Headlines News :
Home » » Tuan Guru Nik Aziz di hati semua

Tuan Guru Nik Aziz di hati semua

Written By zabidi on Sunday 15 February 2015 | February 15, 2015

Oleh Shamiel Fikri

Kisah cinta Stephen Hawkings dan Jane Wild dirakamkan indah sekali dalam "The Theory of Everything".Kyai Dahlan, dan Soekarno masing-masing diagungkan dalam "Sang Pencerah" dan "Soekarno".

Nelson Mandela, Martin Luther King, ada filem tentang mereka, pecah panggung semuanya.

Pemergian Tuan Guru Nik Aziz tiada filemnya. Kisahnya tidaklah seindah mana, rumahnya biasa, orangnya sederhana, namanya pernah diperbodohkan media.

Namun, inilah kisah pejuang sebenar. Seorang pemimpin yang disanjungi semua.

Pemergian TGNA adalah kehilangan yang besar. Saat hidupnya ada yang berbalah, bertikam lidah, saling berpecah sesama sendiri. Tapi saat perginya, semua menangis hiba. Semua duduk bersama, tidak peduli sudut dan pihak mana.

Dunia menyaksikan ramai tokoh agamawan yang hebat, telah membawa perubahan yang besar dalam arena politik global.

Mahatma Gandhi, seorang peguam Hindu terkenal yang berpegang pada falsafah Ahmisa (pasifisme), beliaulah juga pejuang kemerdekaan India. Sosok itu yang melancarkan perang saraf "Satyagarha" yang menentang kongkongan ekonomi British terhadap rakyat India.

Martin Luther King, seorang pejuang hak asasi dan keadilan sosial adalah seorang penganut Kristian yang baik. Beliau menyatakan dalam salah satu ucapan terkenalnya yang bertajuk "l've been to the mountaintop"; perjuangannya adalah untuk menjalankan kehendak Tuhan.

Seandainya pada era ini, ramai yang menentang pemimpin politik yang "bertuhan" dan kuat beragama, maka beberapa tokoh-tokoh ini masih mampu memberi harapan masyarakat bahawa pemimpin yang beragama itu masih boleh diharapkan. Salah seorangnya adalah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Beliau bukan sekadar pemimpin negeri Kelantan, bukan hanya Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia. Sumbangannya banyak sekali, bukan sekadar terkenal dalam usaha menyatukan Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Karismanya bukan hanya dikagumi di negara Malaysia sahaja khususnya. Malah, jasanya dikenali dan turut dirasai oleh Umat Islam di serata dunia amnya.

Saat "ulama-ulama" yang lain sibuk menuding jari dengan isu anjing dan yoga, tenggelam dengan hukum halal dan haram babi dalam coklat. TGNA fokus pada usaha menyatukan umat. Di hatinya risau memikirkan akan masa depan Islam dan Malaysia.

Pemimpin Muslim sedemikian, adalah pemimpin yang perlu dicemburui oleh pemimpin Islam yang lain hari ini.

Bukan sekadar kerana serban dan jubah yang menghiasi tubuh. Bukan jua sekadar kerana akhlak dan keindahan peribadi pemimpin agung ini yang perlu diteliti. Malah kecekapan mentadbir, ketelusan memimpin, ketegasan dan sifat berprinsip TGNA selama ini, itu adalah kualiti yang paling sukar dicari dalam mana-mana pemimpin dunia abad ini!

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, inilah dia pemimpin yang dirindui. Seluruh air mata rakyat menjadi bukti kehilangan yang besar ke atas Malaysia.

Hayat TGNA semasa hidupnya adalah contoh terbaik yang mencorakkan sikap "umara" (pemimpin) dan "ulama" (ilmuwan) yang patuh pada Tuhan dalam masa yang sama cekap dalam pemerintahan.
Meski tiada filemnya, tiada drama tentangnya, di hati rakyat, di situ terpahat nama dan ingatan mereka pada insan ini! Berehatlah, TGNA. Al-Fatihah.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER