Headlines News :
Home » » Tengku Abdullah tinggalkan MHC

Tengku Abdullah tinggalkan MHC

Written By zabidi on Tuesday 19 August 2014 | August 19, 2014

KUALA LUMPUR - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan mengejut semalam apabila mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu Oktober ini.

Beliau yang turut dicalonkan untuk jawatan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF) bagaimanapun menafikan keputusannya itu dibuat kerana kecewa dengan prestasi kurang meyakinkan skuad hoki kebangsaan kebelakangan ini.

Menurut Tengku Abdullah, beliau mahu memberikan laluan buat individu lain menyandang jawatan No.1 MHC itu pada penggal akan datang selepas menyandangnya untuk tempoh dua penggal sebagai presiden.

"Saya sudah terlalu lama menyandang jawatan ini malah saya juga amat puas hati dengan pencapaian hoki sepanjang berada di bawah pimpinan saya, kini sudah tiba masa untuk saya mengosongkan posisi Presiden MHC pada AGM akan datang kerana ini adalah sebahagian daripada perancangan saya.

"Setakat ini saya belum mendapat gambaran siapa calon sesuai untuk menyandang jawatan Presiden MHC dan kalau boleh biarlah orang itu mempunyai jiwa yang besar dalam sukan hoki selain mempunyai kewangan kukuh," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi MHC di sini semalam.

Tengku Abdullah yang dipilih memegang kerusi panas tersebut daripada Tan Sri Anwar Mohamed Nor pada 2008 berjaya menguruskan badan induk sukan hoki tersebut dengan baik sepanjang berada di bawah pimpinannya.

Malah Tengku Abdullah turut diberikan kepercayaan menerajui MHC pada penggal 2010-2014 selepas menang tanpa bertanding.

Antara pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Tengku Abdullah dalam MHC ialah menggabungkan hoki lelaki dan wanita di bawah satu bumbung pada 2012.

Sementara itu, ditanya berhubung statusnya yang dicalonkan untuk jawatan Presiden AHF, Tengku Abdullah hanya memberitahu semuanya terserah atas sokongan ahli ke atasnya.

"Jika mereka memilih saya, saya akan membantu dan saya tiada apa-apa makluman terkini berhubung pemilihan tersebut.

"Sekiranya saya tiada dalam MHC saya masih boleh membantu jika diperlukan," kata Tengku Abdullah.

Tengku Abdullah dianggap calon paling popular untuk mengisi kerusi Presiden AHF, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Keputusan mengenai pemenang jawatan presiden AHF akan diumumkan dalam kongresnya yang dijadual berlangsung 31 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER