Oleh Khairul Anwar Ahmad Nadzer
Penurunan
had umur layak mengundi kepada 18 tahun menjadi salah satu topik hangat
diperbincangkan sejak kebelakangan ini. Usul pindaan Perlembagaan
Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada
18 tahun, sudah diluluskan di Dewan Rakyat 16 Julai lalu.
Ini
menunjukkan, semua ahli Dewan Rakyat bersetuju menurunkan had umur
mengundi kepada 18 tahun. Secara keseluruhannya, majoriti negara yang
mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18
tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara.
Bagi
memastikan amalan demokrasi kita mencapai apa yang dikatakan sebagai
‘international best practice’ (amalan terbaik antarabangsa), maka amat
wajar cadangan menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun ini diberi
sokongan sepenuh.
Malah, mengikut garis panduan ‘United Nation
Convention of Right of Child’, umur 18 tahun ini diiktiraf sebagai cukup
dewasa dan boleh membuat keputusan. Jika diteliti juga menerusi
perkembangan pembangunan sosial, ekonomi dan politik dalam kalangan
orang muda, boleh dikatakan Malaysia sebenarnya bersedia untuk
membenarkan belia berumur 18 hingga 20 tahun ini untuk memilih.
Ramai
juga yang dilihat mempertikaikan sistem pendidikan Malaysia yang
dikatakan tidak memberi persediaan cukup kepada belia untuk terbabit
dalam proses pilihan raya. Persoalannya, sampai bila?
Bukankah
sepatutnya ini dijadikan peluang terbaik bukan sahaja mengubah umur
mengundi, tetapi mengubah sistem pendidikan negara ke arah yang lebih
dinamik?
Secara terus terang, jika faktor pendidikan sivik dan
pengundi dijadikan alasan untuk menidakkan hak belia 18 hingga 20 tahun
untuk mengundi, percayalah bahawa ramai juga belia umur 30 tahun yang
masih diragukan kesediaan mereka untuk mengundi.
Banyak penulisan
ilmiah universiti tempatan menunjukkan pengundi muda (21 hingga 30
tahun) masih tidak faham asas-asas pilihan raya. Oleh yang demikian,
tidak wajar jika faktor umur ini dipersalahkan. Apa yang perlu, adalah
memperkasa sistem pendidikan sivik dan pendidikan pengundi di Malaysia,
supaya mereka lebih bersedia.
Australia adalah sebuah negara yang
boleh dijadikan rujukan dalam isu pendidikan sivik dan pengundi.
Australia National Electoral Education Centre sebagai contoh, adalah
pusat pendidikan pengundi negara itu yang bertanggungjawab untuk
memberikan pendidikan pengundi kepada segenap lapisan masyarakat bagi
mempelajari apa itu demokrasi dan pilihan raya.
Menariknya, antara
yang paling ramai membuat lawatan ke tempat itu adalah pelajar berusia 7
hingga 10 tahun dan kanak-kanak orang asal (aboriginal) Australia.
Tempoh lawatan adalah selama 90 minit dan modul akan sentiasa diubah
suai mengikut tahap pelawat yang hadir.
Modul demokrasi dan
pilihan raya ini juga diajar di dalam subjek pendidikan sejak umur 7
tahun.
Pelajar diajar mengenai asas demokrasi, kepentingan mengambil
bahagian dan kepentingan membuat pilihan. Paling menarik, subjek pilihan
raya ini diubah kepada satu bentuk yang menarik minat dan tidak
membebankan.
Antaranya di dalam subjek Pendidikan Jasmani, pilihan
raya digunakan untuk menentukan sukan apa yang akan dimainkan. Namun,
semua ini menggunakan sistem pilihan raya sebenarnya. Bermula dengan
semak peti undi, mengundi dan mengira undi. Melalui elemen ini, pelajar
akan belajar apa itu demokrasi, apa kepentingan untuk mengambil bahagian
dalam proses demokrasi dan proses memilih dan buat keputusan.
Di
situ juga, mereka belajar erti bertanggungjawab. ‘Pilihan Raya’ ini juga
akan menjadi semakin serius mengikut perkembangan umur mereka,
sehinggalah mereka memilih perwakilan pelajar semasa high school.
Selain
penurunan umur 18 tahun, turut diluluskan adalah pendaftaran pemilih
secara automatik. Ini bermaksud, pemilih selepas ini tidak lagi perlu
memohon untuk menjadi pengundi dalam pilihan raya. Dianggarkan, seramai
22.5 juta pengundi akan layak sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum
Ke-15 (jika PRU-15 pada 2023).
Pendekatan ini adalah satu
pendekatan yang dilihat memudahkan pengundi baharu dan pengundi yang
belum mendaftar atas pelbagai alasan. Semestinya, ia adalah satu perkara
yang diinginkan oleh semua namun pada hakikatnya, ia bukan satu perkara
mudah untuk dilaksanakan.
Penyelarasan alamat kediaman dan juga
data integrasi mesti diselesaikan sebelum kita dapat melaksanakan
pendaftaran secara automatik ini. Walaupun ia nampak seperti hanya
membabitkan urusan operasi antara agensi, implikasi terhadap keputusan
ini sebenarnya besar.
Sebagai contoh, jika pendaftaran automatik
dilaksanakan, jangan terkejut jika ada pengundi yang alamatnya berdaftar
di Sulaiman Court (kini bangunan SOGO, KL) atau perumahan flat di
Pekeliling yang sudah dirobohkan baru-baru ini.
Perkara ini adalah
kerana tanggungjawab individu untuk menukar alamat kad pengenalan masih
dipandang ringan oleh majoriti masyarakat Malaysia. Justeru, apa yang
paling mustahak untuk dilaksanakan dengan segera adalah menguatkuasakan
dengan lebih serius Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara
yang mewajibkan individu untuk menukar alamat kad pengenalan jika
tinggal di satu-satu tempat lebih daripada 90 hari.
Dalam elemen
data integrasi, sebagai contoh Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan
menetapkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai pemilih jika pada
tarikh kelayakan mereka ditahan sebagai orang tidak sempurna akal atau
mengalami hukuman pemenjaraan.
Ini memerlukan komitmen agensi
berkaitan untuk berkongsi maklumat yang mungkin diklasifikasikan sebagai
‘sensitif’ dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Umum
mengetahui, maklumat seperti ini agak sukar untuk dikongsi atas pelbagai
alasan kerahsiaan dan perlindungan data.
Justeru, jika
pendaftaran automatik ini ingin dilaksanakan, bersediakah agensi
terbabit dalam menyatupadukan data berkenaan? Dalam isu ini, SPR sudah
memaklumkan bahawa agensi berkenaan memerlukan kurang lebih dua tahun,
bagi memastikan sistem ini dapat berjalan dengan sempurna.
Namun,
sementara menunggu perkara ini diselesaikan, penulis ingin berkongsi
satu kaedah yang dijalankan di Australia yang dinamakan sebagai reserve list (senarai
simpanan). Dalam perkara ini, belia seawal usia 16 tahun sudah
dibenarkan mendaftar sebagai pemilih dan akan dimasukkan ke dalam reserve list ini.
Apabila
mencapai umur 18 tahun, mereka secara automatik akan dimasukkan ke
dalam daftar pemilih induk. Perkara yang sama juga boleh dilakukan di
Malaysia. Contohnya pada awal sesi persekolahan Tingkatan 5, borang
daftar pemilih boleh diisi dan nama mereka dimasukkan ke dalam reserve list.
Ketika
umur mereka mencapai 21 tahun (atau 18 tahun jika diluluskan), mereka
dimasukkan ke dalam daftar pemilih sebenar. Perkara ini amat wajar
dipertimbangkan dan boleh juga dikatakan sebagai ‘hampir automatik’.
Secara
kesimpulannya, reformasi pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat
dilihat begitu mengubah landskap demokrasi negara. Apa yang penting
adalah komitmen bukan sahaja daripada SPR dan agensi kerajaan lain,
tetapi daripada segenap lapisan masyarakat dalam memastikan hasrat ini
berjalan dengan lancar.
Penulis adalah Pelajar Sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM, Shah Alam
Reformasi pilihan raya tuntut komitmen rakyat
Written By zabidi on Sunday, 21 July 2019 | July 21, 2019
Labels:
Artikel
Post a Comment