Oleh:Syafiq Bakri

Kadang kala peranti komputer desktop/laptop/notebook sering kali mengalami masalah-masalah kecil
yang sebenarnya boleh diatasi sendiri. Usah bazir wang untuk terus menghantarnya ke kedai, tetapi lakukan pemeriksaan awal dahulu sedaya mungkin kerana anda pasti menepuk dahi berikutan penyelesaiannya lebih mudah daripada jangkaan.

Nota : Sesetengah penyelesaian (langkah demi langkah) dikhususkan untuk pengguna komputer dengan sistem operasi (OS) Windows 7 sahaja.

Perkakasan (Hardware)

1.         Gangguan bekalan kuasa
Jika anda selalu mengalami gangguan kuasa dan masalah voltan secara tiba-tiba, ia boleh menyebabkan kerosakan teknikal yang turut menyebabkan kerosakan perkakasan dan kehilangan data. Jangan ambil mudah jika ia selalu berlaku.
 
Penyelesaian
Gunakan Uninterruptible Power Supply (UPS) yang akan menyediakan aliran tenaga kuasa berterusan kepada komputer walaupun menghadapi gangguan kuasa secara tiba-tiba. Ia akan menyediakan anda masa yang mencukupi untuk menyimpan data dan menutup PC terlebih dahulu jika perlu.

2.         Kepanasan
Sering kali berlaku kes komputer/laptop tidak memiliki sistem penyejukan yang mencukupi yang mana tidak mampu menampung kerja-kerja yang anda sedang lakukan. Apabila ia berlaku, komponen komputer/laptop tersebut mulai menjana haba berlebihan semasa beroperasi.
 
Penyelesaian
Untuk mengelakkan masalah ini berterusan, matikan komputer/laptop anda terlebih dahulu dan biarkan ia sebentar. Selain itu, periksa pada kipas bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Untuk laptop, jangan biarkan ia di atas lantai semasa bekerja sebaliknya dapatkan kipas tambahan sebagai sokongan penyejukan.
 
3.         Bunyi asing dan getaran
Masalah ini hampir-hampir pasti berkaitan perkakasan pada komputer anda. Bunyi yang bernada tinggi biasanya disebabkan oleh perkakasan elektronik. Walau apa pun alasannya, anda boleh cuba untuk melakukan pemeriksaan awal.
 
Penyelesaian
Buka sarung kepada CPU anda berhati-hati untuk mengetahui penyebab masalah tersebut. Periksa sama ada ia datang daripada kipas atau wayar/skru yang longgar daripada kedudukan asal. Jika ia bukan berpunca daripada dua masalah tersebut, jangan usik komponen lain dan dapatkan bantuan yang lebih pakar.
 
4.         Selalu reboot sendiri
Masalah yang biasa dialami oleh komputer ialah kadang kala akan berulang kali reboot sendiri tanpa permintaan. Kes ini selalunya disebabkan oleh perkakasan komputer itu sendiri.
 
Penyelesaian
Periksa keadaan semasa bekalan kuasa yang anda gunakan, sama ada telah mengalami kerosakan atau pun masih dalam keadaan baik. Selain itu, mungkin kipas penyejuk anda telah kotor yang mana habuk yang terkumpul pada kipas akan mempercepatkan pemanasan yang mana akan menyebabkan komputer anda akan mati secara automatik.
 
5.         Sambungan USB tidak berfungsi
Kadang kala apabila anda cuba menyambung peranti seperti pencetak, scanner, kamera web dan lain-lain melalui USB ke komputer/laptop/notebook/dll, ia tidak berfungsi. Sebenarnya, sesetengah port hab USB, monitor atau peranti lain yang digunakan sebagai perantara tidak memberikan kuasa yang mencukupi untuk menyokong peranti tersebut. Ia memerlukan hab yang memiliki kod kuasa tersendiri untuk berfungsi dengan baik.
 
Penyelesaian
Cuba untuk terus menyambung USB tersebut secara langsung ke salah satu port USB komputer anda tanpa sebarang perantara. Alatan kecil seperti pemacu USB, mouse dan lain-lain memiliki kod kuasa sendiri tetapi elakkan menggunakan perantara bagi peranti yang memerlukan lebih kuasa.    
 
6.         Masalah pencetak (printer)
Pertama sekali perkara yang perlu dilakukan adalah sambungkan secara tepat pencetak ke komputer anda mengikut arahan pengilang pencetak anda. Kemudian cuba untuk troubleshooter pencetak tersebut yang mana ia akan mendiagnosis secara automatik dan menyelesaikan masalah anda.
 
Penyelesaian
Windows 7 - Buka troubleshooter pencetak dengan klik pada Start  ̶> Control Panel  ̶> taip troubleshooter pada kotak carian  ̶> Troubleshooting  ̶> Di bawah Hardware and Sound, klik pada Use a printer  ̶> Next.
 
Tindak Balas

7.         Prestasi komputer semakin perlahan
Apabila menyedari komputer anda mulai perlahan dengan ketara tidak sepadan dengan usianya, masalah yang mungkin dialami antaranya adalah telah dimuatkan dengan fail-fail yang tidak perlu, pecahan data, registry korup, gangguan program spyware, perkhidmatan atau perisian.
 
Penyelesaian
Uruskan program dan padam data dan perisian yang tidak perlu, bersihkan registry dengan lebih kerap bagi membantu meningkatkan sekurang-kurangnya 30% daripada kelajuan prestasinya.
Cara membuang perisian yang tidak perlu atau tidak digunakan :
 
Windows 7 – Butang Start  ̶> Control Panel  ̶> Lihat pada Programs  ̶> Uninstall a program  ̶> Pilih program/perisian dan klik Uninstall/Change/Repair. 
#Anda perlu berhati-hati supaya tidak terbuang program/perisian yang penting.
 
8.         Ralat mesej ketika start-up
Pernah mengalami situasi ketika menghidupkan komputer, anda dapat melihat mesej-mesej ralat pada skrin seperti ‘mpclink.xyz’ hilang atau rosak dengan diminta klik pada sebarang kekunci untuk meneruskannya. Jika melihat mesej ini, anda perlu menekan kekunci kira-kira 8 hingga 10 kali sebelum penyambungan Windows semula.
 
Penyelesaian
Ini berlaku kerana anda telah hanya memadam sesuatu program tetapi tidak menyahaktifkan pemasangannya. Jika anda benar-benar ingin membuang sesuatu aplikasi atau program, ikuti seperti langkah nombor 7. 
 
9.         Skrin membeku (Frozen)
Apabila skrin anda tidak membenarkan sebarang tindak balas dilakukan atau dalam erti kata lain membeku, anda mengalami risiko kehilangan apa-apa kerja yang masih belum disimpan. Puncanya boleh dikatakan kerana RAM tidak mencukupi, konflik registry, fail korup atau hilang dan spyware.
 
Penyelesaian
Apabila ini berlaku, anda tiada pilihan lain selain terpaksa reboot komputer anda. Tekan dan tahan butang kuasa sehingga komputer dimatikan, kemudian mulakan semula untuk kerja-kerja pembersihan sistem supaya ia tidak berulang.
 
10.     Serangan virus dan spyware
Ia ialah sesuatu perkara normal yang berlaku kepada setiap peranti pengkomputeran yang sentiasa aktif di talian. Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap pengguna untuk memiliki sekurang-kurangnya satu perisian sekuriti seperti antivirus untuk mengawalnya daripada terus merebak dan merosakkan sistem komputer anda. Tetapi, bagaimanakah jika serangan tersebut begitu menjadi-jadi tatkala perisian sekuriti anda masih belum dikemas kini?
 
Penyelesaian
Windows Defender ialah perisian antispyware yang disertakan dengan Windows dan berjalan secara automatik apabila ia dihidupkan. Tetapi anda juga perlu sentiasa mengemas kini Windows Defender bagi memastikan pengesanan spyware terbaru. Cara aktifkan dengan
 
Windows 7 – Start  ̶> taip Defender dalam kotak carian  ̶> Windows Defender.
 
11.     Tidak dapat jalankan Windows
Jika anda masih dapat boot dalam Safe Mode (F8 pada start-up) masalah ini mungkin berkaitan dengan perisian dan bukannya perkakasan.
 
Penyelesaian
Cuba menggunakan system restore jika anda berada dalam Safe Mode atau memulihkan (recovery) untuk kembali pada tarikh sebelumnya. Jika anda tidak dapat boot ke Safe Mode, cuba boot ke dalam komputer dalam mod Repair my computer untuk memperbaiki masalah isu start-up tersebut.

Teknikal

12.     Kehilangan fail Dynamic-Link Library (DLL)
DLL ialah fail maklumat dalaman bagi sistem operasi anda tentang bagaimana untuk melaksanakan fungsi-fungsi tertentu. Kadang kala, DLL boleh hilang dan rosak. Apabila tidak boleh membaca fail DLL tertentu, komputer anda tidak tahu bagaimana untuk bertindak dalam sesetengah keadaan berkaitan. Mesej ralat pemberitahuan akan dihantar ketika anda cuba melakukan fungsi yang terlibat seperti penyimpanan.
 
Penyelesaian
Jika masalah tersebut dikenal pasti akibat kehilangan atau kerosakan fail DLL, anda perlu mengenal pasti fail DLL tersebut melalui beberapa kaedah seperti di www.processlibrary.com dengan mendapatkan nama proses (dari Task Manager Windows) atau nama fail DLL dan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai fail atau pun carian di enjin carian.
 
13.     Blue Screen of Death (BSoD)
Sudah tentu semua pengguna komputer pernah mengalami masalah ini yang mana skrin tiba-tiba menjadi biru dan muncul teks yang berwarna putih. Sebenarnya ia ialah salah satu petanda bahawa telah berlaku masalah yang agak kronik.
 
Penyelesaian
Untuk risau, kebanyakan masalah ini hanya memerlukan anda untuk reboot semula. Ralat STOP muncul di skrin anda atas pelbagai sebab termasuklah kegagalan perkakasan, perisian rosak, fail DLL korup, masalah dengan pemacu dan sebagainya. Penyelesaiannya lebih bergantung pada punca masalah tetapi Skrin menyediakan anda dengan kod yang boleh membantu rujukan anda mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tersebut.
 
14.     Ruang Disk penuh
Ia berlaku kerana anda membiarkan bagi jangka masa yang lama disk komputer dipenuhi benda tidak berguna seperti fail internet sementara, fail program yang dimuat turun, komponen pilihan Windows yang tidak digunakan, program yang dipasang tetapi tidak digunakan serta titik pemulihan yang tidak digunakan dan salinan daripada System Restore. Sudah pasti ia memberi kesan kepada prestasi komputer.
 
Penyelesaian
Alatan Disk Cleanup membantu membebaskan ruang pada hard disk dengan mengenal pasti fail yang selamat dipadam dan memberikan anda pilihan untuk memadam beberapa atau semua fail yang telah dikenal pasti.
 
Windows 7 – Start  ̶> All Programs  ̶> Accessories  ̶> System Tools  ̶> Disk Cleanup. Jika anda memiliki beberapa bahagian pemacu, anda boleh spesifik yang mana hendak dibersihkan  ̶> OK. Pilih apa yang ingin anda bersihkan.     
 
15.     Hard drive gagal berfungsi
Ini merupakan senario kes terburuk yang mana kegagalan sistem mungkin disebabkan hard drive rosak atau korup. Anda dapat mengesannya jika sistem anda tidak dapat boot, tiada sistem operasi dikesan, komputer hang pada permulaan serta PC anda mengeluarkan bunyi aneh.
 
Penyelesaian
Jika anda bimbang berkenaan keselamatan fail anda, cuba langkah-langkah berikut sebelum menghantar ke kedai. Anda boleh cuba untuk mengambil fail menggunakan CD boot dan cuba untuk menggunakan alatan pemulihan sistem percuma seperti SuperDuper, The Ultimate Boot CD dan sebagainya. 
 
16.     Windows out-of-date
Sesetengah pengguna berpendapat tidak perlu melakukan kemas kini pada Windows mereka walau pun mereka sebenarnya sedar ia perlu untuk menerima tetapan baru yang bertujuan untuk peningkatan prestasi. Ia kerana mereka berpendapat ia akan dilakukan secara automatik. Tetapi, untuk keselamatan anda juga boleh lakukannya sendiri jika Windows telah out-of-date.
 
Penyelesaian
Windows 7 - Start  ̶> All Programs  ̶> Windows Update  ̶> Check for updates. Selepas itu, pergi kepada panel kiri, pilih Change Settings  ̶> Pastikan Install Updates Automatically (Recommended) dan Every Day dipilih.
 
17.     Penggunaan memori berlebihan
Jika anda mulai merasakan penggunaan memori yang berlebihan sehingga tindakan komputer mulai perlahan apabila anda sedang menjalankan program tertentu, ia mungkin disebabkan oleh satu atau lebih program mungkin mempunyai kebocoran memori. Untuk menghentikan kebocoran tersebut, anda perlu menghentikannya dengan menutup program tersebut.
 
Penyelesaian
Untuk memperbaiki kebocoran memori tersebut, anda perlu memeriksa kemas kini perisian program tersebut atau hubungi empunya perisian. Tetapi, bagaimanakah untuk mengesan perisian manakah yang mengalami kebocoran ketika anda sedang bekerja?
 
Windows 7 – Buka Task Manager (Ctrl + Alt + Del)  ̶> Start Task Manager  ̶> Klik pada tab Processes  ̶> Untuk menyusun program mengikut penggunaan memori, klik pada Memory (Private Working Set)
 
Internet

18.     Carian rangkaian wayerles
Jika dengan laptop, anda sering kali bermasalah menyambung senarai rangkaian wayerles ketika anda memerlukan sambungan internet jika peranti anda tidak menyambungnya secara automatik. Rangkaian wayerles hanya akan muncul jika peranti anda memiliki penyesuai rangkaian wayerles, driver dipasang dan penyesuai diaktifkan.
 
Penyelesaian
Tetapan secara manual untuk Windows 7 – Buka Connect to a Network dengan klik pada ikon rangkaian di kawasan notifikasi  ̶> lihat senarai  wayerles  ̶> klik rangkaian pilihan  ̶> Connect
#Sesetengah rangkaian memerlukan kata laluan sekuriti atau passphrase. Ia boleh didapatkan melalui admin rangkaian atau Internet service provider (ISP) untuk kata laluan/ passphrase tersebut. 
 
19.     Sambungan internet perlahan
Tidak kira seberapa pantas pun sambungan internet yang anda miliki, kadang kala anda dapat rasakan sambungannya sedikit perlahan daripada biasa. Windows menyediakan aplikasi troubleshooter yang akan secara automatik mencari dan menyelesaikan masalah sambungan biasa.
 
Penyelesaian
Windows 7 - Buka Internet Connections troubleshooter : Start  ̶> Control Panel  ̶> Taip troubleshooter  dalam kotak carian  ̶> klik Troubleshooting  ̶> di bawah Network and Internet klik Connect to the Internet.
 
20.     Masalah sambungan internet
Masalah kehilangan sambungan internet secara tiba-tiba ini ialah sesuatu konflik yang agak rumit kerana ia terjadi kerana banyak sebab. Perkara pertama yang boleh anda lakukan cuba jalankan troubleshooter Network (seperti di atas) untuk membantu diagnosis. Jika ia masih tidak berjaya, cuba cari puncanya dengan mengingati perkara yang dilakukan sebelum masalah tersebut.
 
Penyelesaian
Jika masalah ini berlaku selepas anda memasang perisian baru, semak tetapan sambungan jika ia telah berubah. Klik kekunci Start  ̶> Control Panel  ̶> Taip perkataan Adapter di kotak carian dan bawah Network and Sharing Center klik View network connections. Klik kanan pada sambungan  ̶> Properties. Jika memerlukan kata laluan untuk pengesahan, berikan dan ikut langkah-langkah tersebut.-Majalah PC