Headlines News :
Home » » Mampukan Kita Melepasi Tujuh Sekatan Di Titian Sirat?

Mampukan Kita Melepasi Tujuh Sekatan Di Titian Sirat?

Written By zabidi morad on Monday, 8 January 2018 | 11:53 am

Sesungguhnya pemeriksaan amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan meniti.
Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi SAW : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” (Hadis Riwayat Muslim)

Orang Mukmin akan terselamat disebabkan keimanan dan amal soleh yang mereka lakukan di dunia, manakala orang kafir dan murtad akan terhumban ke dalamnya.

Orang pertama melalui Titian Sirat ialah Nabi Muhammad SAW yang memimpin umat lain.
Dari Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” (Hadis Riwayat Bukhari)

Tahap kelajuan seseorang Mukmin meniti titian itu bergantung kepada tahap keimanan dan amal masing-masing. Semakin tinggi keimanan dan amalan, semakin laju menuju titian itu.
Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang As-Sirat: “…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuh sekatan tersebut adalah seperti berikut :

Sekatan Pertama : Mengenai keimanannya kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang lain.

Apabila seorang manusia terlepas daripada persoalan aqidah ini barulah ia boleh bergerak menuju ke sekatan kedua pula. Jika di dalam persoalan aqidah ini terdapat syirik kepada Allah SWT dan telah rosak aqidahnya maka seseorang itu tidak akan terlepas untuk meneruskan perjalanan dan ia akan dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam.

Firman Allah SWT yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa yang selain syirik itu bagi siapa sahaja yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah (syirik), maka sungguh ia telah melakukan dosa yang sangat besar.” (Surah An-Nisaa ayat 48)

Sekatan Kedua : Mengenai solat fardu.

Soalat fardunya akan diperiksa samaada ia melaksanakannya atau pun tidak. Adakah ia telah melalai-lalaikan solat sehingga terlepas waktunya. Adakah dia mengerjakan dengan khusyuk atau tidak semuanya akan diperiksa satu persatu. Jika ada kekurangan solat fardunya akan di periksa solat-solat sunat yang lain untuk menampung kekurangan solat fardu tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi )

Sekatan Ketiga : Mengenai puasa Ramadan.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi SAW. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk.

Jika puasa Ramadannya ada kekurangan ianya akan ditampung dengan puasa sunatnya. Tetapi jika puasanya tidak sempurna maka dia tidak akan dapat melepasi sekatan ini dan untuk meneruskan perjalanan ke sekatan keempat.

Sekatan Keempat : Mengenai zakat.

Jika ketika di dunia dahulu ia engan membayar zakat walaupun hartanya cukup nisab dan cukup tempuhnya maka ia akan dihalang untuk meneruskan perjalanan ke sekatan kelima.

Terdapat hadis Nabi SAW yang menceritakan azab bagi mereka yang tidak mahu membayar zakat.
Sabda baginda maksudnya : "Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya, kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari darinya. Lalu ular itu memanggilnya,“Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahwa dia tidak dapat menghindar darinya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya".(Hadis Riwayat Muslim)

Sekatan Kelima : Mengenai fardu haji dan umrah ke Baitullah.

Sekiranya semasa hidup di dunia dahulu ia berkemampuan tetapi menangguh-nanguhkannya hingga tidak sempat menunaikannya atau tidak berniat langsung untuk mengerjakan fardu haji maka ianya akan tersekat disini. Jika seseorang menunaikan haji tetapi niat hatinya supaya mendapat pangkat 'tuan haji' atau rasa riak maka amalannya juga tidak akan diterima oleh Allah SWT
Manakala jumhur ( kebanyakan ) `ulama` berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan pada akhir tahun ke-9 Hijriah setelah turunnya firman Allah SWT :
ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين
“ Dan Allah mewajibkan ke atas manusia mengerjakan haji , bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya . Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya AllahMaha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Surah Ali `Imran ayat 97)

Sekatan Keenam : Mengenai wuduk dan mandi hadas besar.

Jika diperiksa wuduknya adakah sempurna atau pun tidak. Jika wuduknya tidak sempurna dan tidak sah maka solatnya juga tidak sah. Begitu juga mandi hadas besar jika mandinya tidak sempurna maka ia berkekalan berhadas besar maka solatnya juga akan tertolak dan menjadi tidak sah.

Nabi SW bersabda maksudnya, “Sewaktu seorang muslim atau mukmin itu berwuduk, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Dikala ia membasuh kedua tangannya, maka terusirlah semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan air terakhir. Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka bersihlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah).

Sekatan Ketujuh : Adab terhadap orang tua, talian persaudaraan, dan hubungan terhadap semua makhluk (samaada ada terdapat perbuatan zalim yang dilakukan kepada orang lain).

Imam al-Ghazali meriwayatkan, tempat pemeriksaan ketujuh adalah tempat pemeriksaan paling sukar untuk melepaskan diri. Persoalan mengenai kezaliman ke atas manusia diperbincangkan. Disini juga akan diperiksa adab anak-anak kepada kedua ibu bapanya adakah semasa di dunia ia ada menderhakai kedua ibu bapanya? Begitu juga hubungan sesama ahli keluarga atau sesama Muslim adalah pernah memutuskan hubungan silaturahim? dan sebagainya.Pemimpin yang menzalimi rakyat dan membebankan dengan cukai yang tak sepatutnya akan tersekat di sekatan ke tujuh ini.
WallahuAlam
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER