada anak, mungkin daripada sikap suami atau isteri sendiri.

Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita tidak perlu cari punca masalah. Carilah segera penyelesaian masalah dan pada masa sama cari jalan untuk menguatkan jiwa supaya tabah menghadapi serta berhadapan masalah atau musibah.

Analoginya, apabila susu tertumpah di atas meja adakah kita akan segera mengambil kain dan mengelap bagi mengelak susu tumpah ke lantai yang menyebabkan banyak lagi tempat perlu dibersihkan. Atau kita bising-bising mencari siapa dan bagaimana susu itu tertumpah?

Fikirkan mana satu pilihan perlu diambil. Dalam kehidupan rumah tangga, cabaran sering ditemui ialah isteri berasa dirinya tidak dihargai, tidak dilayani dengan baik dan tidak mendapat kasih sayang daripada suami.

Andai berhadapan masalah ini, pertama, tanyalah diri adakah kita telah melayan suami dengan baik? Cari kesilapan sendiri Kita tidak akan membersihkan jiwa selagi hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain.

Salah satu cara Allah SWT memberi kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila dia sibuk melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain hingga tidak sempat melihat keburukan orang.

Jika hendak mencari kesilapan suami tentu kita akan temui banyak kesilapannya kerana kita akan dapat apa yang difokuskan. Tetapi jika kita muhasabah mencari kekurangan diri, akhirnya kita akan dapat menerima suami seadanya dan menemui banyak kebaikan suami untuk disyukuri.

Manusia paling lemah ialah mereka yang menyembunyikan keburukan diri tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang lain dan berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Jika ingin diri disayangi dan dihormati, kita terlebih dahulu perlu menyayangi serta menghormati. Ingatlah dunia melayan kita sebagaimana kita melayan diri sendiri.

Harga diri yang tinggi bergantung kepada ketakwaan kepada Allah SWT dan akhlak yang terkawal. Cabaran seterusnya biasa dihadapi isteri adalah berhadapan dengan suami yang ego.

Hakikatnya, suami adalah ketua keluarga dan kerana itu perlu mempunyai ego tetapi janganlah berlebihan keegoan hingga menggugat hubungan suami isteri.

Tanda orang yang tinggi sifat egonya, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain.

Kemarahan keluar daripada hati yang suka marah. Oleh itu, perlu pastikan kemarahan disebabkan oleh apa dan kepada siapa.

Ada sejarah hitam Orang yang ego sebenarnya kurang keyakinan diri dan mempunyai sejarah hitam semasa kecil yang mempengaruhi kehidupan dewasanya.

Isteri berhadapan suami yang berimej negatif perlu menghargai dan melayan suami dengan kasih sayang. Puji dan hargai kehadirannya dalam hidup kita, sebut selalu kebaikannya.

Tukar fokus kepada mencari kebaikan suami. Tonjolkan kebaikan, jangan sengaja mencari dan mengungkit kelemahan suami. Ramai yang suka menghukum berdasarkan perkara yang lepas.

Allah SWT lebih suka orang yang berdosa tetapi bertaubat daripada orang yang kuat beramal tetapi riak.

Jangan fikir sejarah silam suami jika berniat ingin membawanya ke jalan yang baik kerana Allah SWT.

Insya Allah akan dipermudahkan urusan kita. Apabila suami mendapat pujian dan penghargaan isteri, keyakinannya semakin tinggi.

Pada masa sama, suami tidak berasa perlu menunjukkan kehebatan dan kemampuan dirinya (keegoan) kerana sudah mendapat pengiktirafan daripada isterinya.

Akaun emosi suami akan melonjak tinggi apabila suami mendapat kasih sayang dan penghargaan daripada orang terdekat dengannya iaitu isteri.

Dalam proses hendak mengambil dan menambat hati suami, jangan menghukum atau bersangka buruk kepada suami.

Sebaliknya, berterus terang dan cakap dari hati ke hati apa yang patut atau tidak patut dilakukan.
Semarakkan rasa cinta dan jadilah isteri yang sentiasa bersyukur serta menghargai kehadiran seorang lelaki bergelar suami.






























Kambing Bakar

BAHAN

2 keping bahu kambing (lamb chop)
1 sudu makan serbuk paprika
1 sudu teh serbuk cili
½ sudu teh serbuk thyme
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 sudu teh madu lebah asli
1 biji bawang putih | dicincang halus
Minyak zaitun secukupnya
Garam secukupnya


CARA
Campurkan semua bahan perapan bersama kambing dan gaulkan hingga rata.

Kemudian biarkan diperap sekurangkurangnya 1 jam di dalam peti sejuk.

Akhir sekali bakar selama 20 minit di atas gril dengan api yang kuat.
Angkat dan hidangkan.

Psssttt, terima kasih sudi baca. Jangan lupa tag nama kekawan uollss dalam komen.

Pemain bola jadi pelakon

Oleh IFQDAR RAHMAN 

Jejak Warriors angkat semangat persaudaraan dalam kalangan peminat bola sepak
UNTUK menghasilkan sebuah filem yang bertemakan sukan bola sepak bukan mudah. Walaupun sebelum ini terdapat filem yang mengetengahkan ola sepak sebagai nadi penceritaan, ternyata ia gagal menambat hati peminat sukan, apatah lagi pencinta filem tempatan.


Bagaimanapun, terbaharu, pengarah yang sebelum ini pernah mencetuskan fenomena tersendiri apabila mengarahkan filem mitos Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin tidak takut untuk mencuba walaupun ini adalah pertama kali mengarahkan sebuah filem genre sukan.

Diterbitkan oleh U2 Media Sdn. Bhd., yang sebelum ini pernah menerbitkan filem hebat seperti Lelaki Harapan Dunia, produksi tersebut kini tampil dengan sebuah lagi karya yang dijangka berkualiti iaitu Jejak Warriors.

Bertemu dengan Teong Hin yang hadir ke Studio Utusan baru-baru ini, dia sendiri mengakui bahawa dirinya bukanlah peminat tegar industri bola sepak tempatan, apatah lagi sebuah pasukan yang bukan berstatus kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, mandat yang diberikan kepadanya untuk mengarahkan sebuah karya yang belum pernah menjadi bahan ‘permainannya’ iaitu genre sukan, dia berasa teruja untuk memikul peranan tersebut dan berjanji untuk mencuba sedaya upaya untuk menterjemahkan kehendak penulis skrip dalam bentuk visual yang bukan sahaja menarik minat pencinta filem tempatan, bahkan peminat sukan tanah air.

“Saya tidak berapa mengikuti perkembangan semasa sukan bola sepak di negara ini kerana saya sendiri tidak minat bermain bola sepak. Tetapi apabila mendapat tugasan ini, saya rasa ia sesuatu yang menarik untuk dicuba.

“Filem-filem bola sepak yang pernah saya tonton selama ini selalunya tertumpu pada kisah individu atau sepasukan mencapai kemenangan di padang mahupun dalam kehidupan seharian.

“Tetapi berlainan dengan mesej yang terdapat di sebalik skrip Jejak Warriors. Ia menyentuh aspek yang paling saya minati tentang sukan ini, yakni semangat persaudaraan dan kesetiaan dalam kalangan peminat,” katanya.

Bagi pengarah berkenaan, pasukan bola sepak ibarat sebuah keluarga. Itulah kelainan yang ada dalam Jejak Warriors yang sarat dengan mesej kekeluargaan tetapi pada masa yang sama penerapan semangat kesukanan yang jitu.

“Pengisian serta moral yang terdapat di dalamnya benar-benar berguna untuk ditonton selain mempunyai elemen fantasi tersendiri,” jelasnya.

Antara barisan pelakon Jejak Warriors ialah Allif Firdaus, Pekin Ibrahim, Nadiya Nisaa serta pemain The Red Warriors iaitu Khairul Fahmi, Wan Zack Haikal, Mohd. Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam.

Bulan jatuh ke riba

Mendekati teraju utama filem Jejak Warriors yang baru berusia 14 tahun, Allif Firdaus, remaja berkenaan sememangnya seorang pemain bola sepak di sekolahnya.

Diperkenalkan oleh mentornya yang juga pelawak tersohor Sabri Yunus ke bidang lakonan, Allif mengakui tawaran membintangi sebuah karya yang berhubung kait dengan minat sejatinya iaitu bermain bola sepak adalah sesuatu yang di luar dugaan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon di bawah bimbingan Sabri sendiri menerusi drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang diarahkannya. Selepas itu pernah juga membintangi telefilem Primadona Yang Hilang, juga arahannya.

“Jadi, penglibatan saya dalam bidang lakonan adalah disebabkan beliau yang berjaya meyakinkan saya tentang bakat yang ada dalam diri. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu boleh berlakon.

“Minat memang ada, tetapi saya takut untuk mencuba sebelum keyakinan itu datang sedikit demi sedikit selepas mencuba dan terus mencuba. Tak tahu, saya akan tanya terus dan cuba perbaiki. Petua yang saya amalkan, saya akan fahamkan keseluruhan jalan cerita. Dah faham, baru saya berani nak mulakan penggambaran,” ceritanya yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan.

Mengulas tentang tanggungjawabnya sebagai pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Azhariah, Melor, Kota Bharu, Allif memberitahu, keizinan yang diberikan oleh kedua-dua orang tuanya memudahkan dia merencanakan segalanya.

“Ibu bapa menyokongpembabitan dalam bidang ini. Mereka juga yang membantu saya menyusun jadual dan menguruskan hal-hal lain. Jika ketinggalan dalam subjek di sekolah, saya akan buat susulan dengan cikgu ataupun rakan sekelas.

“Pada masa sama, keluarga juga membantu saya dalam pelajaran, jadi tidak timbul isu keciciran dalam mata pelajaran,” jelasnya yang rasa bangga dapat berlakon bersama barisan bintang filem serta bintang sukan kelahiran Cik Siti Wan Kembang.

Bukan filem pasukan Kelantan

Dalam pada itu, pelakon yang menjadi bapa kepada Allif iaitu Pekin Ibrahim melahirkan rasa bangga dengan penghasilan filem Jejak Warriors. Ini kerana, filem berkenaan bukan semata-mata bercerita tentang pasukan bola sepak Kelantan, tetapi keseluruhannya tentang industri bola sepak tempatan.
“Sebab itu saya percaya, filem ini bukan sahaja mampu menarik minat penyokong The Red Warriors, tetapi ia turut akan membawa keseluruhan peminat bola sepak di negara ini ke pawagam kerana ia kisah bola sepak tanah air secara amnya.

“Ini tidak tertumpu kepada pasukan Kelantan sahaja, tetapi bagaimana corak persembahan yang ditampilkan selain kisah realiti di sebalik sukan ini sendiri.

“Lebih menarik, ia diarahkan oleh seorang pengarah yang bukan peminat bola sepak dan juga bukan anak kelahiran Kelantan, tetapi jiwa Kelantan itu dapat digambarkan dengan begitu baik.

“Sebagai bonus, rusuhan pada 2009 yang berlaku di Stadium Mohammad IV, Kota Bharu dalam satu perlawanan bola sepak turut dilakonkan semula dan ini mendapat bantuan penduduk tempatan yang suka rela membabitkan diri dalam babak berkenaan.

“Secara tidak langsung, rusuhan tersebut nampak seperti benar-benar berlaku, tambahan pula dengan pembabitan pemain bola sepak Kelantan yang pernah menempuhi pengalaman itu,” katanya.

Elak kematian 
mengejut


PANIK dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Begitulah reaksi jika ada antara ahli keluarga anda tiba-tiba disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedar diri di dalam bilik air. Insan yang tersayang itu sudah meninggalkan anda buat selama-lamanya.
Dr. Rishikesan memberitahu, perkara ini tidak semestinya berpunca daripada strok seperti tanggapan orang ramai.

Tanggapan itu salah kerana pesakit biasanya menghidap penyakit angin ahmar terlebih dulu tanpa disedari terutama kepada penghidap kencing manis dan darah tinggi disebabkan oleh 80 peratus salur darah tersumbat di dalam otak.

“Strok dikenali sebagai “serangan otak” kerana ia berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.
“Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran sehinggalah seseorang itu mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri. Namun, bukan semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan,” katanya.

Menurut Dr. Rishikesan, ramai tidak mengetahui bahawa kes jatuh dan maut secara tiba-tiba disebabkan oleh pendarahan. Terdapat dua situasi yang mengaitkan kes ini.

“Kebiasaannya orang ramai tidak tahu situasi ini. Pertama, seseorang yang masuk ke bilik air untuk membuang air besar, kemudian dia meneran dan selepas selesai dia pun bangun. Tanpa sedar, tekanan darah menjadi rendah. Ini menyebabkan individu tersebut pengsan lalu jatuh hingga terhantuk.

“Ada juga kes pendarahan yang menyebabkan salur darah dalam otak tiba-tiba pecah. Ini biasanya berlaku apabila seseorang itu meneran ketika membuang air besar hingga menyebabkan tekanan darah naik. Kedua-dua situasi ini hanya boleh dikesan selepas melakukan ujian imbasan ke atas mangsa,” katanya.

Selalunya mangsa yang pengsan hingga menyebabkan maut kerana lambat menerima rawatan. Ahli keluarga atau rakan-rakan mereka tidak mengetahui mangsa berada di dalam bilik air.

Insiden ini juga dikaitkan dengan mereka yang menghidap sawan, jantung dan kencing manis.

Kemungkinan besar sawan menyerang secara tiba-tiba ketika pesakit berada di dalam bilik air.

“Sawan boleh berlaku dalam pelbagai jenis bukan saja yang mengeluarkan buih daripada mulut. Ada yang mengalami pengsan sekejap-sekejap sejak dari kecil dan kadang-kadang ada yang sampai memorinya kosong secara tiba-tiba walaupun sebentar saja,” jelasnya.

Tambah beliau, penghidap kencing manis berisiko pengsan di dalam bilik air apabila mereka mengalami hipoglisemia iaitu paras gula dalam darah dikesan rendah.

Selain itu mereka yang mengalami anemia iaitu kurang darah dalam badan juga berisiko pengsan dan jatuh secara tiba-tiba terutamanya wanita yang sedang mengalami haid.

Mereka yang menghidap buasir juga berisiko pengsan di dalam bilik air sekiranya mereka meneran terlalu kuat ketika membuang air besar dan berpotensi mengalami pendarahan seperti tadi.

Sebagai langkah pencegahan, Dr. Rishikesan menggalakkan orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan secara teratur seperti enam bulan sekali khususnya warga emas supaya mereka dapat memantau tekanan darah tinggi, jantung, kencing manus dan sebagainya.

Bagi pesakit kecing manis, lakukanlah pemeriksaan aras gula dalam badan setiap hari supaya dapat memantau kandungan gula dalam badan mereka.

Oleh itu, langkah pencegahan perlu untuk mengelakkan terjatuh serta perlu lebih berhati-hati selain elakkan daripada terhantuk di kepala. Jika anda berhadapan dengan situasi ini, ambil langkah yang tepat supaya tidak kehilangan orang tersayang.

Kes kematian Arafat ditutup

PARIS – Pihak berkuasa Perancis yang menyiasat dakwaan pemimpin Palestin, Yasser Arafat mati akibat dibunuh, menutup kes tersebut tanpa mengemukakan sebarang dakwaan lanjut.

Menurut kenyataan tiga hakim mahkamah di Nanterre, berdasarkan siasatan berhubung kes itu, kematian Yasser tidak ada kaitan dengan racun polonium-210, bahan yang dipercayai membunuh pemimpin tersebut.

Jelas kenyataan itu, siasatan itu ditutup ekoran kekurangan bukti menunjukkan campur tangan pihak ketiga yang berniat untuk membunuh Yasser.

Yasser disahkan meninggal dunia di hospital tentera Percy dekat Perancis pada usia 75 tahun pada November 2004, selepas mengalami sakit perut ketika bertugas di ibu pejabatnya di Ramallah, Tebing Barat.

Namun, isteri beliau, Suha mendakwa Yasser meninggal dunia akibat diracun menggunakan bahan radioaktif jenis polonium, ekoran penemuan bahan itu di kubur pemimpin itu.

Suha mengemukakan kes itu pada 2012 di Perancis dan pada tahun yang sama, kubur Yasser di Ramallah digali selama beberapa jam bagi membolehkan tiga pasukan penyiasat Perancis, Switzerland dan Rusia mengumpulkan kira-kira 60 sampel. – AFP

Seorang Khairil ..

Oleh Hafizah Iszahanid

Sudah terlalu lama dia pergi daripada hidup saya, lebih 30 tahun atau mungkin lebih lagi. Saya sebenarnya yang memutuskan untuk keluar dari hatinya saat dia tidak sepenuhnya rela untuk berbuat demikian.

Tapi, seperti yang saya selalu ingatkan padanya, saya bukan perempuan biasa. Saya tidak patuh pada prinsip tolak ansur atau saling memahami, sebab saya sudah sangat arif tentang jalan yang ingin dipilihnya itu. Saya bukan perempuan yang akan beralah untuk seorang lelaki yang berjuang.

Hati kamu terlalu keras, dia pernah menyebutnya begitu. Tapi dia juga perlu akur saya dibesarkan dan membesar dengan kenangan. Lalu bukankah hati akan menjadi keras ?

Mengapa perlu hidup dalam kenangan? Kenangan akan membutakan mata pada kehidupan hari ini, dia menyebut lagi dan saya selalu membalas bahawasanya, kenangan itu bukankah sifatnya akan selalu dikenang, selalu diingat lalu menjadikannya kenangan.

Sebenarnya, mungkin saya terlalu obses pada dia, seorang lelaki bernama Khairil yang saya temui di kampus. Kami bukan mahasiswa tahun 1970-an atau 1980-an yang lantang bersuara dan gagah berani berpidato.

Kami mahasiswa hujung 1990-an yang serba-serbinya mewah. Kami selalu didendangkan tentang kehidupan kami ini betapa sangat diberkati dan kami selalu diingatkan keberadaan kami di kampus adalah hasil penat dan payah perjuangan generasi silam yang berendam air mata, yang hancur luluh jiwa raga untuk kesenangan kami hari ini.

Justeru, pada satu saat selepas Isyak, apabila saya melihat dia sedang berucap, sedang berkempen untuk kerusi Majlis Perwakilan Pelajar saya jatuh cinta serta-merta.

Saat dia menyebut satu demi satu patah perkataan, manifestonya yang berulang-ulang, perjuangan, perjuangan, perjuangan, saya merasa hati saya sudah ditumbuhi sepasang sayap dan terbang masuk ke dalam dirinya, seorang Khairil.

Saya melihat dia sebagai pahlawan sasa yang akan membunuh sang geroda yang sekian lama bermahajaraja lela di bumi kami.

Dan dia menyambut sudah pastinya.

Cinta itu adalah perasaan aneh yang memungkinkan setiap urat dan saraf dalam diri sentiasa rasa gembira dan bahagia. Dan keindahan itu selalu disamakan dengan keindahan musim bunga, dan saya tidak pula mahu menafikan.

Waktu kawan-kawan rapat memberitahu, seorang Khairil itu bukanlah padanan yang sesuai untuk saya yang luka dihiris kenangan, saya tidak pun mengendahkan. Saya terlalu yakin mampu mengubah dia.

II

Satu saat selepas kami hanya berbaki beberapa minggu di kampus, saya diberitahu emak, datuk sedang tenat di selatan Semenanjung. Saya bergegas pulang, meninggalkan apa yang ada di hadapan, membuat lencongan untuk berada bersama datuk.

Datuk adalah pemuda tahun 1920-an yang seluruh jiwa dan kecintaannya adalah pada nusa dan bangsa. Datuk adalah pemuda yang menyisip keris di pinggang, yang keluar dan masuk ke kampung dan pekan untuk sebuah perjuangan.


Sewaktu datuk melihat ketaatan dominan kepada waris gapura, datuk sedikit gelisah. Bukan datuk menentang keabsahannya, bukan datuk menentang kedaulatannya tetapi datuk gentar dengan caranya, dengan gayanya.

Orang Melayu berhemah dan beradab. Beginilah kami, menarik rambut dari tepung jangan sampai berterabur, datuk diingatkan berulang kali.

Datuk diam dan perlahan-lahan sedar, dia itu datang dari luar jantung Malaya yang berbeza pengalaman hidupnya, meskipun mungkin daripada rumpun yang sama. Datuk mengikut bonda saudaranya ke selatan Semenanjung sejak usianya yang masih dalam hari.

Dan datuk, mungkin mewarisi sedikit dan tidak banyak kisah silam dizalimi Belanda. Almarhum ayahandanya mati dibunuh Belanda kerana mempertahankan pertiwi. Dan datuk dibawa lari oleh bonda saudaranya yang mencintai sesudah bonda kandung juga pergi dijemput ilahi.

Kisah hidup yang gelap sebegitu, walau menjadi remaja di selatan Semenanjung, terdidik di Asia Barat, datuk sukar juga membuang partikel emosi dan kenangan menjadi mangsa penjajahan kuasa Eropah.

Inggeris dan Belanda tidak serupa. Zalim dan budi bahasa juga tidak sama, kamu tidak boleh membawa ingatan masa silam untuk kehidupan hari ini, datuk diam dengan ingatan-ingatan yang selalu bersingpongang.

Dan selalunya, jika datuk bercerita tentang kisah silamnya, datuk akan lebih banyak terdiam. Datuk sangat berhati-hati.

Kata datuk, dengan segala kemewahan hari ini datuk mahu meluputkan kenangan yang pahit, datuk mahu hidup dengan bahagia, dengan sederhana.

Datuk mahu mencintai kehidupan ini secara sederhana, begitu datuk selalu menyebut yang selalu membuat saya terkait ingatan pada puisi-puisi lembut tetapi mengasyikkan dari tanah leluhur.

Datuk percaya pada perjuangan yang tulus ikhlas dan telus tetapi datuk hanyalah seorang dalam perjuangan itu. Siasah itu adalah dunia yang bersih di luarnya tetapi di dalamnya saraf dan uratnya berserabut, berselirat dan saling bergelut.

Hanya mereka yang licik yang akan tumbuh menjadi pohon dalam ladang siasah, saya ingat senyum datuk lewat kata-kata itu. Datuk yang selalu memendam getir dalam hati. Datuk yang enggan berkongsi dengan kami suka dukanya.

Hinggalah kemudian saya menyelongkar buku-buku datuk sewaktu dia terbaring di katil, akibat serangan angin ahmar.

Saat itu saya bertemu dengan catatannya tentang tahun-tahun 1930-an dan 1940-an juga tahun 1950-an yang getir. Tentang hujan yang membasah tanah selatan Semenanjung, tentang kejujuran dan kecintaan dan tentang tujuan dalam kehidupan, catatan tahun 1953.

Kata datuk, perjuangan itu mempunyai makna yang sangat luas dan definisinya berbeza-beza. Datuk mahu hidup dengan semua perbezaan itu dan menjadikan setiap orang dalam jantung Malaya ini hidup dan bernafas dengan satu tarikan.

Datuk mahu juga semua yang bernaung dan bersetuju menerima tanah ini sebagai ibunda mereka saling menyintai. Datuk tidak pernah percaya, perpecahan akan memudahkan pemerintahan.

Kata datuk, sejarah penjajahan sudah menduga kita dengan prinsip yang sebegitu lalu mengapa kita harus meneruskan yang buruk-buruk? Mengapa tidak memulakan hari baru dengan kehidupan yang saling menyintai dan menyayangi?

Melayu ini orangnya berhemah, menegurnya dengan kata-kata yang manis dan santun. Jika tidak, datuk tidak akan disanggah dengan pantun yang dilantunkan manis dan lemak merdu tapi tersisip bisa.

Pohon rimbun di tepi kolam
Bunga lebat harum melata
Usah mahu mengubah alam
Manakan sama air hujan dengan telaga

Duduk di atas akan jatuh juga ke bawah, itu aturannya. Namun kalau jatuh disentap, tergolek dan luka, bisanya sukar disembuh oleh masa. Begitulah datuk. Dia rasa sendirian dan kehidupan menjadi sunyi langsung sepi.

Kawan-kawan dalam perjuangan satu demi satu hilang. Kehidupan begitulah adatnya. Jarang ada yang mahu melihat jauh ke dasar melainkan terpana pada apa yang ada di permukaan. Sekalipun datuk mengunci semua kisahnya untuk diri sendiri, saya adalah antara cucu yang paling tahu
.
Saya tahu hingga kini datuk terluka. Datuk cuba bangkit bersama-sama rakan karibnya. Tahunnya 1953. Di situ bermula sebuah kehidupan menyambung perjuangan. Datuk percaya pada kesamarataan.

Mencari gelanggang lain si ayam jalak, saya membaca catatan itu pada helaian lusuh dairi datuk. Di bawah catatan itu ada nota kaki yang menuliskan tentang perlunya kekuatan hati untuk menghadap sindiran dan tohmahan.

Lambat-laun perpecahan akan memakan diri, menusuk hingga ke urat nadi lalu datuk mahu menyatukan selaksa suara menjadi satu. Datuk mahu jantung yang berdegup senada dan berkongsi irama.

Tapi tidak tertulis yang indah-indah itu menjadi miliknya. Pada catatan tahun 1969, datuk menuliskan dia menangis selepas perjuangan akhirnya terhenti. Pemergian rakan rapat mengakhirkan sebuah kehidupan.

Siasah itu adalah tentang persepsi dan pilihan. Siasah itu melihat keindahan. Siasah itu adakalanya membelakangkan keperluan. Datuk menitipkan begitu pada hari-hari akhir sebelum saya berangkat ke kampus.

Anak muda adatnya menanggung rasa, baik-baik menjadi anak muda. Datuk senyum dengan kepayahan dan senyuman itu lekat dalam ingatan saya sebelum datuk kemudiannya terbaring di katil. Saya menderita melihat datuk begitu dan sejak itu saya membenci lelaki yang berjuang.
III

Apakah kamu fikir aku hanya berjuang di kampus, soalan itu membuat saya hilang kata-kata. Saya memang memikirkan itu, memikirkan tentang perjuangannya yang akan terhenti selepas kami bergraduan.
Di luar sana, kehidupan tidak semudah hidup dalam dunia kampus yang kecil. Kehidupan akan ditekan dari kanan ke kiri dan setiap inci tubuh akan dikerah untuk meneruskan hidup. Sepak terajang dunia pekerjaan yang menenggelamkan perjuangan. Tapi Khairil bukan seperti yang dibayangkan.

Hidup adalah perjuangan, bukankah itu yang aku sebut pada hari pertama kamu mengenaliku?

Saya diam lagi. Perjuangan bukanlah semudah yang kita tuturkan Khairil. Ia memerlukan kekuatan jiwa yang luar biasa. Ia memerlukan kelicikan di luar duga.

Dan kamu tidak punya itu? Bukankah kamu anak Melayu? Atau kamu tidak mewarisi kekentalan semangat orang Melayu? Kamu tiada kegagahan Sriwijaya atau kekentalan semangat Langkasuka atau mungkin kehebatan manusia penghuni Dataran Sunda?

Saya tergelak besar. Khairil idealis mungkin.

Khairil, apakah kamu tidak membaca kitab-kitab sejarah. Dari zaman Mapajahit, hingga jatuhnya Langkasuka dan Melaka? Atau Palembang dan Sriwijaya?

Kami berpisah pada akhir pengajian tanpa selamat tinggal. Saya belum membuka pintu hati pada lelaki yang berjuang. Saya, melihat sepanjang hidup betapa deritanya kehidupan datuk sebagai lelaki yang berjuang. Dan saya tidak mahu lagi hidup dengan kehidupan yang sebegitu sewaktu Khairil memilih untuk kekal percaya pada perjuangannya.

IV

Aneh, sangat aneh melihat dia datang bertemu saya di selatan Semenanjung pada pagi akhir Syawal. Kami memang sudah lama tidak bertemu meski saya tahu segala tentang dia. Dia lelaki yang berjuang, pasti saja diketahui setiap pergerakannya.

Hari ini dia mendatangi saya dengan nestapa yang pernah meruntuhkan jiwa almarhum datuk. Dan sewaktu dia bercerita, saya terlihat-lihat bayang kecewa datuk tercetak di wajahnya.
Khairil, air hujan manakan sama dengan air telaga, ular lidi tidak akan mampu menelan naga. Khairil, kamu hanya mengulang sejarah yang luka.

Kamu tidak salah Laila waktu menyebut tentang lelaki yang berjuang, suaranya perlahan sahaja tetapi menghiris.

Saya memilih untuk mendengar. Angin selat menampar-nampar pipi tanpa belas. Sesekali saya melihatnya yang kelihatan seperti puluhan tahun lalu, masih menawan dengan anak mata yang coklat cair di sebalik kaca matanya.

Suaranya juga masih seperti dulu, enak merdu dan setiap satu patah kata-katanya menusuk jauh ke jiwa saya. Seingat saya sewaktu muda dahulu kata-kata yang begitulah yang membuatkan hati saya dipenuhi rama-rama.

Laila, kamu membesar dengan perjuangan yang dicantas, kamu melihat kepayahan hidup seorang lelaki yang punya keinginan melebihi kemampuan. Untuk kali ini sesudah puluhan tahun aku datang kepada kamu untuk memberitahu tentang kebenaran cerita-cerita kamu.

Saya menarik nafas perlahan. Saya tidak mahu menyebut apa-apa. Sesudah puluhan tahun, luka saya bertambah-tambah bisanya. Seorang Khairil asyik bercerita, mengulang kisah-kisah luka dari lipatan sejarah yang sudah lama saya ketahui.

Khairil, luka itu adalah pakaian lelaki yang berjuang lalu jadilah yang selayaknya. Jadilah lelaki berjiwa besar.

Pergilah dan jangan datang lagi kerana hari ini kamu melukakan hati seorang perempuan yang terlalu mencintai.

10 Petua Mudah ,Cantikkan Kulit Wajah

Tengok orang kulit cantik dan bersinar, kita pun mestilah nak tahu rahsia kecantikannya. Malah ada yang sanggup beli produk macam-macam kalau dapat tahu mana-mana produk yang berikan kesan yang luar biasa pada kulit wajah. 
 
Tetapi hati-hati ya, anda belum tentu tahu kesan jangka panjang daripada penggunaan sesuatu produk yang dicuba akibat bahan kimia yang disapu pada kulit wajah. Apa kata kali ini anda cuba menggunakan bahan semula jadi yang mudah dan murah ini untuk rawat kulit wajah...
 
1. Anggur
Untuk menaikkan seri wajah, ambil sedikit anggur dan sapukan pada kulit muka. Atau anda boleh potong dua dan terus letak di muka.
 
  2. Jus Timun, gliserin dan air
Campurkan jus timun, gliserin dan sedikit air memang sangat berkesan. Gunakan sebelum dan selepas keluar rumah di bawah matahari terik.
 
  3. Madu dan krim
Campurkan madu dan krim adalah cara yang terbaik untuk mengekalkan kulit yang lembut terutamanya ketika musim sejuk.
 
  4. Susu segar, garam dan jus limau
Ambil sedikit susu segar, tambah secubit garam serta jus limau. Kemudian sapu pada kulit wajah untuk membersihkan dan membuka liang-liang kulit.
 
  5. Jus Tomato
Untuk membantu jadikan kulit wajah anda lebih lembut dan berseri, anad boleh gunakan jus tomato yang dicampur dengan jus lemon.
 
  6. Serbuk Kunyit, tepung gandum & minyak bijan
Buat masker menggunakan serbuk kunyit, tepung gandum dan minyak bijan. Sapu pada kulit anda untuk buang rambut atau bulu di tempat tertentu. 
 
  7. Jus Kubis dan madu
Umur meningkat, kolagen pun makin hilang. Jangan risau, jus kubis yang dicampurkan dengan sedikit madu boleh rawat masalah kedut pada wajah. 
 
 

8. Madu dan serbuk kayu manis 

Senang, anda hanya perlu gabungkan madu dan serbuk kulit kayu manis untuk disapu pada permukaan kulit yang berjerawat. 
 
  9. Minyak kacang tanah dan jus kapur
Guna minyak kacang tanah dengan jus limau segar dan sapukan di muka untuk mencegah jerawat dan bintik hitam.
 
  10. Getah lidah buaya
Sapu pada kulit wajah untuk merawat masalah jeragat dan sekali gus membantu melembapkan kulit wajah anda yang kering. 
 
  Ya, semua ini menyumbang kepada kesihatan kulit lebih baik yang menyebabkan kulit makin cantik! Ikuti pelbagai tip kecantikan dengan bahan semula jadi dan pastinya masalah kulit wajah akan selesai, selamat mencuba wanita!
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER