Headlines News :
Home » » Semalam di Sungai Sedim

Semalam di Sungai Sedim

Written By zabidi on Sunday 22 November 2020 | November 22, 2020


AKTIVITI mandi manda di air terjun dan tidur dalam hutan antara liburan kegemaran penulis dan keluarga.

Pada Januari lalu, penulis bersama keluarga dan rakan meluangkan masa berkhemah sehari semalam di Hutan Lipur Sungai Sedim, Kedah atau lebih dikenali sebagai 'Ayiaq Terjun Pakcik Azam' oleh anak-anak.

Perjalanan kali ini mengambil masa kira-kira dua jam dari kediaman penulis di Taman Mentaloon, Alor Setar. Menggunakan pacuan empat roda, kami merentasi Lebuhraya Alor Setar Utara.

Keluar dari tol Sungai Petani Selatan, kami meneruskan perjalanan ke pekan Kuala Ketil. Dari Kuala Ketil, rakan penulis berpesan supaya mengikut papan tanda kawasan perkelahan Lata Bukit Hijau terlebih dahulu sebelum mencari papan tanda Sedim.

Sedim memang dikenali dengan kawasan riadah yang sangat menarik. Deruan air terjunnya memang menaikkan adrenalin.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik boleh dijalankan di sini, termasuk melalui laluan kanopi The Tree Top Walk, berkayak arus deras, kayak tiub (tubing) dan sebagainya.

BERKHEMAH di tepi sungai.
BERKHEMAH di tepi sungai.

Perjalanan kami dipermudahkan dan kami selamat tiba sekitar jam 12 tengah hari.

Hangat cahaya matahari pada ketika itu tidak terasa apabila mendengar deruan air terjun. Kawasan air terjun yang dikelilingi hutan berusia puluhan tahun menambah seronok anak-anak.

MALAM menenangkan bertemankan bunyi ungas.
MALAM menenangkan bertemankan bunyi ungas.

Anak yang tidak sabar, terus turun bermandi manda sehingga terlupa makan tengah hari. Selepas menyediakan hidangan, penulis turut dan mandi.

Selepas beberapa jam berendam, penulis bersama suami dan rakan mendirikan khemah di kawasan yang disediakan.

Kami kemudian memasak dan terus menikmati hidangan nasi putih bersama ikan, ayam bakar, air asam serta kicap sambil menunggu anak yang masih tidak puas bermandi-manda.

IKAN dan ayam bakar antara hidangan menyelerakan.
IKAN dan ayam bakar antara hidangan menyelerakan.

Apabila malam tiba, anak-anak yang keletihan bermain air terus 'pengsan' sehingga tidak sempat makan malam.

Penulis sendiri memilih berbaring di luar khemah sambil mengambil kesempatan menikmati alam. Mendidik diri dengan syukur.

Pancaindera mata dapat melihat keindahan taburan bintang dan telinga mendengar deruan air terjun yang tidak pernah berhenti. Cukup menenangkan.

Biarpun hanya sehari semalam, peluang meluangkan masa dengan anak-anak sambil menikmati keindahan alam semula jadi adalah pengalaman sangat bermakna kepada penulis.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER