Headlines News :
Home » » Tuan Guru Nik Aziz buktikan Islam bukan retorik

Tuan Guru Nik Aziz buktikan Islam bukan retorik

Written By zabidi on Sunday 15 February 2015 | February 15, 2015

Tanggal 12 Februari lalu kita digegarkan dengan gugurnya sebutir permata. Permata yang selama ini menyinari jalan penuh sukar ini.

Ketua Pembangkang yang kini menjalani hukuman penjara menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan sebiji bintang yang menyinar, manakala Menteri Pertahanan pula mengakui pemergian tokoh ulama itu menyedarkan beliau bahawa personaliti manusia hanyalah bersifat sementara dan akhirnya manusia akan menemui Penciptanya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menyifatkan beliau sebagai tokoh yang berperanan penting dalam mempopularkan PAS di kalangan bukan Islam pada tempoh kritikal apabila bangsa dan agama dipolitikkan oleh kerajaan pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Sesungguhnya pemergian Almarhum Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menemui Penciptanya meninggal kesedihan yang mendalam di hati para penyokong dan pendukung PAS. Kesedihan itu turut dirasakan segenap lapisan rakyat negara ini apabila ucapan takziah datang mencurah daripada kalangan pemimpin negara, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya.
Jarang berlaku dalam sejarah perjuangan PAS apabila pemergian tokohnya diberi liputan meluas media cetak dan elektronik.

Dan inilah keajaiban yang wujud pada sosok tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selama lebih tiga dekad mengukir nama di arena politik tanah air.

Tidak terbayang di fikiran ramai apabila beliau dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan hampir 24 tahun lalu setelah PAS berjaya mentadbir semula Kelantan bersama Angkatan Perpaduan Ummah.
Ada suara-suara nakal yang meramalkan kerajaan negeri diterajui PAS hanya akan bertahan selama tiga bulan kerana dipimpin seorang guru pondok yang tiada kemahiran dan pengalaman mentadbir.
Bagaimanapun, andaian itu ternyata meleset apabila beliau berjaya mengekalkan pentadbiran PAS di Kelantan selama lima penggal berturut-turut.

Sepanjang pentadbirannya, Tuan Guru Nik Aziz membuktikan slogan “Membangun Bersama Islam” bukanlah satu retorik.

Langkah pertama dilaksanakan beliau adalah memindahkan akaun kerajaan negeri daripada bank konvensional kepada sistem perbankan Islam. Langkah yang mengejutkan ini membuka mata khalayak perbankan dan kewangan bahawa permintaan terhadap sistem kewangan dan perbankan yang bebas riba adalah satu kewajipan dan bukannya sekadar pilihan.

Beliau terus mara memperkenal Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) bagi membebaskan rakyat negeri itu daripada cengkaman sistem gadaian konvensional yang menindas dan memastikan kakitangan kerajaan negeri bebas daripada sistem pinjaman berasaskan riba.

Keprihatinannya terhadap nasib rakyat mendorong kerajaan negeri pimpinannya melaksanakan pelbagai program kebajikan antaranya Takaful Kafaalah, rumah Du’afa untuk penduduk miskin tegar, skim bantuan beras percuma al-It’aam yang bukan sahaja berperanan membantu penduduk miskin malah melonjakkan pasaran beras tempatan. Jasanya dalam memartabatkan wanita dalam pentadbiran dan politik negara tidak boleh dipertikaikan.

Pelbagai insentif diberikan kepada kakitangan wanita seperti cuti bersalin yang panjang, melarang wanita bekerja pada shift malam dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk wanita di tempat kerja mahupun di tempat awam-Editorial Harakah
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER