Headlines News :
Home » » Surah al-Fatihah mampu rungkai persolan hidup Muslim

Surah al-Fatihah mampu rungkai persolan hidup Muslim

Written By zabidi on Tuesday, 21 March 2017 | March 21, 2017

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

SESUNGGUHNYA Syariat Islam yang difardukan oleh Allah SWT selaku Pencipta kita dalam segenap aktiviti hidup kita sebagai orang Islam begitu luas dan tidak terjangkau minda dan otak kita mengenainya, amal yang solih bukan hanya terhenti untuk direbut pada bulan Ramadan atau bulan Rabiulawal yang lalu, akan tetapi ia bersifat berterusan yang menandakan bahawa setiap muslim dan muslimah adalah disaran agar sentiasa melakukannya sepanjang waktu selagi jantung masih berdenyut.

Semua perkara yang difardukan itu mengandungi hikmat, matlamat serta tujuan utama iaitu tidak lain agar manusia menjadi hamba Allah yang terbaik dari sudut iman dan amalan, bagi merealisasikan tujuan tersebut di atas, mereka adalah digalakkan untuk memerhati surah al-Fatihah yang menjadi rukun dalam solat fardu dan sunat kerana kepentingannya dalam kehidupan harian.

Daripada Abi Said Bin al-Ma’la r.a. berkata; Sesungguhnya ketika aku bersolat (dalam masjid Nabi) maka baginda memanggilku tetapi aku tidak menyahut panggilannya sehinga aku selesai solat, maka baginda bertanya kepadaku, apakah sebab engkau tidak menyahut panggilanku, aku pun berkata, duhai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya aku sedang bersolat, baginda pun menegaskan bahawa, tidakkah Allah berfirman: “Wahai orangorang yang beriman sahutlah seruan Allah dan Rasul-Nya yang menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu (Al-Anfal ayat 24).

Kemudian baginda berkata: Aku akan ajarmu satu surah yang agung dalam al-Quran sebelum engkau meninggalkan masjid ini.

Maka baginda memegang kedua tangannya dan mengajarkannya dengan surah al-Fatihah, iaitu surah yang amat agung dalam al-Quran.” (Hadis Sahih riwayat Imam al-Bukhari).

Menurut Sa’id Hawwa dalam kitab tafsirnya Al-Asas fi at-Tafsir dalam menghuraikan surah al-Fatihah menegaskan, bahawa sesungguhnya surah al-Fatihah ini membincangkan persoalan akidah, ibadat (syariat), manhaj kehidupan muslim dan persoalan permusuhan yang datangnya dari puak Yahudi dan Nasrani (Kristian), di mana Yahudi dibenci oleh Allah kerana tidak mahu beramal dengan kebenaran agama Islam dan Nasrani pula menjadi golongan sesat kerana tidak mahu menuntut ilmu.

Tidak ada satu perkara pun yang dikira sebagai sia-sia di sisi Allah selagi ia datang daripada- Nya, sama dalam perkara ibadat, munakahat (nikah kahwin dan perceraian), jinayat (jenayah), muamalat (sistem kewangan Islam), pegangan agama, cara hidup dan sebagainya, dan kesemua itu sudah disimpulkan menerusi kefahaman seseorang individu muslim dalam surah al-Fatihah yang diulang-ulang sebanyak tujuh belas kali dalam solat yang didirikan sehari semalam.

Sudah pasti ada hikmah dan tujuannya, justeru surah al-Fatihah dikira salah satu rukun solat dan apabila tidak dibaca, maka solat itu dikira terbatal dengan sendirinya, ini amat berbeza dengan pembacaan surah-surah dalam solat, walaupun ia juga sebahagian ayat-ayat al-Quran, namun jika ia tertinggal pembacaannya dalam solat, maka solat tetap sah.

Ini kerana tidak lain, surah al-Fatihah dianggap oleh sebahagian besar ulama tafsir sebagai induk kepada keseluruhan isi kandungan al-Quran, dan ada di kalangan mereka menyifatkannya sebagai sinopsis kepada tiga puluh juzuk al- Quran iaitu satu istilah yang telah diguna pakai dalam kajian tesis akademik.

Justeru, ia telah dibahagikan kepada empat cabang utama yang tersangat penting dalam kehidupan dan aktiviti harian orang Islam yang mesti mereka ketahui dengan kefahaman yang jelas menuju hala tuju hidup yang hakiki : Pertama: Persoalan akidah Kedua: Pelaksanaan Syariat Ketiga: Pembentukan keperibadian serta cara hidup yang betul Keempat: Aspek permusuhan Perkara pertama yang diberi penekanan oleh Allah SWT dalam surah ini ialah perkara aqidah, iaitu satu perkara yang menentukan jalan keimanan dengan persoalan ketuhanan yang mesti ada dalam diri orang Islam dari dahulu hinggalah berlakunya Kiamat, ini kerana jika tergelincir kefahaman muslkim mengenai ketuhanan Allah SWT, maka dia akan terpesong dari kebenaran agama Islam.

Iaitu satu pendekatan untuk mendidik manusia hanya bertuhankan kepada Allah SWT yang telah mencipta serta memelihara alam semesta, mengenali Allah dari sudut nama serta sifat-sifat-Nya hingga mampu menghilangkan kesangsian dalam diri dan yang paling penting penyaksian terhadap Allah selaku Pemilik hari kiamat yang akan menghisab segala amalan hamba-Nya.

Ada di kalangan ulama menyebut, bahawa perkara pertama yang wajib diketahui oleh orang mukallaf ialah mengenal Allah dalam segenap perbahasan dan perbincangan mengenainya, oleh sebab itu, kealpaan muslim untuk mengetahui hakikat kebenaran akidah akan mendorongnya bertindak zalim, menindas dengan merasakan bahawa dirinya adalah hebat dalam segenap tindakannya.

Dengan kata lain, kalau kuat iman dan kepercayaan seseorang itu kepada Allah, maka yang lain dari-Nya adalah kecil serta serba kekurangan.

Kemudian ia disusuli dengan persoalan ibadat yang dijelmakan menerusi ayat, “Kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau jualah kami minta pertolongan”.

Menurut Sa’id Hawwa lagi, ayat berkenaan memfokuskan aspek berjemaah yang pernah ditegaskan oleh baginda, hendaklah kamu sentiasa berjemaah dan bersama dengan ketuanya. “Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jemaah walau sejengkal, maka sesungguhnya dia telah terkeluar dari ikatan Islam.” Maksud hadis Rasulullah s.a.w. Iaitu satu aspek yang menyeluruh, ia bukan sahaja dalam bentuk ibadat khusus seperti solat, malah dalam ibadat-ibadat umum seperti tolong-menolong, penampilan diri, cara berfikir, berpakaian, berkeluarga, berpendidikan, berpolitik, berekonomi dan banyak lagi.

Kesimpulannya, aspek ibadat meliputi seluruh amalan dan aktiviti harian yang hanya dilakukan kerana Allah sematamata, ia bukan skop yang sempit seperti yang difahami oleh sebahagian besar umat Islam dalam negara ini, malah lebih daripada itu.

Seterusnya penekanan tertumpu kepada aspek cara hidup atau bimbingan akhlak, ini kerana seseorang itu walau hebat macamana pun akidah dan ibadatnya, tetapi tidak memiliki akhlak yang terpuji, maka ia dikira sebagai manusia yang tidak sempurna, ini kerana Rasulullah s.a w ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud : “Yang paling sempurna iman orang-orang yang beriman, ialah yang paling baik akhlaknya.”

Justeru, persoalan akhlak tidak boleh diabaikan, kerana perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam itu diukur dari sudut akhlak.

Bagi merealisasikan akhlak yang terpuji, maka surah al- Fatihah telah menuediakan garis panduan yang amat berkesan, iaitu menjadi golongan yang diberi nikmat oleh Allah sebagai qudwah (role model/contoh teladan) dalam kehidupan, mereka ini telah disebut oleh Allah SWT dalam ayat 69 surah an-Nisa’ iaitu golongan nabinabi, siddiqin (seperti para sahabat/tabi’in/ulama’ dan lain-lain), syuhada’ iaitu yang mati syahid kerana menegakkan agama Allah di muka bumi ini dan golongan orang-orang yang solih yang ramai berleluasa di permukaan bumi.

Akibat tidak menjadikan golongan-golongan tersebut sebagai qudwah hasanah dalam kehidupan, maka ramai di kalangan individu muslim rela menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai alternatif dalam segenap tindak-tanduk, cara hidup, cara berfikir, berpakaian, penampilan diri yang amat menjijikkan, malah ada yang sanggup menjadi agen mereka bagi menyebarluaskan fahaman yang terpesong itu. Walaupun mereka tahu bahawa Yahudi memperkenalkan 5 F yang sesat iaitu fun, fesyen, famili, food dan filem yang kesemuanya akan menjurus ke neraka Allah SWT.

Akhir sekali perkara yang dimuatkan dalam surah al-Fatihah yang mewakili kesemua surah dan ayat dalam al-Quran ialah aspek permusuhan. Golongan yang paling ketara yang menimpakan pelbagai permusuhan terhadap orang Islam adalah Yahudi dan Nasrani. Kemusnahan, kebinasaan dan kehancuran dunia ini biasanya disabitkan dengan tindakan keduadua musuh utama umat Islam sejak dari dahulu lagi hingga berlakunya hari Kiamat.

Peraturan dalam aspek hiburan dan sukan telah dicontohkan oleh golongan berkenaan, sama ada dalam lakonan atau nyanyian, oleh itu golongan penghibur di kalangan orang Islam juga tidak ada bezanya dengan apa yang ditonjol dan ditampilkan oleh penghibur dari barat.

Seolah-olah apa yang didatangkan oleh mereka patut ditiru dan diikuti oleh penghibur negara, walaupun tindakan mereka itu memperlihatkan percanggahan dengan hukum Allah. Ingatlah, kalau aspek agama tidak menjadi benteng kekuatan dalam diri kita sebagai orang Islam, pasti akan ada aspek-aspek sumbang yang lain mengambil tempat untuk menjauhkan kita daripada Islam yang kita sama-sama cintai.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER