Headlines News :
Home » » Apabila masyarakat bandar tidak bertamadun?

Apabila masyarakat bandar tidak bertamadun?

Written By zabidi on Thursday, 2 March 2017 | March 02, 2017

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

SEJAK akhir-akhir ini, banyak laporan menerusi dada-dada akhbar arus perdana serta laporan media elektronik, yang menceritakan mengenai salah laku dalam kes-kes sama ada berprofil tinggi atau sebaliknya, apatah lagi melibatkan individu dalam kalangan beragama Islam amat memalukan kita sebagai Muslim yang menerima Islam sebagai agama yang lengkap dalam segenap serba-serbi ajarannya.

Kes-kes jenayah berat seperti membunuh ibu sendiri, sumbang mahram, meragut yang berakhir dengan kematian, suami simbah asid ke atas tubuh isteri atau sebaliknya hanya berlaku pada perkara yang remeh-temeh, individu yang melontarkan fitnah tanpa membuktikan dengan hujah yang mampu menyokong tuduhannya, dan pelbagai perkara lagi yang boleh disifatkan sebagai tindakan yang tidak melambangkan tamadun seseorang, malah menerima dan memberi rasuah bagaikan sudah sebati dalam diri segelintir umat Islam, macam tidak berlaku apaapa.

Jika kita kembali ke zaman sebelum kelahiran baginda Rasulullah s.a.w., gambaran yang jelas tergambar dalam benak dan pemikiran kita, bagaimana cara hidup, pemikiran, salah laku masyarakat jahiliyyah di Makkah boleh dianggap terburuk, malah tidak boleh dikatakan sebagai masyarakat yang berdaya saing, maju atau bertamadun.

Ini kerana, banyak berlaku jenayah atau kes yang berat seperti membunuh anak-anak perempuan, pelacuran berlaku di mana-mana, menyembah berhala, meminum minuman keras, berjudi, yang kaya dianggap sebagai kasta yang mulia walaupun banyak buat dosa, inilah antara kemuncak gambaran masyarakat jahiliyyah yang sinonim dengan tidak bertamadun, sepatutnya gejala seumpama itu di atas sudah berakhir dengan kemusnahan berhala-berhala dan kemunculan Islam sebagai agama Rahmatan Lil ‘Alamin.

Apabila Allah SWT memilih antara hamba-Nya yang terbaik, iaitu dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang dirancang khusus, maka baginda datang dengan membawa petunjuk dan agama yang benar seperti yang tercatat dalam ayat 9 surah as-Soff yang bermaksud: “Dia (Allah) telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar ia dapat mengatasi agamaagama yang ada di muka bumi ini, walaupun tindakan baginda itu tidak disukai oleh golongan musyrikin.”

Sesungguhnya petunjuk dan agama yang benar yang menjadi bahan yang dibawa oleh baginda untuk tatapan umat manusia, boleh dianggap sebagai bahan tamadun kerana menyamaratakan kedudukan manusia tanpa dipisahkan dengan kastakasta, menyelamatkan golongan wanita daripada menjadi mangsa kerakusan nafsu buas lelaki jahat, menyelamatkan anak-anak perempuan, mengharamkan arak dan judi, mengharamkan penyembahan berhala yang sedikit pun tidak memberi mudarat atau manfaat kepada penyembahnya, dan segala macam tamadun yang berasaskan kepada petunjuk baginda Rasulullah s.a.w.
Bahan-bahan petunjuk dan agama yang benar yang dibawa oleh baginda itulah sebenarnya telah melonjakkan masyarakat Madinah sebagai ‘Masyarakat Madani’ atau masyarakat yang bertamadun, tetapi mengapa umat hari ini terutama yang tinggal di bandar-bandar tidak menggarap sirah baginda itu sebagai bahan penting untuk mentamadunkan diri mereka masing-masing.
Mereka duduk/tinggal di taman-taman perumahan serba moden, tetapi masih tidak mengenali jiran terdekat kerana hanya terperuk di dalam rumah apabila bercuti di hujung minggu, ataupun merancang membawa anak-anak keluar berjalan-jalan, kemudian sesampainya di rumah terus menetap di dalamnya tanpa bergaul dengan ahli-ahli jemaah surau/masjid begitulah seterusnya rutin aktiviti harian segelintir umat Islam yang tinggal di bandar.
Sampai ke hari ini, penulis merasakan masih wujud dalam kalangan ahli-ahli qaryah yang saling belum dan tidak mahu kenal mengenal antara satu sama lain, maaf cakap, semangat kenegerian masih menebal dalam diri seglintir daripada mereka, bagaikan tidak boleh menerima jiran sebelah yang bukan dari negeri yang sama, tidak tahu sampai bila fenomena ini akan berakhir.

Bagi penulis individu-individu yang ikhlas memakmurkan masjid dan surau adalah mereka yang suka kemas kinikan diri dengan informasi baharu yang didapatinya dari kelas-kelas pengajian fardu ain, ceramah, program motivasi dari mereka yang berpengalaman anjuran masjid dan surau-surau, syabas diucapkan kepada AJK masjid dan surau yang tidak jemu-jemu mencari ramuan dan kaedah bagi membantu ahli-ahli jemaah dan qaryah agar terus bertamadun dalam segenap tindakan, cara berfikir dan cara hidup yang selaras dengan ajaran Islam itu sendiri.

Masa akan terus berlalu, rugilah bagi mereka yang telah hidup di bandar-bandar yang kurang dan mungkin tidak menyertai aktiviti-aktiviti masjid dan surau serta anjuran badanbadan bukan kerajaan yang bersifat Islamik menganjurkan program-program kebajikan, ilmiah yang boleh menambah ilmu ke arah meningkatkan kualiti cara berfikir dalam kalangan individu Muslim.

Ini kerana, Islam yang didatangkan Allah melalui Rasul terakhirnya iaitu Muhammad s.a.w. membawa segenap bahan bertamadun yang termuat dalam al-Quran yang tidak mampu dinafikan oleh mana-mana pihak termasuklah masyarakat Barat yang sudah mula akur dan menerima bahawa Islam adalah agama yang membawa kepada segenap kemajuan, ini termasuklah pengakuan sarjana Barat bahawa Sains itu adalah bersumberkan al-Quran bukannya kitab lain.

Kalau begitu apa yang dimaksudkan dengan tamadun? Tamadun Islamialah satu pendekatan untuk mengubah arah kegelapan tamadun Barat menjadi sebuah tamadun yang hebat hingga ke hari ini. Kajian demi kajian dibuat terhadap tamadun Islam telah melahirkan banyak ahli fikir Eropah seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Ibnu Khaldun dan lain-lain.

Secara dasar, tamadun Islam lebih mementingkan akhlak keperibadian mulia setiap insan tanpa membezakan setiap bangsa. Namun tamadun Barat lebih mementingkan kepada keuntungan atau lebih tepat materialistik (kebendaan) walaupun soal ahklak insan terbiar dalam masyarakat umat Islam pada hari ini.

Jelas, bahawa akhlak adalah salah satu ciri tamadun yang membawa masyarakat kepada satu cara hidup yang beretika tanpa melebihkan aspek kebendaan hingga meninggalkan tanggungjawab asasi iaitu untuk beribadat kepada Allah SWT. Inilah yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah menerusi satu hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.”

Sayidatina Aishah r.a. satu hari pernah ditanya oleh sahabat baginda Rasulullah tentang akhlak baginda, dengan tegas dan jelas beliau menyatakan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w. itu adalah al-Quran (selurunya).

Maka boleh disimpulkan bahawa, bahagian akhlak yang boleh dikategorikan sebagai aspek tamadun kepada masyarakat bandar hari ini ialah akhlak kepada Allah, akhlak kepada Rasulullah, akhlak kepada al- Quran, akhlak kepada hadis atau sunna baginda Rasulullah s.a.w., akhlak kepada kedua ibu bapa, akhlak kepada sesama manusia, ini termasuk jiran tetangga, rakan
taulan, kaum kerabat dan lainlain. Apa yang penting untuk diberi tumpuan khusus oleh muslim/ muslimah yang komited kepada agamanya untuk mencapai tamadun sebenar ialah akhlak kepada Allah SWT, kelemahan masyarakat jahiliyyah yang begitu ketara sekali ialah apabila mereka tidak menyembah Allah dalam erti kata sebenarnya.

Menyembah Allah juga membawa maksud melaksanakan segenap titah perintah-Nya yang terkandung dalam undangundang, peraturan serta hukumhakam- Nya seperti hudud, qisas, ta’zir dan lain-lain, kerana undang-undang tersebut dengan jelas telah berjaya mengubah persepsi masyarakat jahiliyyah walaupun mereka masih tidak mahu menerimanya.

Begitu juga aspek tamadun yang dijelmakan melalui akhlak kepada Rasulullah, iaitu menerima pakai segenap petunjuk yang dibawanya, kerana apa yang terkandung dalam ungkapan baginda yang dikenali sebagai hadis, mengandungi aspek motivasi, nasihat, bimbingan, petunjuk jalan kebenaran, mengarah melakukan yang makruf, meninggalkan yang keji dan mungkar, kesemua itu adalah aspek tamadun yang dilupakan oleh kebanyakan umat termasuklah yang tinggal di bandar-bandar.

Justeru, apabila masyarakat bandar meninggalkan pengajian di masjid-masjid atau surau-surau dengan tidak campur langsung dengan para jemaah, maka apa yang lahir dan terbit daripada diri mereka itu bukanlah satu etika, contoh orang-orang yang bertamadun, kerana semakin kuat pegangan seseorang muslim itu dengan al-Quran, hadis, melaksanakan sunnah baginda dalam kehidupan, maka merekalah orang-orang yang bertamadun walaupun tinggal di pedalaman atau desa.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER