Rahsia panjang umur wanita tertua di dunia
Written By zabidi on Wednesday, 2 November 2016 | November 02, 2016
VERBANIA - ITALI . Wanita tertua di dunia yang bakal berumur 117 tahun bulan ini berkongsi rahsia panjang umur beliau.
Emma Morano dilahirkan pada tahun 1899 dan memegang gelaran tersebut setelah kematian Susannah Mushatt Jones, bekas pemegang rekod itu.
“Saya hanya makan dua biji telur setiap hari dan juga biskut-biskut,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, terdapat rahsia di sebalik gaya pemakanan beliau itu yang menarik perhatian ramai.
“Telur tersebut tidak digoreng ataupun dimasak. Saya hanya akan makan dua biji telur mentah setiap hari selama berdekad.
“Selain itu, doktor juga ada memberitahu bahawa tabiat makan tersebut membantu penyakit anemia saya,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, antara penyebab utama dia panjang umur adalah kerana tidak dikuasai oleh sesiapa.
“Saya bercerai dengan bekas suami saya ketika berumur lewat 30-an, sejak itu saya bebas dan tidak dikongkong oleh orang lain,” katanya.
Menurut doktor Morano, Dr Carlo Bava, beliau bukan sahaja kagum dengan umurnya yang panjang tetapi juga daya tahan wanita untuk meneruskan kehidupan.
“Apa saja yang terjadi di dalam hidupnya, dia benar-benar akan pulih dan hidup dengan baik,” katanya
Labels:
Global
Post a Comment