Headlines News :
Home » » Palestin desak kumpulan militan Yahudi dilabel sebagai pengganas

Palestin desak kumpulan militan Yahudi dilabel sebagai pengganas

Written By zabidi on Wednesday 14 May 2014 | May 14, 2014

RAMALLAH - Palestin dilapor meminta negara-negara kuasa dunia supaya melabelkan kumpulan-
kumpulan pendatang haram Yahudi yang dikenali sebagai ‘Hilltop Youth’ dan sering menyerang masyarakat Palestin dan kawasan suci di wilayah Palestin sebagai pertubuhan pengganas.

Menteri Luar Palestin, Riad al-Malki berkata, kumpulan militan pendatang Yahudi itu dan aktivis-aktivis yang menggunakan slogan ‘price tag’ ‘melakukan keganasan berterusan terhadap penduduk Palestin, menceroboh tanah, kawasan suci dan harta benda penduduk Palestin’.

Slogan ‘price tag’ merujuk kepada hukuman yang dituntut kumpulan pendatang haram Yahudi itu atas sebarang cubaan oleh kerajaan Israel mengawal penempatan di Tebing Barat, sebuah kawasan yang dituntut Palestin sebagai sebahagian negara mereka.

“Kumpulan-kumpulan ini memainkan peranan dengan membunuh, menghasut keganasan dan menyebarkan budaya kebencian dan perkauman," kata Riad dalam satu surat kepada Rusia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), semalam.

Langkah itu dibuat sebagai usaha Palestin untuk merujuk tuntutan mereka bagi menubuhkan sebuah negara bebas di wilayah yang diduduki Israel kepada lebih banyak pertubuhan-pertubuhan antarabangsa sejak kegagalan rundingan damai tajaan AS pada bulan lalu.

Kemarahan penduduk Palestin semakin memuncak ekoran tindakan militan pendatang haram Yahudi itu yang menyerang perkampungan Palestin dengan membakar bangunan, menulis slogan kebencian dan menyerang penduduk.

EU dan negara-negara Eropah sejak berdekad-dekad lalu merujuk beberapa kumpulan bersenjata Palestin sebagai pertubuhan pengganas dan baru-baru ini turut menyenaraikan kumpulan militan Israel, Kahane Chai dalam senarai tersebut.

Jabatan Negara AS dalam laporan keganasan yang diterbitkan pada bulan lalu turut menyentuh tentang serangan oleh militan pendatang Yahudi itu, namun tidak menyenaraikan mereka sebagai kumpulan pengganas.

Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB pada 2013 melaporkan sebanyak 399 serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin yang mengakibatkan kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Pegawai Israel tidak mengulas berhubung kenyataan Palestin itu. - REUTERS

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER