Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
Pembangunan teknologi angkasa sememangnya memerlukan perbelanjaan yang amat besar. Justeru, penglibatan dalam membangunkan teknologi berlaku amat perlahan namun berterusan.
Biarpun sudah bertukar perdana menteri, namun program angkasa tetap diteruskan menerusi pembinaan Pusat Angkasa Negara yang kini telah telah lengkap ke semua fasanya.
Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad, semua negara ingin menguasai angkasa kerana mereka akan dianggap berkuasa.
Sebab itu, perlumbaan ke angkasa lepas tidak pernah berhenti, malah semakin banyak negara ingin menghantar satelit dan angkasawan. Ini membuktikan mereka menguasai teknologi angkasa lepas.
Malaysia juga tidak ketinggalan mencari peluang meneroka angkasa lepas dan menerusi Program Angkasawan Negara (PAN) seorang angkasawan telah berjaya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007.
Dua buah satelit kerajaan juga telah dihantar ke angkasa lepas iaitu mikrosatelit pertama negara TiungSAT-1 pada 26 September 2000 dan RazakSAT pada 14 Julai 2009.
Pembinaan dua satelit tersebut dan bakal disusuli satelit ketiga tahun ini boleh dianggap lonjakan negara dalam industri angkasa lepas, sekali gus mengangkat martabat sains dan teknologi negara.
Misi Malaysia tersebut disusuli dengan pembangunan kemudahan yang diperlukan sejajar dengan pembinaan dan pelancaran satelit tersebut untuk manfaat jangka panjang.
Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang Banting, Selangor telah mula dibangunkan untuk kegunaan pemantauan RazakSAT.
Pembangunan pusat angkasa tersebut merangkumi tiga fasa.
Berkongsi cerita mengenai perkembangan pusat tersebut yang dibangunkan secara berperingkat, Dr. Noordin berkata, pusat tersebut kini telah siap sepenuhnya.
Fasa pertama pembangunan adalah pembinaan kemudahan untuk menerima segala data daripada satelit negara iaitu RazakSat iaitu Stesen Bumi.
Kedua adalah membina sebuah makmal yang dikenali sebagai Makmal Kalibrasi Optik.
Makmal tersebut berfungsi sebagai sebuah pusat untuk mengkalibrasi kamera yang diletakkan pada satelit sebelum ia di hantar ke angkasa," katanya ketika ditemui di pusat tersebut baru-baru ini.
Jelas Dr. Noordin, makmal tersebut telah disiapkan pada tahun 2006 dan merupakan makmal pertama seumpamanya yang memiliki kebolehan kalibrasi sistem optikal pada satelit.
Berfungsi sepenuhnya pada 6 April 2006, iaitu tiga bulan setelah ia disiapkan, makmal itu memiliki sebuah bilik bersih, bilik kawalan habuk, bilik kawalan, kawasan pemunggahan dan pejabat setinggi dua tingkat.
Setelah kejayaan demi kejayaan ditempa oleh negara dalam program angkasawan, pusat tersebut dikembangkan lagi dengan membina kemudahan fasa kedua dan ketiga.
Fasa seterusnya atau yang ketiga adalah pembinaan Pusat Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AITC).
AITC yang berfungsi sebagai pusat pemasangan dan pengujian satelit sebelum ia dilancarkan ke ruang angkasa.
Antara ujian yang dilakukan terhadap satelit di AITC adalah ujian goncangan pada skala yang tinggi.
Seperti yang kita maklum, penggunaan roket untuk melancarkan satelit ke angkasa akan menyebabkan gegaran yang kuat dan dikhuatiri terdapat komponen satelit akan tertanggal seterusnya menyebabkan satelit gagal berfungsi," katanya.
Katanya, ujian tersebut akan dilakukan pada satelit mengikut skala gegaran yang sama ketika roket sebenar dilancarkan membolehkan jurutera mengetahui tahap ketahanan komponen yang dipasang.
Bahkan, jika terdapat skru kecil yang tertanggal juga kadang kala akan menjejaskan fungsi satelit. Ini harus dielakkan kerana untuk membina dan menghantar sebuah satelit ke angkasa memerlukan kos yang begitu tinggi.
Jika komponen-komponen pada satelit tidak berfungsi maka ia tidak lagi berguna dan hanya membazirkan perbelanjaan yang dikeluarkan," katanya.
Pembinaan disiapkan pada tahun 2011 dan AITC menyediakan pelbagai ujian lain yang boleh dilakukan ke atas satelit.
Malah pusat itu menurut Dr. Nordin, turut menawarkan perkhidmatan ujian yang sama kepada pihak industri yang terlibat dalam bidang teknologi angkasa mahupun luar bidang tersebut.
Kita kini tidak mengehadkan penggunaan AITC ini untuk ujian satelit negara sahaja. Sesiapa juga yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ujian tersebut boleh berbuat demikian," katanya.
Antara ujian yang ditawarkan adalah ujian getaran, ujian bunyi, ujian suhu, ujian tekanan udara dan pelbagai lagi.
Jelas Dr. Noordin, kemudahan tersebut adalah yang pertama seumpamanya rantau Asia Tenggara dan perkhidmatan itu kini dibuka kepada umum sama ada pihak dalam negara mahupun luar negara.
Pihaknya juga turut membuka peluang kepada pihak industri untuk mengadakan lawatan bagi melihat sendiri perkhidmatan yang ditawarkan di AIT dan kemudahan yang lain.
Sementara itu sebuah lagi pusat seumpamanya dijangka dibangunkan di Tuaran Sabah dalam tempoh terdekat.
Misi angkat martabat
Written By zabidi on Sunday, 7 September 2014 | September 07, 2014
Labels:
Rencana
Post a Comment