Headlines News :
Home » » Al-Quran sebagai sumber penawar, petunjuk hukum dan nasihat

Al-Quran sebagai sumber penawar, petunjuk hukum dan nasihat

Written By zabidi on Monday 26 January 2015 | January 26, 2015

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat 


MENGHORMATI ayat-ayat yang dibaca dengan merasa riang hati, serta berasa tenang dengan al-Quran, sudah pasti mereka tidak akan lalai. Andainya membaca al- Quran dengan tujuan tersebut maka tidak hairan sekiranya mereka mengulang- ulangi bacaannya. Dalam al-Quran terdapat perkara yang boleh menenangkan hati pembacanya yang susah resah serta gusar, terkilan dan berserabut fikiran.

Tiada penawar yang paling mujrab melainkan baca al-Quran.

Untuk mengubat hati yang gelisah rawan tidak perlu pergi ke pantai dengar bunyi alunan muzik ombak. Orang bukan Islam ajar manusia Islam menghibur hati dengan cara yang tidak Islamik itu. Bagi orang Islam hiburan yang paling berkesan dan mendamaikan ialah baca al-Quran. Bukan tidak boleh berhibur ke pantai dan tempattempat peranginan, itu adalah perkara harus.

Tetapi jangan sampai timbul perkara lain menyebabkan jiwa gelisah malam tidak tidur lena, tidak khusyuk solat kerana terlihat perkara yang ditegah oleh syarak. Apabila terdapat dalam al-Quran begitu banyak ayat yang boleh menghiburkan hati, orang Islam tidak perlu mencari ketenangan dengan benda lain.

Memadalah dengan al-Quran kerana ianya penawar hati yang sebenarnya jika memahami kandungannya, yang penting dengan melakukan “Tadabbur” ertinya memikir untuk mentadbir segala urusan hidup juga persoalan hati dan jiwa.

Umpamanya memikirkan keadaan ekonomi yang sempit, sedang masalah kehidupan begitu banyak dan pelbagai.

Yang dimaksudkan dengan mentadbir ialah apa saja persoalan kehidupan duniawi, tetapi yang penting ialah permasalahan kehidupan yang abadi di akhirat. Itulah yang dimaksudkan tadbir urus atau Tadabbur, datang buah fikiran sedemikian apabila membaca al-Quran.

Kerana dalam al-Quran terdapat ayat mengenai suruhan serta larangan, juga kisah keingkaran umat terdahulu serta pelbagai nasihat. Semua itu termuat penuh di dalam al-Quran menjelaskan apa yang sepatutnya dilakukan. Tadabbur berbeza dengan persoalan hadir hati (hudhurul qalbi) yang mengajak supaya tumpu pada al-Quran.

Kekadang terlalu tumpu ketika membaca al-Quran, hingga tidak fikir langsung manis pahitnya kehidupan duniawi, lantaran tumpu kepada bacaan al-Quran hingga tanpa tadabbur.

Sedangkan maksud dan fungsi al- Quran diturunkan oleh Allah SWT dari langit ialah untuk tadabbur, oleh itu sunat membacanya dengan tartil.

Kerana dengan tartil dari segi zahir membolehkan manusia memikir batinnya, justeru itu membaca dengan tenang dan tartil memberi peluang yang luas untuk berfikir dan memahami maksudnya.

Berkata Saiyidina Ali ibnu Abi Talib r.a. yang maksudnya: “Tiada kebajikan pada ibadah yang kita tidak mengerti dan tiada kebajikan pada bacaan al-Quran yang kita tidak memahami maksudnya.”

Oleh itu jika tidak dapat memahami maksudnya, kecuali dengan mengulangi bacaannya, maka ulangilah berapa kali hingga tercapai maksud sebenar, untuk memahami maksud ayat yang dibaca.

Seperti yang diriwayatkan mengenai Nabi s.a.w. dalam solat malamnya, baginda sentiasa mengulangi baca ayat yang sama dari tengah malam hingga cerah fajar, iaitu ayat yang bermaksud: “Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al- Maidah ayat 118).

Inilah rayuan dan ratapan Nabi Isa a.s. yang diulang sebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam solat malamnya, jika ditimpakan azab maka azab itu akan mengenai hamba Engkau sendiri (bukannya orang lain), jika Engkau maafkan mereka maka sememangnya Engkau Maha pemaaf, Tuhan Yang Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Nabi s.a.w. mengulangi bacaan ayat tersebut dalam solat malamnya, kerana terasa amat mengharukan mengulangi bacaan ayat yang sama tanpa bosan hingga menjelang fajar.

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang sahabat; ya Rasulullah kenapakah aku kalau membaca al-Quran terlalu gemar membaca Qulhu wallahu Ahad?”Lalu jawab Nabi s.a.w.: “Kasihnya engkau kepada surah Qulhu wallah ini boleh membawamu ke syurga. Kerana “Qulhu wallah” mengandungi sifat-sifat Allah SWT. Sabda Nabi s.a.w. jika membaca Qulhu wallah tiga kali, ia menyamai tiga kali khatam al-Quran.”

Di antara sifat Allah SWT yang terkandung dalam surah Al-Ikhlas ialah; “Dialah Allah Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya.” Iaitu dengan tujuan memahami al-Quran secara beransur-ansur, iaitu bahawa dia berusaha menjelaskan tiap ayat perkara yang layak dengan ayat itu.

Kerana al-Quran itu mengandungi sifat-sifat Allah SWT serta menyebut ciptaan-Nya yang sangat hebat. Mengkisahkan ehwal para nabi juga ehwal orang yang melawan dan mendustainya.
Mengkisahkan juga akibat kesudahan penentang para nabi dan mursalin, yang dibinasakan oleh Allah SWT.

Di samping menceritakan semua itu yang terpenting al-Quran menjelaskan segala suruhan dan larangan Allah SWT, untuk kesejahteraan hidup di dunia yang sementara.

Menyatakan nikmat syurga yang dikurniakan kepada golongan yang taat dan muttaqin, azab neraka yang dikhaskan untuk para penderhaka.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER