Headlines News :
Home » » Sekolah terbaik dan kepentingannya

Sekolah terbaik dan kepentingannya

Written By zabidi on Sunday 25 January 2015 | January 25, 2015

Oleh Haji Osama 

Semua ibu bapa sangat berharap untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anaknya. Beberapa minggu yang lepas, sekolah dibuka. Walau jadualnya sedikit terencat kerana masalah banjir, namun kini hampir kesemua sekolah mula dibuka.

Saya di antara ibu bapa yang sangat bersungguh-sungguh untuk melihat anak saya mendapat pendidikan terbaik.

Apabila Adam mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR tahun lepas, saya berusaha bersungguh-sungguh cuba menempatkannya di sekolah terbaik. Alhamdulilah, Adam akhirnya berjaya ke MRSM Pasir Tumboh.

Tahun ini, saya cuba menggunakan kaedah yang sama seperti yang saya gunakan untuk Adam dalam membantu seorang pelajar untuk ke MRSM Pasir Tumboh. Alhamdulilah, adik Norhanis Qistina juga berjaya. Bagaimana kaedah saya? Mari saya kongsikan dengan anda.

Perkara paling utama untuk layak ke sekolah terbaik ialah perlu mendapat keputusan yang cemerlang. Contohnya untuk peperiksaan UPSR, anak anda semestinya cemerlang iaitu mendapat 5A.

Pelajar yang mendapat 5A sangat ramai. Ruang dan peluang untuk ke sekolah asrama penuh atau MRSM pula sangat terhad. Misalnya, MRSM Pasir Tumboh tahun ini pengambilannya lebih kurang 50 orang pelajar baru. 50 orang pelajar hanya boleh menempatkan untuk dua kelas sahaja.

Berbanding tahun lepas, 200 pelajar diambil. Kenapa? Saya difahamkan kerana mereka mula membuka kelas tingkatan empat. Sebelum ini kelas mereka hanya menempatkan pelajar sehingga tingkatan 3 sahaja.

Justeru itu, untuk ke MRSM Pasir Tumboh tahun ini agak sukar. Saya juga difahamkan hampir 700 pelajar yang memohon ke sekolah ini.

Bagaimana Norhanis Qistina boleh berjaya menempatkan diri di sekolah ini? Tentunya Norhanis dapat 5A. Selain itu, saya menyediakan semua keperluan lain dengan penuh cermat.

Sijil-sijil nya, bayangan soalan untuk interviewnya dan memberi motivasi kepadanya.

Ramai yang memandang enteng tentang sijil-sijil. Tahukah anda, setiap sijil ada makna dan markah. Sekiranya anak anda tidak mempunyai sijil, anda perlu berusaha untuk memenuhi sijil-sijil mereka.
Markah untuk sijil juga berlainan. Jika anak anda seorang ketua pengawas, markahnya adalah 10 berbanding pengawas biasa hanyalah 5. Jika bukan pengawas, markahnya adalah kosong. Begitulah juga dalam bidang permainan dan persatuan.

Persembahan semasa hari interview juga merupakan satu elemen yang penting dalam menentukan kebijaksanaan pelajar ini. Biasanya panel interview akan memanggil empat orang pelajar dalam satu masa. Anak anda perlu menampilkan diri sebagai ketua untuk kumpulan mereka. Perlu nampak paling bersih, kemas dan bersedia.

Antara soalan yang akan dikemukan ialah kenapa anda mahu ke MRSM? Agak-agak anda, apakah jawapan anak anda nanti. Saya sediakan jawapan untuk Norhanis. Saya juga memintanya menghafal jawapannya.

"Saya adalah anak keenam daripada 9 orang adik-beradik. Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak susah. Ayah seorang buruh binaan manakala ibu saya seorang suri rumah. Peluang belajar di MRSM harus saya rebut kerana ia merupakan peluang keemasan bagi saya untuk mencapai cita-cita saya sebagai doktor dan membantu keluarga saya. Saya yakin MRSM akan merealisasikan impian saya ini kerana saya difahamkan MRSM mempunyai keupayaan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan mempunyai dana untuk pelajar yang miskin seperti saya. "

Mengikut Norhanis, ramai yang hanya menjawab saya mahu ke sekolah Sains. Bagi saya jawapan itu betul, namun ianya tidak tepat. Menurutnya lagi, apabila dia memberi jawapan di atas, ahli panel tersenyum dan mengangguk-angguk.

Penyusunan sijil-sijil mengikut turutan juga sangat penting. Ahli panel akan lebih mudah untuk menyemak sijil-sijil anak anda.

Akhirnya, berdoalah kepada Allah dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan hati. Hanya dengan doa yang ikhlas dan bersungguh-sungguh, Insha Allah permintaan akan dimakbulkan.

Tahniah saya ucapkan kepada Norhanis Qistina, semoga anak ini akan menjadi pelajar terbaik dan mampu membantu keluarganya apabila berjaya nanti.

Jika anda semua mahu saya membantu anda dan anak anda, Insha Allah saya akan cuba membantu. Apa yang pasti, ianya hanyalah percuma. Sila hubungi saya.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER