Daging beku India sebenarnya memenuhi kehendak keperluan pasaran apabila hampir 80 peratus bekalan daging di pasaran adalah dari India. Selebihnya adalah daging tempatan, Australia dan New Zealand.
Pengusaha kedai makanan, Ramly Burger dan rakyat biasa juga lebih gemar memilih ­daging beku India kerana harganya murah hanya RM14/kilogram (kg) berbanding daging tempatan, RM45/kg; Australia (RM29/kg) dan New Zealand (RM29/kg). 

Walaupun mulanya kita tidak beberapa menggemari daging kerbau dari India namun kerana daging lain terlalu mahal membuatkan pengguna terpaksa membelinya juga. Sekarang, seluruh negara sudah tidak asing lagi de­ngan daging kerbau beku dari India.

Oleh yang demikian, kenapa tidak orang ramai juga beralih ke Ikan Segar Beku (Q’Fish) pula ­kerana harganya jauh lebih murah berbanding ikan tempatan yang amat mahal ketika ini.

Ikan tempatan untuk sampai kepada pengguna juga akan me­lalui proses rantaian dari nel
ayan, orang tengah, pemborong, peruncit seterusnya pengguna. Sebagai contoh jika ikan itu dari Perlis untuk tiba kepada pengguna di sekitar Lembah Klang, pastinya dengan tempoh masa perjalanan dan rantaian tersebut sekurang-kurangnya akan mengambil masa dari 7 hingga 10 hari. 

Adakah ia benar-benar segar lagi? Sudah tentu tidak kecuali mereka yang tinggal berhampiran laut dan nelayan sahaja akan benar mendapat ikan segar.

Q’Fish ini diimport dari India, Pakistan dan Indonesia dan kualitinya sentiasa dipantau oleh pengimport swasta mahupun Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat). Tempoh masa untuk tiba pula ialah antara 2 hingga 3 ming­gu sahaja. Seterusnya dipasarkan kepada peniaga-peniaga.

Terkini, mereka (Nekmat) ­telah membuat pembungkusan ikan-ikan ini secara individu iaitu secara satu persatu atau individual quick freezing (IQF) demi memastikan kesegarannya.

Rakyat Malaysia perlu me­nerima hakikat yang harga ikan tempatan tidak akan sentiasa stabil dan dengan adanya Q’Fish ini sekali gus memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih ikan yang lebih murah.

Sebenarnya banyak pengusaha makanan telah lama menggunakan ikan beku import ini kerana harganya yang murah dan mereka boleh menjualnya selepas dimasak kepada pelanggan dengan harga berpatutan.

Antara punca ikan tempatan menjadi mahal kerana faktor cuaca, pencerobohan nelayan Vietnam yang mencuri ikan di perairan negara dan kekurangan jumlah nelayan ke laut.

Kerajaan seharusnya segera menangani isu-isu ini terutama pencerobohan nelayan Vietnam. Bot atau kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu ditambah untuk mengawal perairan negara dari terus di­ceroboh.

Cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga perlu dihapuskan terhadap barang-barang keperluan nelayan seperti jaring dan enjin. 

Kesimpulannya, rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bandar-bandar harus menerima hakikat bahawa kita terpaksa beralih ke Q’Fish ini juga kerana ­harganya jauh lebih murah berbanding harga ikan tempatan.

PENULIS ialah Pengerusi Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat.