Headlines News :
Home » » Peluang ke Sukan Olimpik 2016 terbuka

Peluang ke Sukan Olimpik 2016 terbuka

Written By zabidi morad on Friday, 30 January 2015 | 11:38 pm

 PELUANG beraksi pada Sukan Olimpik 2016 bukan sahaja dilihat penting kepada pemain-pemain elit, malah jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek mengakui, dua pelapis kebangsaan, Soo Teck Zhi dan Tan Kian Meng juga mampu membuat kejutan untuk beraksi pada temasya berprestij itu.

Jelas Rashid, walaupun fokus diberikan kepada dua pemain utama negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren, namun kem badminton negara tidak pernah mengabaikan tumpuan mereka kepada pemain-pemain pelapis untuk mengejar ranking sekali gus layak beraksi pada temasya di Brazil itu.

“Saya percaya kalau pemain-pemain pelapis ini konsisten mara ke suku akhir atau separuh akhir mereka juga mampu memintas ranking dua pemain elit kita, Daren dan Wei Feng.

“Secara realistik memang nampak sukar kerana ramai lagi pemain negara lain yang setanding mereka tetapi ia tidak mustahil.

Kalau pemain-pemain elit tidak menunjukkan komitmen yang bagus dan prestasi mereka tidak meningkat, mungkin peluang ke Sukan Olimpik akan menjadi milik pemain-pemain pelapis,” kata Rashid

Dalam perkembangan lain, Rashid turut memuji prestasi yang dipamerkan Teck Zhi selepas juara Kejohanan Badminton Remaja Asia 2013 itu mara ke suku akhir sebelum tewas kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin pada Masters Malaysia 2015 di Kuching dua minggu lalu.
Bagaimanapun, apa yang membuatkan Rashid rasa terkilan ialah prestasi juara Siri Super Perancis 2012, Daren yang tidak menggunakan peluang beraksi pada kejohanan itu untuk meraih pencapaian yang lebih baik.

Rashid berkata, pemain berusia 27 tahun itu yang tewas pada suku akhir kepada pemain India, Ajay Jayaram sepatutnya meraih keputusan yang lebih baik dengan sekurang-kurangnya mara ke final.
“Saya memang tidak berpuas hati kerana dia boleh pergi lebih jauh, cuma mahu atau tidak mahu. Dia pernah menang kejohanan berstatus Siri Super kenapa selepas kejayaan itu prestasi dia tidak konsisten.

“Pencabar dia pada Siri Super Perancis jauh lebih baik berbanding di Kuching. Bagi saya mudah sahaja, usaha tidak cukup kalau dia mahu dia akan buat lebih baik,” tambah Rashid.

Wei Feng pula terpaksa mengharungi kejohanan itu walaupun mengalami kecederaan hamstring, namun dia tewas kepada bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia, Mohamad Arif Abdul Latif pada pusingan kedua kejohanan.

Kedua-dua pemain itu kemudian beraksi pada GP Emas Terbuka India minggu lalu, Wei Feng menarik diri pada aksi suku akhir ekoran kecederaan hamstring yang semakin serius, manakala Daren tewas kepada pemain India, RMV Gurusaidutt pada pusingan kedua kejohanan.

Rashid berkata, Wei Feng yang masih dalam proses pemulihan akan kembali mengikuti latihan pada minggu depan.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER