Headlines News :
Home » » Manfaat kelebihan, kelemahan anak

Manfaat kelebihan, kelemahan anak

Written By zabidi on Wednesday 7 December 2016 | December 07, 2016

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof 

Kelahiran seorang anak itu adalah anugerah daripada Allah SWT. Anugerah yang begitu tinggi nilainya kepada hamba-Nya. Setiap anak yang lahir telah dijanjikan pemberian rezeki masing-masing daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam al-Quran: "Dan janganlah kamu membunuh anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu sungguh suatu dosa yang besar." (Surah Al-Israa', ayat 31).

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin menjelaskan bahawa anak adalah amanah Allah kepada orang tua. Hatinya masih suci bagaikan acuan asli yang masih bersih daripada segala corak dan warna.

Jika dibiasakan dan dibina untuk menjadi baik, maka ia akan menjadi baik. Kedua-dua orang tua, guru dan pendidiknya pun akan menuai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, bila dibiasakan terhadap keburukan, maka buruklah jadinya. menjadi ibu bapa bukan sekadar bertindak sebagai penjaga. Ramai orang mengambil mudah mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Ada yang menganggap asal sahaja menyediakan makan minum, pakaian dan tempat tidur, itu sudah cukup. Renungkanlah, Allah SWT hendak melihat anak itu bukan setakat dibesarkan, bahkan diasuh sehingga menjadi hamba dan khalifah-Nya yang soleh.

Dunia hari ini memerlukan kepada penguasaan sains dan teknologi, pengurusan dan pentadbiran, ekonomi dan kewangan, dan sebagainya. Inilah yang menuntut ibu bapa untuk menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada anak supaya mereka tidak ketinggalan, bahkan terkehadapan berbanding orang lain.

Imbangi duniawi, akhirat

Namun demikian, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi mestilah wujud. Atas kesedaran itu, ibu bapa hendaklah berusaha sedaya mungkin menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi memburu kejayaan di dunia dan akhirat.

Anak pasti memiliki kelemahan, namun ibu bapa disaran memberi tumpuan kelebihan mereka. Amat menyedihkan apabila ada antara ibu bapa menilai keunggulan seseorang anak berdasarkan pencapaian akademiknya.

Setiap anak misalnya harus mendapat sebanyak 'A' dalam setiap peperiksaan. Realitinya ramai anak yang kurang cerdik dalam akademik, tetapi bijak dalam ilmu pengetahuan atau menyelesaikan masalah teknikal.

Jika mempunyai anak yang lemah dalam akademik, elak memandang rendah kepada mereka dengan meluahkan kata-kata berunsur negatif.

Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan setiap anak sia-sia, pasti ada tujuan dan hikmah di sebaliknya.

Cuba kita renung-renungkan sebab Allah SWT mengurniakan anak itu kepada kita. Allah telah menciptakan manusia berbeza-beza. Janganlah membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain.

Mendoakan anak

Sebagai ibu bapa juga, perlulah sentiasa berdoa supaya kelebihan yang ada pada diri anak dapat dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Ilahi.

Kata-kata perangsang akan mempengaruhi minda dan jiwa anak untuk maju ke hadapan. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa mendorong anak supaya sentiasa yakin dan selesa dengan diri sendiri.

Sesiapa yang memperkecilkan anak, seolah-olah dia memperkecilkan Allah SWT yang menganugerahkan anak itu. Oleh itu, alangkah baiknya jika memahami diri anak.

Begitu juga juga anak yang dilahirkan kurang upaya. Membesarkan anak kurang upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Segala-galanya perlu dihadapi dengan tabah dan sabar.

Ibu bapa perlu ingat bahawa walaupun anak itu kurang dari satu aspek, ia tentu mempunyai kelebihan dalam aspek yang lain. Umpamanya, seorang anak yang cacat penglihatan, mungkin dilahirkan sebagai seorang yang berbakat untuk menjadi hafiz yang terkenal.

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara.-BH



















Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER