Oleh: Prof Madya Burhanuddin Jalal
Kepemimpinan merujuk kepada kemampuan mengambil peranan mempengaruhi orang lain ke arah kebaikan. Seorang pemimpin perlu mempunyai personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain serta bersedia ditegur atau dikritik oleh orang lain.
Dalam konteks Islam, kekuatan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT adalah aspek penting, sekali gus menjadi satu kekuatan apabila diuji dengan pelbagai cabaran. Pemimpin yang baik tidak mudah berputus asas atau cepat mengalah kerana yakin Allah SWT sentiasa bersamanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya mengenai apa yang dilakukannya." (Surah al-Israk, ayat 36)
Selain itu, pemimpin yang baik mempunyai daya fikiran jauh ke hadapan atau berwawasan. Mereka akan sentiasa dipandang oleh masyarakat sekeliling sebagai seorang yang mempunyai nilai dan diyakini.
Kesemua ciri atau nilai itu sekali gus melambangkan keperibadian dimiliki Rasulullah SAW yang mempunyai prinsip wawasan masa hadapan, musyawarah dan mempunyai kepemimpinan dengan teladan atau uswatun hasanah.
Tiga ciri utama
Terdapat tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW iaitu wawasan yang jelas, nilai baik dan daya kekuatan.
Pemimpin yang mempunyai wawasan jelas memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperjelas atau memperhalusi sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.
Memimpin orang lain dengan nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti dalam diri.
Memiliki daya kekuatan hingga mampu menggerakkan orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental.
Sehubungan itu, wajar kita melatih generasi muda supaya mempunyai nilai dan ciri kepemimpinan yang mampu mengurus diri serta mempengaruhi orang lain di sekelilingnya. Untuk itu kita perlu melatih generasi muda supaya belajar daripada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.
Selain itu, mereka juga hendaklah didedahkan kepada sirah Rasulullah SAW supaya menerapkan dalam diri sifat bertanggungjawab, amanah, seperti ditunjukkan Baginda SAW untuk menjadi pemimpin hebat di masa depan.
Kerja berpasukan
Membabitkan diri dalam organisasi dapat memupuk nilai kepemimpinan generasi muda dalam masyarakat. Ini dilakukan oleh Rasulullah SAW, ketika berumur 20 tahun Baginda aktif sebagai anggota Hilful Fudhul iaitu organisasi masyarakat Makkah yang menjaga daripada gangguan musuh dan penganiayaan pihak asing.
Melalui pembabitan dalam bidang sukan akan melatih anak muda erti perjuangan, kemenangan, kekalahan serta tidak mudah mengaku kalah. Persaingan hidup dalam semua perkara dan bidang hari ini semakin sengit, justeru mereka perlu bersedia.
Dalam sukan atau pertandingan juga ditanamkan semangat bekerjasama secara berpasukan atau hidup berjemaah kerana kekuatan dan saling bekerjasama berpasukan penting untuk memperoleh kemenangan.
Hakikatnya, banyak nilai positif dalam kepemimpinan perlu didedahkan kepada generasi muda kerana kita tidak mahu meninggalkan generasi yang lemah untuk menghadapi cabaran lebih hebat terhadap Islam serta umatnya pada masa hadapan.
3 ciri utama perlu ada pada pemimpin
Written By zabidi on Saturday, 3 December 2016 | December 03, 2016
Labels:
Artikel
Post a Comment