Headlines News :
Home » » Bot Air 10

Bot Air 10

Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | May 06, 2014

“Bot Air 10 milik ayah hilang ! “
Hanya kata-kata itulah yang sering berpeleseran dalam mindanya.

Masih belum ada khabar ?"
Hanya soalan yang itu yang menjajahi mulut dan artikulasi fonetik lidah.
“Kami hanya terus menanti."
Hanya itu sahaja harapan yang ada. Tiada lain.
Setiap pagi, tengah hari dan setiap petang Apis memasang pukat harapan di pinggir pantai. Tiada senja yang indah buatnya biarpun dengan warna jingga yang berserakan di langit ditompoki awan yang membentuk pelbagai bentuk. Senja tetap memeluknya dalam kesepian hingga menerobos ke jendela rumahnya yang terbuka luas. Namun yang pasti, senja itu tetap hanya menghantar sinar harapan yang belum bertukar menjadi cahaya kegembiraan. Setiap petang, Apis akan berdiri, berpeluk tubuh, mengeluh - seperti menanti senja ditelan gelap kesedihan mengenangkan harapan yang belum kesampaian. Sudah tiga minggu Apis menanti ayahnya pulang. Sudah tiga minggu dia dan Tira hanya diulit kerinduan.
Bot Air 10 milik ayahnya yang digunakannya ke laut untuk menangkap ikan tidak pulang-pulang dalam situasi badai menggulung tinggi pada musim tengkujuh. Lebih melonglaikan sendi tubuh tatkala mendengar pelbagai cerita. Cerita-cerita itu pula hanya bersifat andaian tanpa dapat dibuktikan. Hanya kedut dan kerut kebimbangan yang menghiasi wajah.
Apis sedar, laut adalah padang permainan ayahnya sejak kecil. Ayahnya seperti berlari di lautan. Ibarat ayahnya hanya mengutip hasil tangkapan seperti mengutip batu di jalanan. Tidak ada yang susah dalam rutin permainan itu. Ayahnya sudah mengendalikan bot nelayan itu sejak usia belasan tahun lagi. Dia kenal seluk-beluk di lautan - di mana selekohnya, di mana gunung ombak yang bergulung, jalan, simpang dan semuanya. Asin laut sudah menjadi udara dalam nafasnya. Asin laut sudah bersebati dengan peluh yang sememangnya masin.
Tapi bukan musim tengkujuh yang merisaukan Apis, biarpun kemungkinan cuaca turut dilambung ombak resah dalam segara minda. Keadaan cuaca akan memungkinkan segalanya tapi Apis lebih risaukan dua orang pekerja yang menemani ayahnya menangkap ikan di laut. Ayahnya tidak lagi berkongsi bot dengan Pak Cik Aibah. Ayahnya telah membeli beberapa buah bot lain untuk disewa. Dia hanya menggunakan Bot Air 10. Setiap bot diberikan nama yang tersendiri. Memang rezeki ayahnya agak murah sejak kebelakangan ini. Harga hasil tangkapan juga agak memuaskan sejak mereka tidak lagi menggunakan peraih atau orang tengah untuk memasarkan hasil tangkapan. Keuntungan pastinya akan bertambah. Ayahnya jugalah yang menggerakkan usaha untuk menubuhkan koperasi nelayan di kampung itu. Hasil tangkapan akan dibuat keropok yang akan diusahakan oleh golongan wanita.
Sememangnya hatinya dicolok rasa kurang senang tatkala ayahnya didatangi dua orang pemuda yang bukan berasal dari kampung tersebut. Kelancaran berbahasa tempatan mereka juga menerbitkan syak wasangka. Sorot mata dengan mulut yang sedikit herot begitu meresahkan Apis.
“ Jangan hanya melihat seseorang itu dari luar. Apa yang tersimpan di dalam hati, kita tidak mampu untuk meneka. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui."
Kata-kata bujukan ayahnya tidak mampu menepis sejengkal pun prasangka yang mengusik. Apabila dikenang-kenang kata-kata itu, kebimbangan Apis memang berasas.
Bermacam-macam cerita yang Apis dengar hingga mengocak kolam ketenangan jiwanya hingga menjadi laut yang bergelora. Semua cerita itu berbaur. Cerita itu menjadi tali yang berselirat. Semuanya berkecamuk.
Ada beberapa orang nelayan yang melihat bot ayahnya belayar jauh daripada biasa. Bot itu laju membelah laut. Pecah cerita itu di warung Wak Dollah. Ayahnya memang jarang mengemudi botnya sejauh itu. Sungguh, tidak pernah begitu. Timbul andaian bahawa ayahnya ingin mencari lebih banyak tangkapan terutama untuk menampung upah pekerja baru. Argh! Lagi-lagi andaian hitam juga yang berarak di langit hatinya menyembunyikan gunung harapan.
Kemusykilan kian menyesak dalam dadanya tatkala ayahnya tidak pernah memberitahunya bahawa dia ingin menangkap ikan hingga ke kawasan laut dalam. Lagi pun, bot ayahnya tidak mempunyai kelengkapan yang canggih. Kelengkapan botnya biasa-biasa sahaja.
Setelah tiga hari ayahnya tak balik-balik, memang hati Apis terasa hendak pecah. Tenggelam segala kepositifan yang cuba diapungkan dalam fikiran. Yang tinggal hanya awan hitam yang berarak dalam jiwa.
Dia tidak tunggu lama. Dia terus laporkan perkara itu dengan penghulu. Lepas itu, dia laporkan pula perkara itu kepada pihak polis. Hatinya memang kuat menebak - ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada ayahnya. Adiknya, Tira yang berusia empat tahun, asyik bertanyakan ayahnya. Semenjak kematian ibu dua tahun yang lalu, Tira memang sangat manja dengan ayahnya. Hari-hari dia bertanya. Naik muak dan berserabut Apis untuk mencari pelbagai alasan dan jawapan.
“Abang kata ayah pergi tak lama. Setiap hari abang kata, hari ini ayah balik. Dah berminggu-minggu tapi ayah tak balik-balik." Tira berleter seperti orang yang sudah dewasa biar pun dengan pelat pertuturan kanak-kanak.
Apis sudah tidak mahu menaburkan janji kosong. Dia hanya diam sahaja tatkala Tira mula ramah bertanya.
Beberapa buah bot penduduk kampung telah dikerah untuk mencari bot ayahnya. Usaha mencari itu agak sukar dengan keadaan laut yang bergelora dan keadaan langit yang berjerubu. Mereka mencarinya sampai ke kawasan pulau-pulau kecil. Tapi usaha mereka seperti mencari butiran garam di lautan. Hanya rasa asinnya diyakini tetapi butiran kemungkinan ada di mana-mana. Akhirnya mereka hanya membawa kerut wajah yang membawa riak hampa. Apis tidak mahu bertanya kerana mengetahui jawapannya.
Hari demi hari, pelbagai cerita berita yang disogokkan kepada Apis. Terasa sakit tekaknya menelan pahit cerita berita itu - lebih pahit daripada sayur peria kerana dia tidak pernah merasai hempedu.
Ada yang menyatakan kemungkinan ayahnya diculik oleh lanun. Tapi jika berlaku sebarang penculikan, tentu ada ugutan dan wang tebusan yang diminta. Ada juga yang menyatakan bahawa keluarga ibunya suatu ketika dahulu juga daripada puak-puak yang berkenaan. Mereka memberontak di negara asal mereka hingga menjadi gelandangan di laut dan pulau-pulau kecil. Pasukan polis dan penyelamat juga telah lama berkampung di kawasan pantai. Beberapa bot yang dilengkapi dengan radar juga telah dikerah untuk mencari bot ayahnya, tetapi keputusannya tetap sama - mereka gagal menemui sebarang petunjuk. Skuad menyelam juga telah dikerah menyelam mengikut zon. Walaupun ada rasa letih dan putus asa pada wajah mereka tetapi Apis tidak akan berasa letih dan berputus asa menanti kelibat ayahnya muncul semula di pantai itu.
Yang lebih merentapkan jiwa Apis tatkala ada nelayan yang bercerita bahawa mereka terdengar bunyi tembakan pada hari ayahnya hilang. Apis ada mendengar tentang kekejaman lanun-lanun di situ. Mereka menjadikan pulau-pulau kecil sebagai kubu mereka untuk menyembunyikan diri. Sungguh. Lagak mereka seperti orang tempatan dengan kulit mereka yang juga sawo matang. Golongan ini tidak takut membunuh malah tidak segan-silu memenggalkan kepala musuh mereka. Darah adalah bahasa sengketa yang sudah sebati dalam diri. Ada kegerunan yang menyelit dan menyusup tatkala mendengar cerita itu. Puak-puak ini dikatakan mempunyai ilmu kebal yang tidak lut senjata.
Mungkinkah ayahnya turut menjadi mangsa ? Mungkinkah tersembunyi dendam ?
Kemungkinan itu tidak akan Apis biarkan tersimpan dalam balang rasa. Apis akan curah segala kemungkinan negatif yang bersisa. Dia tidak dapat bayangkan jika kemungkinan itu menjadi kenyataan yang akan mendera-parahkan perasaan terutama perasaan Tira yang belum memahami apa-apa. Tira yang sentiasa bertanya itu-ini tentang ayah. Sungguh, Apis kehabisan aksara untuk disusun menjadi kata-kata yang membentuk alasan. Ya, alasan yang goyah.
Apa lagi yang mampu menghentikan degup rasa tatkala mendengar berita cerita yang mengejutkan. Terasa luruh jantung. Setelah sembilan hari ayahnya hilang di lautan, Apis didatangi beberapa pegawai penyiasat. Mereka menunjukkan dua keping gambar yang memang dikenali oleh Apis. Wajah yang entah mengapa sering mengganggu lenanya semenjak ayahnya menyepikan diri di laut.
Ayah !
Bukankah sudah Apis luahkan !
Ayah !
Memang Apis yakin mereka bukan orang baik-baik !
Ayah !
Kita mesti simpan sedikit rasa curiga !
Apa lagi yang mampu dilakukan. Hanya bahasa kesedihan yang berbicara. Dua orang pemuda itu bukan rakyat tempatan. Sudah berbulan-bulan mereka bergerak dari kampung ke kampung untuk mencari mangsa. Ayahnya antara individu malang. Entah apa yang mereka mahukan daripada ayahnya. Mungkin wang. Tapi setelah ayahnya berkeras, mereka turut melakukan kekerasan kepada ayahnya. Aduh, mengapa kemungkinan itu yang meronda-ronda dalam mindanya. Hush ! Andaian itu perlu dihalau jauh untuk mengekalkan keoptimisan.
Jiwa Apis menggelegak hingga berasak-asak dan berontak di lebuh raya jiwa tatkala dia juga didatangi oleh pegawai insurans. Pelbagai soalan dikemukakan - kiri, kanan, atas, bawah hingga hampir Apis berteriak apabila mereka mengemukakan kemungkinan kehilangan ayah dirancang untuk memperoleh wang insurans nyawa ayah sebanyak dua ratus ribu ringgit. Aduh, bolehkah keresahan jiwa dan nyawa diperjudikan untuk senilai wang?
Macam-macam. Empat hari lepas, Apis masih ingat tatkala dia didatangi oleh seorang bomoh yang menawarkan khidmat untuk mencari ayahnya. Benar. Pada mula, dia tidak menjangka lelaki itu seorang bomoh. Penampilan lelaki itu seperti ahli korporat dengan kemeja bertali leher, siap lagi memakai blazer. Tapi dengar cerita, bomoh itu memang terkenal terutama dalam kalangan orang politik. Dia telah menyelesaikan banyak kes mistik yang berprofil tinggi.
Tapi Apis tolak secara baik pelawaan bomoh tersebut. Bukan Apis tidak ingin merungkaikan tali kekusutan yang berselirat dalam batok kepala, tetapi dia masih percaya dengan kekuasaan Allah. Dia tidak mahu terlontar dan terbelengu dalam amalan khurafat. Kalaulah ayahnya benar sudah dijemput kembali ke alam jauh, Apis tidak mahu ayahnya bersedih dengan perbuatannya yang menyekutukan Allah. Dia akan mempertahankan nasihat ayahnya sejak dia masih kecil lagi.
Apis gerakkan kariah kampung untuk mengadakan solat hajat di surau. Dia keluarkan sedikit simpanan wang ayahnya untuk membuat majlis doa selamat dan tolak bala. Tiga malam berturut-turut majlis itu dibuat di surau kampung antara waktu Maghrib dan Isyak. Tiga malam berturut-turut juga Apis beristikharah sendirian di rumah untuk memanggil petunjuk Ilahi agar bersatu dalam mimpi dan intuisi diri. Pada malam yang terakhir itulah dia menyatakan hajatnya kepada penghulu dan Tok Imam untuk mencari sendiri ayahnya.
“ Saya percaya dengan ketentuan takdir. Saya tidak pernah ragu dengan qada’ dan qadar Allah. Cuma saya hanya mencari jasadnya biar hanya sepotong kaki untuk dikebumikan. Tapi saya masih mengharapkan ayah masih hidup. “
Tok Imam dan Tok Penghulu hanya berpandangan sesama sendiri.
“ Apis masih muda lagi. Masih tunggu keputusan SPM. Apis juga tak pernah turun ke laut sendirian. Hanya sekali-sekala ikut ayah Apis dulu. Tentu bahaya jika Apis pergi sendirian. Nanti Tok suruh seseorang temankan Apis."
Apis menekur lantai - mencari kata-kata di sebalik papan lantai yang renggang.
“ Tidak perlu Tok. Apis anak nelayan. Apis perlu kenal gelora dan cabarannya. Lagi pun, jika benarlah ayah tidak akan kembali … Apis memang perlu berdikari untuk mencari rezeki. Apis berjanji dengan ayah untuk menjadi pilot … biarlah apis menjadi pilot bot terlebih dahulu."
Sengaja Apis berlelucon - menghalau segala resah dan ketegangan. Dia resah. Tok Penghulu dan Tok Imam juga pasti turut bimbang.
Pagi itu, Apis membelah ombak kecil untuk mencari ayahnya. Tira ditinggalkan di rumah Tok Imam. Sengaja dia pergi sendirian. Dia hanya mahu berbicara dengan jiwanya sendiri. Dia mahu mencari ayahnya dengan kelapangan jiwa. Biar dia berfikir dengan putih mata hati.
Masih selamatkah ayah ? Botnya sampai di sebuah pulau kecil setelah beberapa lama enjit bot mengaum ganas. Ngauman itu tidak akan menakutkan keperkasaan ombak.
Situasi di pulau itu agak aneh. Sunyi. Apis tidak pernah sampai ke situ. Tatkala dia mencelupkan tangannya di permukaan air, seolah-olah ada percampuran air sejuk dan panas. Mungkin kawasan itu juga merupakan sempadan antara air tawar dan air masin. Ada bayangan yang membumbun di udara yang entah apa. Ada gerak angin yang membisikkan pesan tapi tidak jelas. Tapi angin yang berhembus itu meresap ke hati hingga mengalunkan rasa sedih.
Apis berhenti sebentar di pulau itu. Dia bersembahyang Zohor di tepi pantai - di bawah sebatang pokok. Selepas itu dia bersembahyang hajat. Matanya diluyut rasa kantuk. Rasa tidak tertahan mata. Dia memisat-misatkan kelopak mata. Antara jaga dan lena. Dia sendiri tidak pasti. Pada waktu itulah, dia melihat bayangan ayahnya sedang tersenyum. Melambai ke arahnya dari tengah laut. Ada bisikan yang dilontar. Ayahnyakah yang berbicara atau suara hatinya sendiri ?
“Allah timbulkan pelbagai persoalan yang kekadang tidak mampu ditafsir. Tak ditemui jawapan. Kepada Allah kita kembali dan berserah."
Selepas itu bayangan ayahnya lenyap berkepul seperti menjadi awan.
Sungguh, ada air mata yang jatuh. Malam itu, Apis mengerjakan sembahyang jenayah ghaib biarpun dia meyakini ayahnya masih hidup … kalau tidak pun hidup dalam hatinya dan Tira.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER