Headlines News :
Home » » Mampukah teknologi terkini temui MH370?

Mampukah teknologi terkini temui MH370?

Written By zabidi on Monday 11 March 2019 | March 11, 2019

Oleh Prof Madya Dr Mohd Fadzil Akhir

HARI ini, genap lima tahun kapal terbang MH370 yang membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur menuju Beijing, hilang dari radar dan sehingga kini tiada sebarang petanda ia akan dijumpai. Walaupun sebahagian besar rakyat Malaysia masih percaya ada konspirasi di sebaliknya, hingga kini belum ada sebarang petunjuk jelas yang mampu membantu usaha pencarian.

Pada awalnya, ramai menjangka misteri ini bakal terjawab dalam masa yang singkat. Amat mustahil pesawat sebesar Boeing 777 itu boleh hilang daripada pengetahuan dengan mudah. Malangnya, semakin panjang hari pencarian berlangsung, semakin tipis harapan untuk menjumpai pesawat itu yang dikatakan terhempas di bahagian selatan Lautan Hindi.

Yang menjadikan pencarian semakin sukar adalah lokasi terbabit antara kawasan laut yang paling terpencil dan jarang dilalui manusia. Kedudukannya yang paling hampir dengan daratan adalah bandar Perth, Australia, terletak sejauh 7,000 kilometer (km) yang juga antara bandar terpencil di dunia.

Cabaran terbesar hadkan pergerakan

Urusan logistik kapal terbang dan kapal pencari adalah cabaran terbesar pada masa itu yang banyak mengehadkan pergerakan. Maka, selepas beberapa minggu, pencarian secara fizikal dihentikan tanpa sebarang petunjuk.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh pencarian, teknologi dan sains menjadi medium paling ampuh dalam mencari jawapan kepada usaha ini. Di sepanjang proses pencarian ini, pelbagai teknologi terkini telah dikedepankan. Yang paling awal adalah usaha syarikat satelit dari Britain iaitu Inmarsat yang menganalisis data satelit mereka menggunakan formula baharu yang tidak pernah digunakan sebelum ini.

Perkataan seperti ‘ping’ dan ‘signal handshake’ menjadi terma yang sering diungkap dalam menjelaskan bagaimana data satelit ini membaca pergerakan rawak kapal terbang berkenaan sehinggalah mereka memutuskan di manakah lokasi terakhir ‘ping’ itu diterima.

Teknologi SONAR makan masa lama

Lokasi itu kemudiannya menjadi rujukan kepada proses pencarian lebih terperinci.

Penggunaan teknologi terkini berdasarkan kepada lokasi berkenaan, proses carian utama dilaksanakan menggunakan teknologi SONAR untuk membuat pemetaan dasar laut.

Ia adalah satu proses yang sangat perlahan dan memakan masa lama. Proses pemetaan ini merangkumi kawasan seluas 120,000km persegi. Keluasan ini mencecah keluasan hampir sama dengan Semenanjung Malaysia.

Malangnya, proses yang memakan masa 27 bulan dan belanja hampir RM500 juta itu diberhentikan kerana gagal memberi sebarang jawapan.

Penemuan terbesar dan paling mengejutkan adalah serpihan ‘flaperon’ iaitu sebahagian daripada komponen sayap pesawat MH370 di Pulau Reunion, terletak sekitar 10,000km dari kawasan carian. Ia adalah yang pertama seumpamanya ditemui selepas 16 bulan kejadian berkenaan berlaku.

Pihak Perancis, empunya pulau itu mengambil tanggungjawab menjalankan kajian kebersahan terhadap serpihan itu. Ternyata nombor siri komponen itu serupa dengan yang dimiliki MH370. Tiada siapa yang mampu mengesahkan bagaimana ia boleh bergerak sejauh itu.

Bagaimanapun, teknologi simulasi pergerakan arus lautan dibangunkan secara bersama oleh Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti of Western Australia. Ia menjelaskan secara saintifik bagaimana serpihan itu dapat hanyut begitu jauh hingga ke kawasan berkenaan, sekali gus memberi harapan baharu kepada usaha pencarian.

Sistem simulasi komputer ini menggunakan algoritma matematik dalam membuat ramalan mengenai pergerakan arus laut dalam tempoh dua tahun ke hadapan. Ia dibangunkan bagi menjejaki pergerakan serpihan dengan andaian sekiranya serpihan itu ditemui di tempat yang dicari, ke mana arus Lautan Hindi akan membawa ia pergi?

Susulan penemuan itu, beberapa serpihan lagi dijumpai di sekitar kawasan berhampiran termasuk serpihan terbesar yang ditemui di Tanzania. Namun, setiap maklumat ini hanyalah sebagai petunjuk yang mungkin boleh membantu memperbaiki lokasi pencarian. Kajian simulasi arus lautan tadi hanya sekadar mampu mengesahkan kebenaran bahawa kawasan carian berkenaan adalah benar.

Yang pastinya, usaha dan teknologi carian adalah mekanisme terpenting dalam usaha ini. Pada 2017, syarikat Ocean Infinity iaitu peneraju utama industri teknologi laut lepas telah membuat satu tawaran kepada Malaysia menggunakan perjanjian no cure, no fee.

Sekiranya mereka mampu menemui pesawat MH370 di dasar laut, mereka akan dibayar RM70 juta, sebaliknya jika gagal, tiada kos yang perlu ditanggung. Syarikat ini mempunyai reputasi tersendiri apabila menghasilkan teknologi yang mampu mempercepatkan pemetaan dasar laut. Kawasan yang mengambil masa lebih dua tahun sebelum ini pemetaannya diselesaikan dalam tempoh hanya tiga bulan.

Tetapi hasilnya masih mengecewakan. Syarikat ini tidak menolak untuk menyambung usaha yang sama dengan menggunakan teknologi lebih canggih di masa hadapan. Segala kebolehan sains dan teknologi diusahakan sehingga ke tahap maksimum untuk melangkaui keterbatasan yang ada pada kebolehan manusia.

Pengamal penerbangan dan saintis bersetuju, ini adalah pencarian paling sukar dalam sejarah. Lebih mencabar, teknologi laut lepas bergerak amat perlahan memandangkan ia memenuhi keperluan hanya kelompok pengamal yang kecil jika ingin dibandingkan dengan teknologi lain yang bergerak begitu pantas kerana permintaan tinggi.

Menganjak sempadan sains, teknologi

Setakat ini jawatankuasa tiga negara yang melakukan pencarian terpaksa akur, bukan sahaja dengan usaha mereka, tetapi dengan kekangan data serta teknologi yang ada. Kerajaan Malaysia menyatakan usaha pencarian menggunakan sains yang terbaik, teknologi yang terkini dan juga sistem simulasi paling canggih serta disandarkan dengan nasihat pakar dan profesional yang paling mahir di dalam bidang berkenaan, malangnya masih lagi menemui jalan buntu.

Namun, wakil dari Australia yang mengetuai pencarian sebelum ini menyatakan tidak mustahil carian akan diusahakan semula sekiranya ada maklumat baharu yang lebih jitu dan ia dipersetujui Malaysia dan China.

Perkembangan sains dan teknologi yang berkembang pantas memungkinkan sesuatu maklumat baru dapat diperoleh pada masa akan datang. Biarpun proses pencarian sudah lama dihentikan, ia bukanlah titik akhir bagi menemukan semula MH370.

Setakat ini sudah banyak agensi asing menyatakan minat untuk menerokai kawasan carian dengan kapasiti sendiri. Mereka dimotivasikan dengan peluang mencuba teknologi baharu dan penerokaan sains di kawasan yang sebelum ini diabaikan manusia. Ia sedikit sebanyak memberi petanda positif, sekurang-kurangnya usaha ini tidak akan terhenti begitu saja.

Ada benarnya kata-kata wakil keluarga mangsa MH370, industri penerbangan berhutang jawapan kepada semua pengguna mereka selagi misteri ini tidak terjawab.

Perkembangan sains dan teknologi moden akan menjadikan pencarian MH370 sentiasa relevan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER