Headlines News :
Home » » Corak pemakanan bantu selamat jantung

Corak pemakanan bantu selamat jantung

Written By zabidi on Tuesday, 28 February 2017 | February 28, 2017

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ramai yang bimbang mendapat serangan penyakit jantung tetapi ramai juga yang tidak berusaha mencegahnya. Umum mengetahui penyakit jantung salah satu penyebab kematian utama bukan saja di Malaysia bahkan di dunia.

Antara faktor risiko penyakit jantung termasuk paras kolesterol yang tinggi, darah tinggi, diabetes, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak aktif dan tabiat merokok.

Mengubah corak pemakanan antara perkara mampu menyelamatkan jantung anda. Ini boleh dilakukan dengan memilih makanan tertentu mengikut piramid makanan, mengurangkan pengambilan minyak, lemak, garam dan gula dalam hidangan.

Namun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung anda, antaranya:

Ikan 

Antara pilihan ikan paling baik ialah salmon. Ikan ialah sumber asid lemak omega-3 yang baik. Ia melindungi jantung dengan mengurangkan radang dan risiko pembekuan darah.

Lemak dalam ikan juga membantu mengekalkan paras kolesterol pada kadar yang sihat. Selain salmon, pilihan lain termasuk ikan laut yang berminyak seperti tuna atau sardin dengan pengambilan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Untuk lebih sihat, ambil salmon panggang bersama salad.

Oat 

Bijirin oat mengandungi serat larut dipanggil beta glucan yang membantu mengurangkan paras keseluruhan kolesterol termasuk kolesterol LDL.

Serat boleh larut ini juga membantu sistem penghadaman kekal sihat. Jika sukar menikmati bijirin oat begitu saja, campuran oat bersama susu rendah lemak atau susu soya itu boleh ditambah hirisan buah-buahan segar seperti pisang, strawberi atau oren.

Epal 

Epal mengandungi sejenis bahan iaitu quercetin yang bertindak sebagai antiradang dan membantu mencegah pembekuan darah. Ia juga mengandungi vitamin dan serat, malah enak dijadikan snek ringan atau menambah hirisan epal dalam masakan.

Epal membantu untuk mengurangkan sehingga 50 peratus risiko penyakit jantung jika pengambilannya dilakukan secara berterusan misalnya, dua biji epal atau segelas jus epal sehari.

Sayuran berdaun hijau 

Sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan sawi bukan saja mengandungi vitamin E, malah ia turut dikaitkan dengan keupayaan daya ingatan apabila berusia. Sayuran hijau kaya mineral yang mampu melindungi jantung daripada masalah kesihatan.

Pastikan dalam setiap hidangan tengah hari, masukkan sayuran hijau sebagai menu harian anda. Untuk mendapatkan mineral dan zat terkandung dalam sayuran hijau, elak daripada memasaknya terlalu lama. Sayur hijau juga boleh dimakan mentah seperti salad atau dijadikan ulam-ulaman.

Tomato 

Tomato baik untuk kesihatan jantung kerana kaya dengan vitamin dan lycopene yang terbukti membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Hanya tambahkan hirisan tomato pada sandwic atau banyakkan sos tomato dalam makanan. Sos tomato yang dimasak dan sos tomato di dalam tin yang mudah didapati di kedai mengandungi lebih banyak lycopene berbanding tomato mentah.

Soya 

Protein soya ialah sumber yang baik untuk menggantikan daging merah apatah lagi ia membantu untuk mencegah penyakit jantung. Terdapat pelbagai makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe. Anda juga boleh mengambil susu soya setiap hari untuk kekal cergas.

Minyak zaitun 

Minyak zaitun mengandungi kandungan lemak tidak tepu sehingga 77 peratus sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan menurunkan paras kolesterol. Anda boleh mengambil minyak zaitun satu sudu sehari sebagai makanan tambahan atau dijadikan bahan dalam masakan. Jika mampu gunakan minyak zaitun bagi menggantikan minyak lain dalam masakan.

Bijirin penuh 

Bijirin penuh menyediakan vitamin dan serat bagi menguatkan jantung. Jika anda penggemar roti, pilihlah roti yang dihasilkan daripada bijirin penuh seperti roti perang dan bukannya roti putih.

Badam 

Badam ialah jenis kacang yang mengandungi minyak menyihatkan seperti vitamin E bagi membantu mengekalkan paras kolesterol. Ia juga sumber yang baik untuk protein dan serat.

Avokado 

Avokado kaya lemak tidak tepu dan berfungsi menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik HDL dalam tubuh. Buah ini juga memungkinkan penyerapan karotenoid, khususnya betakaroten dan lycopene, yang sangat penting untuk kesihatan jantung. Amalkan makan avokado setiap hari bagi mendapatkan jantung yang sihat.

Beri 

Semua jenis buah berasaskan beri seperti blueberi, raspberi dan strawberi kaya antioksidan dan berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser. Amalan pengambilan setiap hari menguatkan jantung sekali gus mengelak daripada serangan jantung.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER