Headlines News :
Home » » Pimpinan ulama-umarak

Pimpinan ulama-umarak

Written By zabidi on Saturday, 18 March 2017 | March 18, 2017

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM

ISTILAH kerjasama di antara umarak dan ulama tidak timbul semasa pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa’ Al-Rasyidin, kerana pada masa itu pemerintah adalah para alim ulama.

 Pemerintah sepenuhnya memimpin mengikut sistem agama, kerana Rasulullah SAW adalah pembawa syariah Islam dan melaksanakan hukum-hakamnya, dan dalam masa sama, baginda juga yang mengatur dan melaksanakan pemerintahan serta urusan dunia­wi dan ukhrawi. 

Hal ini diwarisi oleh para sahabat baginda pada zaman Khulafa’ Al-Rasyidin, berpandukan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah.

Barulah sesudah zaman Khulafa’ Al-Rashyidin, iaitu selepas pemerintahan berpindah ke ta­ngan daulah Umaiyah, Abbasiyyah dan lain-lain, juga ketika jawatan ketua pemerintahan negara telah menjadi warisan daripada ayah kepada anak, atau saudara-saudara, maka pemimpin tidak semestinya terdiri daripada para ulama dalam bidang agama, atau pemimpin yang menguasai sistem pemerintahan Islam. Ketika inilah pemerintah memerlukan para ulama untuk membantunya.
Dalam situasi ini telah timbul istilah pemimpin “formal” iaitu pemerintah yang terdiri daripada para ketua negara secara keturunan, lantikan atau pilihan rakyat.
Dalam situasi ini juga, lahirnya pemimpin “tidak formal” iaitu terdiri daripada para ulama dan ilmuwan agama yang tidak secara rasminya termasuk dalam pemerintahan negara. Golong­an inilah yang terkenal dengan nama mufti, imam, ustaz, dan sebagainya.

Kepemimpinan Islam adalah gabungan pemimpin formal dan tidak formal, yang juga disebut sebagai gabungan antara umarak dan ulama. Untuk membangun negara yang baik, kerjasama ulama dan umarak amat penting. Kedua-duanya mempunyai pera­nan yang seharusnya dimainkan dengan baik, yang haruslah digabungkan dalam semua mekanisme pemerintahan untuk kesejahteraan rakyat dan negara umumnya.

Terdapat dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka manusia (masyarakat) seluruh­nya akan menjadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka manusia (masyarakat) seluruhnya juga akan menjadi rosak, mereka itu ialah umarak dan ulama (Ha­dis riwayat Ibn Abdul Barr)

KEPEMIMPINAN DALAM ISLAM 

Kepemimpinan dari perspektif Islam adalah amanah Allah SWT, juga kontrak sosial dan psikologi di antara pemimpin dan pengikut. Pemimpin berkewajipan memandu pengikutnya, melin­du­ngi, dan menguruskan mereka dengan adil saksama menurut lunas-lunas yang diredai Allah SWT. Antara ciri kepemimpinan tersebut ialah :

1. Pemimpin haruslah mendidik dirinya terlebih dahulu, sebelum mendidik para pengikutnya, mempraktikkan segala sesuatu yang didakwahkannya kepada pengikutnya, meningkatkan moral dan akhlaknya terlebih dahulu sebelum memperbetulkan orang lain.

“Rakyat menjadi rosak akibat rosaknya pemerintah, dan pemerintah menjadi rosak akibat kehadiran ulama yang buruk (al-suu’) (Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin).

2. Sumber memetik satu ha­dis tentang komponen kekuatan sebuah negara yang bermaksud;
Kekuatan negara adalah atas empat perkara: Pertamanya, de­ngan ilmu para ulama; kedua, dengan keadilan para umarak; ketiga, dengan kemurahan para hartawan, dan; keempat, dengan doa orang fakir.

3. Pemimpin ialah individu atau sekelompok ketua yang memimpin keseluruhan rakyat daripada keadaan yang lemah atau rosak, kepada keadaan yang kuat dan maju, dan dalam konteks Islam, ialah memimpin umat manusia daripada kehancuran dan maksiat, kepada keredaan Allah dan kesejahteraan mereka mengikut lunas-lunas dan nilai universal Islam.

4. Islam menggariskan ba­nyak prinsip bagi kepemimpinan Islam. Antaranya para pemimpin haruslah mempunyai sifat-sifat berikut:

i) Kuat dalam akidah

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu angkat jadi pemimpinmu orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, iaitu di antara orang yang telah diberikan kitab sebelummu dan orang yang kafir.” (Al-Maidah, ayat 57)

ii) Adil dan jujur

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu pada satu golongan menyebabkan kamu tidak berlaku adil.” (Al-Maidah, ayat 8)
iii) Berpandangan luas dan tidak fanatik golongan

iv) Mengutamakan kepenting­an rakyat daripada kepentingan golongan

v) Mampu mewujudkan kesa­tuan dan kerjasama rakyat

“Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan, dan ja­nganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah, ayat 2)

vi) Bersikap terbuka dalam menerima idea, saranan dan kritikan

“Orang-orang yang mahu mendengar pendapat (dari mana pun datangnya) kemudian mahu mengikut mana-mana yang le­bih baik daripada pendapat itu. Mereka itulah yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” (Al-Zumar, ayat 18)

vii) Pemaaf dan memiliki sikap toleransi yang besar

“Dan jika membalas kejahatan (mereka) maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” (Al-Nahl, ayat 126)

viii) Berpengetahuan dan memiliki kemampuan dalam bidang yang dipimpinnya
“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kahancurannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

ix) Bertanggungjawab, ama­nah, telus dan tidak mementingkan diri sendiri

Banyak lagi ayat al-Quran, ha­dis Rasulullah SAW dan teladan daripada sejarah peradaban Islam yang dapat dikaji dan dianalisis untuk menyokong ciri-ciri kepemim­pinan seperti yang tersebut di atas.

Pemimpin yang gagal

Pada umumnya kepemimpinan sebuah negara akan meng­alami kegagalan sekiranya ciri-ciri yang tersebut di atas tidak dapat dipenuhi. Untuk berjaya dalam kepimpinan tersebut, maka setiap jentera pemerintah hendaklah bergabung dalam memenuhi objektif pemerintahan seperti yang tersebut. Di sinilah letaknya kepentingan kerjasama antara ulama dan umarak, kerana keseluruhan sistem pemerintah­an yang disebutkan itu adalah sistem pemerintahan Islam, iaitu “Islam” dalam pengertian yang luas sebagai satu sistem hidup yang lengkap.

PROF. DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Share this post :

+ comments + 1 comments

21 April 2017 at 14:05

dan para sahabat Rasulullahpun bersepakat(ijma sahabat)bahwa untuk memimpin umat ini harus ditunjuk seorang Imam atau Khalifah dalam pemerintahan Daulah Islam , tidak ada pemerintahan Islam berbentuk Negara Bangsa seperti sekarang ini, dan ijma sahabat tersebut wajib di-ikuti oleh seluruh kaum muslimin dimana saja berada , yaitu dengan menegakkan Khilafah Islamiyyah ala minhajun nubuwah.

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER