Mama
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | May 06, 2014
mesin jus buah.Keringat yang keluar di dahi.
Mama terus membaca Quran di bawah.Mungkin dia telah merasakannya.
Sesuatu yang menular ke seluruh jiwa raganya sebaik-baik Ustaz Azman dan rakan-rakannya mengaminkan doa solat hajat yang tidak diketahui jumlah rakaatnya.
"Jika dia bertindak liar, telefon saya.Kami akan cuba dari jauh dengan izin Allah."
Air mataku terus membasahi pipi yang sudah sedia basah sejak pulang dari sekolah tadi. Aku tahu pilihannya hanya dua: sama ada Mama terus sembuh dan dapat beramal seperti biasa. Atau.
Atau inilah kali terakhir aku dapat memanggilnya Mama jika waktunya sudah tiba.
Aku beristighfar sebanyak air mata yang terus mengalir. Mama beritahu Kak Long bahawa dalam anak-anaknya yang seramai enam orang itu, dia memang sayangkan aku kerana kecacatan aku. Aku anak yang istimewa sejak kecil.
Kakiku yang pendek sebelah sering membuat aku sentiasa ke belakang. Sentiasa lewat. Atas alasan itu, Mama selalu kasihankan aku. Aku tidak pernah dimarah walaupun dosa aku setinggi gunung terhadapnya, tak macam adik-beradik aku yang lain.
" Engkau the spoilt brat," kata Kak Long, sedikit cemburu kerana sebagai anak sulung, dia tidak pernah istimewa di mata Mama.
Tetapi Mama dan aku sering bergaduh. Aku malu bila Mama terus menghantar aku ke sekolah sehingga aku di Tingkatan Lima.Aku terasa begitu cacat di mata dunia.Biarkan aku sendiri! Biarkan aku sendiri, begitu jerit batinku setiap kali Mama memimpin aku turun dari kereta.
Tetapi aku tidak pernah berkata apa-apa dengannya. Cukup sekadar aku menghempaskan daun pintu dan tidak bersalam mencium tangannya.
Aku kirim SMS kepada dua daripada adik-beradikku. Yang lain aku biarkan sahaja kerana mereka tidak akan upaya melalui semua ini. Mereka akan menuduh bahawa aku yang cuba membunuh ibu aku sendiri dengan ayat Quran dan zikirullah.
Mama memakai ilmu untuk kekal berkuasa. Untuk memastikan Papa tidak menduakannya dan terus setia. Dalam apa keadaan sekalipun. Sakit. Tua. Miskin.
Mama tiada pilihan. Di zaman Jepun, tidak ramai wanita yang mampu pergi ke sekolah maka lebih ramai yang tidak mampu pergi ke universiti. Hanya ada satu pilihan biarpun sebijak mana mereka.Kahwin pada usia remaja.
Mama kahwin pada usia 16 tahun dengan Papa yang 10 tahun lebih tua daripadanya. Papa lelaki kacak dan pintar. Lulusan universiti dan satu-satunya anak kampung yang berjaya.
Tradisi dan amalan di kampung di mana Islam belum berakar umbi ialah pegang lelaki seperti Papa sampai ke mati. Ikat dia kuat-kuat dengan jampi serapah dan susuk sasak.
Aku tidak tahu semua ini sehingga aku diperkenalkan dengan Ustaz Azman oleh Jijoi, sahabat baik ku, seorang mualaf yang baru memeluk agama Islam. Jijoi juga melalui pengalaman yang sama sebaik-baik dia memberitahu ibu bapanya bahawa dia telah memilih Islam sebagai agama dan cara hidupnya.
Ledakan bom perang dunia ketiga berlaku malam Jijoi membuat pengumumannya itu. Habis kain baju Jijoi dihumban oleh Uncle Koh dan ibunya menjerit-jerit mengatakan , Jangan kau berani pulang walaupun pada Tahun Baru Cina."
Jijoi sangat tabah. Di bilik guru sekolah dia langsung tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Dia terus melayani anak-anak murid yang dahagakan ilmu dan kasih sayangnya. Tiada siapa yang tahu Jijoi telah masuk agama Islam kecuali aku.
Tetapi semasa Jijoi pergi mencari Ustaz Azman, dia pergi mencari sokongan spiritual secara senyap-senyap. Ibarat semut hitam di atas batu di jalanan. Terlalu kecil untuk menarik perhatian sesiapa pun.Terlalu hitam jua.
Apabila aku menelefon Jijoi dengan mata yang bengkak di hari aku berperang besar dengan Mama, Jijoi meminta aku bersabar. Ikut cara Rasulullah, katanya. Rasulullah melalui lebih daripada apa kita lalui.
Tetapi Rasulullah tidak bergaduh dengan ibunya," kata aku antara sebak dan marah.
Jijoi minta aku duduk sekiranya aku berdiri dan baring sekiranya aku duduk. Ini cara mengawal marah yang diajarkan oleh Rasulullah, katanya. Selepas aku agak tenang, Jijoi menyebut nama Ustaz Azman.
Jijoi bersetuju untuk menemankan aku bertemu dengan Ustaz Azman dan meminta nasihatnya mengatasi masalah aku dan ibuku secara Islamik. Aku tidak faham mengapa tiada langsung ruang damai antara aku dan Mama. Dan aku tidak mahu mati sebagai anak yang derhaka.
Berhadapan dengan Ustaz Azman yang buta matanya, lidah aku semakin kelu. Perasaan malu menerjah diriku. Mana mungkin aku bercerita dengan orang yang aku tidak kenali sesuatu yang begitu peribadi.
Jijoi mencuit lenganku memberi isyarat agar aku tidak membuang masa dan terus memberitahu Ustaz Azman masalah aku.
Saya tidak tahu di mana ingin saya mulakan."
Ibu kamu," sampuk Ustaz Azman dengan senyum lembut. Matanya telah melihat tanpa hijab dengan kuasa Allah yang sungguh menakjubkan.
Bergaduh
Saya selalu bergaduh dengan ibu saya sejak saya kecil dan sehingga kini, semakin menjadi-jadi dan saya telah cuba segalanya. Saya sudah menjalani sesi kaunseling dan sebagainya.
Apabila saya cuba membuat apa yang disukai ibu, dia pula yang akan membuat hal dan akhirnya kami akan bertengkar dan bermasam muka. Saya tahu hukumnya berdosa, Ustaz. Inilah ikhtiar saya agar saya tidak mati sebagai anak yang derhaka."
Alhamdulillah. Kamu mesti terus berusaha. Sebahagian dari masalah ini dari kamu. Sebahagian yang lain dari ibu kamu sendiri," Ustaz Azman terus senyum.
Aku rasa macam nak bangun balik sahaja tetapi Jijoi menarik baju kurung aku agar jangan cepat melenting.
Aku tidak perlu datang sejauh ini untuk mendengar nasihat begitu, Jijoi. Aku tahu antara aku dan Mama, kami berdua memang bersalah," bisik aku geram kepada Jijoi.
Maksud Ustaz, ada gangguan syaitan dan jin di antara kamu," kata Ustaz Azman seolah-olah dia mendengar bisikan aku kepada Jijoi.
Sekali lagi Jijoi menarik baju kurung aku dan menghalang aku dari terus beredar dari rumah Ustaz Azman.
Ibu kamu memakai."
Memang dia selalu berkebaya sejak muda lagi Ustaz."
Bukan itu maksud Ustaz.Dia memakai ilmu pengerun."
Apa faedahnya?"
Supaya orang mendengar cakapnya dan orang takut kepadanya."
Orang tidak takut. Orang benci, kata aku.
Bukan salah dia. Persekitaran waktu itu. Islam belum kuat. Amalan syirik amalan harian. Sebagai pelindung diri dan promosi diri."
Apa bezanya sekarang?" tidak dapat aku senyapkan lidah bisaku. Jijoi mencubit lengan aku tanda suruh diam.
Sekarang kita juga ada dua pilihan seperti dahulu juga. Pilih arah ke syurga atau ke neraka." Tenang Ustaz Azman menjawab.
Jadi apa yang harus saya lakukan?"
Kita bunuh sahaja anasir jahat itu. Budak-budak tahfiz saya akan beramal tujuh hari atau 14 atau 21 hari - bergantung kepada tindak balas syaitan yang direjam itu."
Bayarannya?"
Kami tidak meminta. Ada juga orang yang langsung tidak memberi."
Saya tidak pandai nak mengagak apa yang setimpal."
Bagi sahaja apa yang ikhlas. Dan tambah lagi sedikit."
OK."
Ustaz Azman pun mengambil botol air mineral yang sudah dibacakan dengan ayat-ayat Quran dan sebagainya dan disuruh minum, cuci muka dan dibolehkan menambah air biasa agar tahan lama. Acara solat hajat dan zikirullah akan bermula malam itu juga. Awas, katanya, tindak balas luar biasa mungkin akan berlaku.
Kamu baca ayat ini dan ayat ini jika dia terlalu di luar kawalan," pesan Ustaz Azman.
Jijoi dan aku beredar dan di dalam kereta aku SMS Kak Long dan memberitahunya apa yang berlaku. Kami sepakat bahawa kami juga akan membuat solat hajat kami sendiri dan membanyakkan sedekah selama tempoh 7 hingga 21 hari pemulihan spiritual Mama ini.
Tiba-tiba hati aku menjadi pilu.
Aku tidak boleh membunuh Mama, Jijoi."
Kamu bukan membunuh tetapi mengubatinya, Nanai."
Syaitan datang banyak cara, pesan Ustazah Latifah tidak berapa lama dahulu.Dia akan buat kita kasihan, hiba dan lain-lain apabila kita ingin menjauhinya.Tabahkan dirimu Nanai, pujuk hatiku. Yang salah tetap salah. Kau hanya mahu Mamamu yang sebenarnya yang kembali, kata hatiku lagi.
Di rumah Mama sedang membaca Quran. Aku memberi salam buat pertama kalinya.
Mama mengangkat mukanya dan melihat aku dengan pandangan yang lama.Mungkin dia berasa pelik aku kembali ceria seperti aku berusia tiga tahun.
Mama dah makan?" lembut pertanyaan aku.
Mama senyum.
Mama tunggu kamu," katanya sambil menutup al-Quran.
Kami makan secara senyap. Memang begitu setiap hari kerana jika salah seorang kami bercakap, di akhirnya perbalahan yang akan membuat daun pintu berdentum dentam.
Mama rasa sangat lain hari ini."
Rasa macam mana Mama?"
Badan Mama rasa panas dan tangan Mama menggigil seperti orang berusia 80 tahun."
Mama memang berusia 80 tahun."
Mama muram.
Tidak. Mama mahu kelihatan 40-an."
Bunga-bunga perbalahan sudah timbul. Kali ini aku diam sahaja. Ustaz Azman telah berpesan, jangan berbicara banyak di waktu pemulihan ini.
Mama mandi sahaja dan rehat. Mungkin Mama tak sihat tu," aku sendiri tidak sangka aku boleh menjadi seorang anak yang naik begitu. Selalunya aku akan terus masuk ke bilik dan membiarkan Mama dengan pembantu rumah.
Kamu bacakan Yassin untuk Mama, Nanai. Mama rasa Mama akan mati hari ini. Sudah tiba masanya."
Aku gugup. Ingin sahaja aku menelefon Ustaz Azman dan membatalkan segala rancangan malam ini. Aku masih perlukan Mama. Mama, jangan pergi lagi.
Malam itu Mama mengilai tidak berhenti-henti sehingga jiran sebelah datang bertanyakan mengapa. Aku katakan Mama tidak sihat. Ustaz Azman memberitahu aku supaya teruskan merenjis air yang dibekalkan dan baca ayat-ayat yang dipesankan siang tadi.
Akhirnya Mama tumbang dan kami membaringkannya di atas katil dan menyelimutkannya. Rupa Mama sangat tua tetapi kulitnya berseri. Wajahnya tidak lagi menggerunkan.
Mungkin Mama kami telah kembali.
Selepas 21 hari, Mama semakin sihat dan akulah yang menjaganya siang dan malam secara bergilir-gilir dengan Kak Long.Adik beradik lain datang macam pelawat menziarahi pesakit di hospital.
Belum sempat panas punggung, mereka sudah beredar dengan pelbagai alasan: nak ambil anak dari tuisyen, takut jam, hujan lebat, besok nak kerja.
Di hari-hari sebelum Mama sakit begini, aku akan melenting tetapi kini, hati aku tenang. Itu pilihan masing-masing, kata hati ku.
Setiap orang hanya ada dua pilihan.
Syurga atau neraka.
Labels:
Cerpen
Post a Comment