Headlines News :
Home » » Tragedi Beirut: Bila peraturan diambil enteng

Tragedi Beirut: Bila peraturan diambil enteng

Written By zabidi on Tuesday 18 August 2020 | August 18, 2020

Oleh Dr Faizuan Abdullah

TARIKH 4 Ogos lalu pastinya kekal menjadi ingatan penduduk Lubnan khususnya di Beirut berikutan insiden letupan berskala besar membabitkan lebih 2,700 tan bahan kimia ammonium nitrat.

Anggaran kekuatannya adalah bersamaan letupan daripada 1,500 tan TNT yang turut mengingatkan kita kepada peristiwa pengeboman di Hiroshima.

Malah, tragedi di sebuah pelabuhan Beirut itu direkodkan beberapa pakar dari University of Sheffield, United Kingdom sebagai antara letupan bukan nuklear yang paling besar dalam sejarah.

Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan letupan itu menghasilkan gegaran kuat bermagnitud 3.3 skala Richter yang meninggalkan kawah sedalam 43 meter.

Lebih menyedihkan, letupan itu memberi kesan buruk terhadap penduduknya apabila lebih 220 terkorban, ribuan mangsa cedera, manakala ramai lagi individu belum dijumpai.

Tragedi ini adalah krisis terburuk sejak perang saudara yang meletus di Lubnan sebelum ini.

Impak serius daripada segi ekonomi dan krisis kemanusiaan dijangka mula menyelubungi Lubnan dalam tempoh terdekat.

Tentunya peristiwa ini perlu diambil pengajaran termasuk aspek keselamatan pengurusan bahan kimia.

Mengikut rekod, ammonium nitrat digunakan secara meluas sebagai bahan asas dalam industri pertanian seperti dalam pembuatan baja dan digunakan sebagai peledak lombong.

Ini bukan kali pertama tragedi letupan berpunca daripada stor penyimpanan ammonium nitrat.

Pada 2015, letupan di Tianjin, China mengorbankan 165 nyawa.

Manakala, letupan di Ryongchon Korea Utara pada 2004 yang mengorbankan 160 nyawa.

Sebelum itu, berlaku letupan di Galveston Bay, Texas Amerika Syarikat pada 1947 yang mengorbankan 581 nyawa serta letupan di Oppau Jerman pada 1912 mengorbankan hampir 600 nyawa.

Semuanya berpunca daripada sumber bahan kimia sama iaitu ammonia nitrat.

Pihak berkuasa tempatan dan pakar antarabangsa masih berdebat berkaitan punca letupan besar di Beirut.

Terdapat pelbagai kemungkinan yang membolehkan keseluruhan ammonium nitrat yang tersimpan di pelabuhan itu meledak, termasuk dakwaan kononnya berlaku kebakaran kawasan stor berhampiran yang menyimpan mercun.

Terdapat juga dakwaan letupan itu berpunca daripada tindakan sabotaj serta dilakukan pengganas.

Daripada laporan awal yang diterima, tragedi ini berkemungkinan berlaku berpunca daripada pengurusan penyimpanan bahan kimia berbahaya yang tidak mengikut piawaian dan mengabaikan langkah perlindungan keselamatan.

Di Beirut, ribuan tan ammonium nitrat disimpan sejak 2013 yang dikeluarkan daripada sebuah kapal yang mengalami masalah.

Bahan itu tersadai di pelabuhan Beirut dalam jangka lama.

Justeru, pelbagai perkara boleh berlaku terhadap bahan berbahaya itu termasuk bertindak balas dengan bahan lain dan potensi berlaku kebocoran tangki atau bekas penyimpanan.

Dalam konteks pengurusan, setiap bahan kimia mempunyai kaedah khas yang dikhususkan dalam setiap proses pembungkusan, pengangkutan dan penyimpanan.

Terdapat juga kaedah kawalan keselamatan dan kaedah rawatan sekiranya berlaku kemalangan yang membabitkan bahan kimia itu.

Data setiap bahan kimia berkenaan seperti komposisi, kestabilan dan kereaktifan terkandung dalam rekod safety data sheet (SDS).

Secara umumnya, ada banyak peraturan dan piawaian yang dijadikan praktis di seluruh dunia dalam memastikan keselamatan pengurusan bahan kimia berbahaya.

Bagi industri perkapalan iaitu pengangkutan air terbesar yang membabitkan pelabuhan, kandungan barangan yang diangkut kapal kargo perlu mematuhi kod IMDG iaitu International Maritime Dangerous Good.

Barangan yang diangkut menggunakan kapal yang tidak mematuhi kod IMDG tidak dibenarkan untuk diturunkan dari kapal dan perlu disimpan atas kapal sahaja (stowed on deck).

Bagi ammonium nitrat, ia adalah bahan yang dikawal di bawah kod IMDG.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berpangkalan di Geneva juga mengeluarkan garis panduan bagi keselamatan pelabuhan yang dipanggil sebagai Safety and Health in Ports, ILO Code of Practice.

Setiap pelabuhan juga mempunyai peraturan keselamatan tersendiri yang perlu diguna pakai.

Berdasarkan kod UN NO 0222 di bawah IMDG, ammonium nitrat tidak boleh diturunkan dari kapal jika ammonium nitrat yang dibawa mengandungi lebih daripada 0.2 peratus jisim bahan mudah terbakar, termasuk sebarang bahan organik yang dikira dan lain-lain.

Manakala larutan ammonium nitrat yang pekat dan panas juga tidak dibenarkan mengikut kod UN NO 2426.

Bagi industri penerbangan terutama membabitkan kargo, peraturan yang membabitkan bahan kimia berbahaya terkandung jelas dalam International Civil Aviation Organization (ICAO) Dangerous Good and Prohibited Items dan dalam Dangerous Good Regulations di bawah International Air Transport Association (IATA).

Bagi penggunaan bahan kimia di industri, peraturan Control of Industrial Major Incident Hazards (CIMAH) perlu dipatuhi.

Di Malaysia, CIMAH dikuatkuasa dan dipantau Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Peraturan ini turut memberikan panduan kepada pengilang industri membabitkan pemprosesan, penggunaan, pengeluaran atau penyimpanan bahan berbahaya jika membabitkan kuantiti melebihi jumlah yang dibenarkan.

Selain itu, JKKP juga mengeluarkan garis panduan dan peraturan berkaitan penyimpanan bahan kimia merbahaya dalam gudang atau dikenali sebagai Guidelines On Storage of Hazardous Chemicals: A Guide For Safe Warehousing Of Packaged Hazardous Chemicals yang digazetkan pada 2005.

Harus diingatkan, bukan hanya mereka yang berada dalam industri, tempat kerja, pelabuhan dan pengangkutan udara yang perlu menguruskan bahan kimia berbahaya dengan betul.

Kita di rumah juga seharusnya mengamalkan prosedur keselamatan.

Contohnya, penyembur aerosol (pembunuh nyamuk dan cat) tidak boleh diletakkan berhampiran sumber api seperti dapur kerana ia akan menyebabkan letupan dan kebakaran di rumah.

Tuntasnya, undang-undang dan peraturan khas bagi pengurusan bahan kimia berbahaya sudah lengkap dan tersusun rapi.

Bagaimanapun, pematuhan dan juga penguatkuasaan berkesan perlu diperkasakan.

Jika semua pihak mengambil berat terhadap perkara ini bermula awal dan masing-masing tidak bersikap lepas tangan, tragedi sebesar letupan di Beirut mungkin boleh dielak dari awal.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER