Headlines News :
Home » » Fly With Yaya Tohoku, dicalon untuk anugerah antarabangsa

Fly With Yaya Tohoku, dicalon untuk anugerah antarabangsa

Written By zabidi on Tuesday 2 June 2020 | June 02, 2020

KUALA LUMPUR: Siri animasi pelancongan mesra Muslim Malaysia “Fly With Yaya Tohoku’ terbitan studio animasi, Monsta, dicalonkan bagi kategori Anugerah Pendatang Baharu, Anugerah Kecemerlangan Licensing International 2020, Amerika Syarikat.

Monsta, sebuah syarikat yang dikenali menerusi francais animasi popularnya, BoBoiBoy dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencalonan itu adalah satu pencapaian penting dan menunjukkan terdapat permintaan sejagat untuk watak Muslim di dalam media.


“Kami berharap pencalonan ‘Fly With Yaya Tohoku’ dalam Anugerah Kecemerlangan Licensing International akan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Monsta dan jenama Malaysia secara amnya, selain mempromosi destinasi mesra Muslim dalam pasaran global.

Monsta mengambil masa dua tahun untuk membina satu jenama kukuh bagi Yaya menerusi siri-sirinya dalam usaha untuk membuktikan seorang wanita Muslim yang kuat dan berkeyakinan juga mampu menarik minat penonton antarabangsa.

Siri itu mengisahkan Yaya yang mengembara seluruh dunia menerokai destinasi menarik dan mesra Muslim.

Respons terhadap rancangan itu adalah luar biasa, dengan lebih daripada 21 juta orang menonton Rangkaian YouTube Monsta dalam 13 bulan.

Monsta turut mempunyai rancangan menggunakan pendekatan yang sama untuk mempromosi dan memberikan nafas baharu kepada industri pelancongan Malaysia yang terjejas, dengan mempromosi destinasi pelancongan tempatan, pasca COVID-19 nanti.

Fly With Yaya Tohoku dicalonkan dalam kalangan 600 peserta daripada syarikat dari 22 negara, termasuk The Coca-Cola Company, Puma, Shiseido, Mattel, Hasbro, Bando, The Hershey Company dan banyak lagi.

Tahun lalu, anugerah itu dimenangi permainan video dalam talian popular, Fortnite. – BERNAMA


Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER