Pertama, kes ini membabitkan murid sekolah rendah dan dibuli juga oleh murid sekolah rendah, cuma bezanya setahun. Kedua, kes ini melibatkan kecederaan anggota yang agak sensitif iaitu lidah. Seterusnya, kejadian mirip satu jenayah kerana jika benar para pembuli bertopeng kertas, ini adalah satu perkara yang dirancang.

Di samping itu, sebelum ini pun, murid tersebut pernah dibuli kerana matanya pernah lebam. Ini menunjukkan betapa kes buli di sekolah tersebut bukanlah perkara baharu. Amat membimbangkan kerana kes ini berlaku di sekolah rendah yang menunjukkan betapa anak-anak yang masih mentah lagi seakan-akan sudah biasa dan pandai membuli.

Walaupun tidak membabitkan kecederaan serius kerana murid itu sudah stabil, tetapi insiden ini perlu dilihat sebagai satu ancaman. Kita tidak nafikan suatu masa nanti pembuli-pembuli ini akan bertindak lebih ganas dan serius jika tidak diambil tindakan.

Hal ini sudah tentunya mampu menghakis kepercayaan ibu bapa terhadap institusi pendidikan negara dan nama baik sekolah sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan. Ibu bapa bimbang kalau-kalau anak mereka juga akan dibuli dan apa-apa bentuk buli lain yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

Dalam soal ini, pihak sekolah memainkan peranan penting untuk menentukan tahap disiplin dan tingkah laku murid-murid supaya tidak terus mengganggu sistem pembelajaran di sekolah dan mengikis keyakinan terhadap badan disiplin di sesebuah sekolah.

Di samping menambah jumlah pengawas yang sedia ada, pihak sekolah mesti melantik pengawas rahsia supaya pergerakan setiap murid boleh diawasi dengan lebih berkesan dan menyeluruh tanpa disedari. Beberapa kaedah untuk mewujudkan keberkesanan pengawas rahsia mestilah dibuat oleh pihak tertentu di sekolah supaya tindakan dan pergerakan pengawas rahsia ini tidak diketahui, waima oleh rakannya sendiri yang sama-sama memikul tugas tersebut.

Seperti pengawas biasa, pengawas rahsia juga akan melaporkan sesuatu salah laku murid atau melapor sesuatu keadaan yang mencurigakan di sekolah kepada pihak yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Biasanya murid akan menghentikan aktiviti-aktiviti negatif di sekolah sekiranya mereka melihat kelibat pengawas. Ada tindakan yang terlepas pandang oleh pengawas kerana nisbah pengawas dan murid agak besar ditambah pula dengan identiti mereka yang dikenali dengan jelas di sekolah.

Contohnya, jika ada aktiviti tidak sihat di belakang bangunan sekolah, di tandas dan seumpamanya, sudah tentu aktiviti tersebut dapat dihidu dengan mudah oleh murid-murid nakal jika ada pengawas yang datang atau ditempatkan di kawasan-kawasan tersebut. Malah, tidak menghairankan jika berlaku kes-kes pergaduhan di luar sekolah yang ada kaitan dengan kes-kes yang berlaku di kawasan sekolah, umpamanya dendam murid terhadap pengawas.

Apa-apa pun, sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai mestilah mencari jalan agar masalah buli dan kesalahan disiplin lain dapat dibendung. Pelbagai pihak terbabit mestilah memahami bahawa apabila tahap disiplin dalam kalangan murid merosot, ini akan menyumbang kepada pelbagai masalah terutamanya kepada murid-murid yang ingin belajar dan menimba ilmu pengetahuan, dan bukannya mahu melihat pelbagai krisis yang berlaku di sekolah.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru mestilah memainkan peranan yang lebih efisien agar masalah yang ditimbulkan oleh murid-murid dapat ditangani dan tidak berulang. Malah, usaha untuk menyekat daripada berlakunya gejala tidak sihat mestilah diutamakan dengan pelbagai pendekatan.

Bagi murid-murid yang bermasalah, pihak sekolah mestilah mengambil tindakan tegas agar mereka dan murid lain tidak berani melakukan kesalahan yang sama pada suatu masa nanti.