Menurut kenyataan tiga hakim mahkamah di Nanterre, berdasarkan siasatan berhubung kes itu, kematian Yasser tidak ada kaitan dengan racun polonium-210, bahan yang dipercayai membunuh pemimpin tersebut.

Jelas kenyataan itu, siasatan itu ditutup ekoran kekurangan bukti menunjukkan campur tangan pihak ketiga yang berniat untuk membunuh Yasser.

Yasser disahkan meninggal dunia di hospital tentera Percy dekat Perancis pada usia 75 tahun pada November 2004, selepas mengalami sakit perut ketika bertugas di ibu pejabatnya di Ramallah, Tebing Barat.

Namun, isteri beliau, Suha mendakwa Yasser meninggal dunia akibat diracun menggunakan bahan radioaktif jenis polonium, ekoran penemuan bahan itu di kubur pemimpin itu.

Suha mengemukakan kes itu pada 2012 di Perancis dan pada tahun yang sama, kubur Yasser di Ramallah digali selama beberapa jam bagi membolehkan tiga pasukan penyiasat Perancis, Switzerland dan Rusia mengumpulkan kira-kira 60 sampel. – AFP