Headlines News :
Home » » Bergembiralah orang yang sabar

Bergembiralah orang yang sabar

Written By zabidi on Sunday, 24 August 2014 | August 24, 2014

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN

KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji oleh-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad ayat ke-31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami), dan hingga kami dapat memastikan keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.

Kesemua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah SWT akan menyeksanya. Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya yang bermaksud: Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: …Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar: 10)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam Al-Auza’i: “Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira banyaknya)."

Sentiasa menguji

Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh Allah SWT. Bahkan, Allah sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabad yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (riwayat al-Bukhari)
Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT adalah antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya. (riwayat Muslim)

Bersabar bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang bertakwa. Ia memerlukan semangat dan kefahaman agama yang baik agar ketika ia datang menimpa, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti menyalahkan Allah, membunuh diri dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan (pahala) tergantung daripada besarnya ujian (yang dihadapi) dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Namun, sesiapa yang murka (marah dengan ujian Allah) maka baginya kemurkaan Allah." (riwayat al-Tirmizi)
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER