OLEH MOHD NASAIE ISMAIL
Gembira bercampur lega dengan pelantikan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai salah seorang Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipimpin oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Beliau dilantik bersama Mufti Oman. Manakala Tuan Guru Abdul Hadi sendiri ulama yang terjun dalam politik kepartian di Malaysia menggambarkan keterbukaan Sheikh Yusuf Al-Qardhawi dan ulama-ulama Islam seluruh dunia yang menyertai muktamar kesatuan tersebut.
Ia berlaku di tengah dunia Islam berada di persimpangan dan sebahagian umat Islam tercari cari identiti. Ketika dunia hampir melupakan fobia Taliban, muncul pula gerakan ISIS@ISIL yang mengundang fitnah baru kepada dunia Islam. Ketika dunia Arab baru menikmati kebebasan demokrasi pasca Arab Spring, penggulingan Mursi di Mesir melahirkan kekecewaan terhadap demokrasi tersebut. Maka muncullah gerakan gerakan persenjataan yang diminati oleh sebahagian anak muda Islam yang kecewa dengan pendekatan demokrasi yang damai tersebut.
Tuan Guru Abdul Hadi mempertahankan pendekatan damai dalam menyelesaikan sebarang konflik dunia khususnya di Syria dan Mesir kini. Namun kadang kala ijtihad beliau dilihat bersendirian, hatta sebahagian kita di Malaysia pun ramai menolak ijtihad beliau dalam hal tersebut tanpa melihat lebih dalam.
Apabila berlaku peperangan, di luarnya dilihat mudah, tetali untuk jangka masa yang panjang kemusnahan akan berlaku dan sukar dibangunkan.
Kemudian suasana perang mudah dimanipulasi oleh kuasa kuasa besar untuk mencatur sesuatu yang akhirnya merugikan dunia Islam. Itulah yang berlaku di Afghanistan dan Iraq serta berpotensi berlaku di Syria.
Kejayaan Tuan Guru merintis perdamaian di Aceh Indonesia setelah berpuluh tahun hidup dalam peperangan adalah satu contoh yang baik untuk diteladani.
Alhamdulillah, anak-anak Aceh hari ini menikmati suasana damai dan fokus mereka membangunkan ummah dan negeri mereka dengan baik.
Cara fikir Tuan Guru ini dikongsi bersama guru beliau Dr Najmuddin Erbakan, anak muridnya juga Erdogan, Dr Kamal Halbawi dan beberapa tokoh lain daripada pelbagai negara dan mazhab.
Namun pasca pemergian Erbakan pada tahun 2011, dilihat ijtihad jalan damai Tuan Guru seolah-olah bersendirian dan terpencil.
Kita bukan bimbang ijtihad ditolak, tetapi bimbangkan dunia Islam terjerumus secara besar ke kancah peperangan dan extremism semakin berleluasa yang menyebabkan mudah kita menjadi bidak catur kuasa kuasa barat.
Namun cadangan Sheikh Yusuf Al Qardhawi dan penerimaan sebulat suara ahli muktamar yang terdiri daripada ulama-ulama Islam seluruh dunia terhadap pencalonan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia memberi satu siar harapan yang cerah.
Sebagaimana Allah memanjangkan usia Dr Yusuf Al Qardhawi sehingga 87 tahun hari ini, begitu juga harapannya agar Allah panjangkan usia Tuan Guru Abdul Hadi yang kini berusia 67 tahun untuk memimpin dan membimbing dunia Islam ke tahap menjadi ummat lebih bermaruah, bukan dipijak dan dihina sebagimana di Palestin dan lain lain wilayah Islam.
Sebagaimana kerajaan Qatar yang menjadikan negaranya sebagai pengkalan dan pejabat kepada Sheikh Qardhawi, begitulah selayaknya kerajaan Malaysia perlu menyediakan sebuah institusi dan pejabat untuk pergerakan Sheikh Abdul Hadi Awang sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Home »
Penulis Tamu
» Tahniah buat Tuan Guru Presiden PAS
Tahniah buat Tuan Guru Presiden PAS
Written By zabidi on Sunday, 24 August 2014 | August 24, 2014
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment