Headlines News :
Home » » Perbaharui iman, dekati Allah

Perbaharui iman, dekati Allah

Written By zabidi morad on Sunday, 17 August 2014 | 3:34 pm

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

KEMULIAAN seseorang berkait rapat dengan kesungguhannya dalam menambah dan meningkatkan
iman. Ingatlah perkara paling berpotensi untuk menambah dan menguatkan iman adalah melalui ‘ilmu’, kemudian amal salih dan zikrullah. Iman ada pasang surutnya, sekejap meningkat naik dan pada masa yang lain pula merundum jatuh, ketika ia jatuh, ia boleh memusnahkan diri manusia kerana pada ketika itu yang menguasainya adalah nafsu, bukannya iman.

Maka tiap kali seorang hamba menambah ilmu dan amal salihnya bererti dia sedang memperbaharui imannya dan inilah yang dimaksud oleh hadis Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu, baginda ditanya: “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami, beliau menjawab: “Perbanyakkanlah mengucapkan kalimat laa Ilaha Illallah.” (riwayat Ahmad: 8944 dan Al Hakim: 7766)

Memperbaharui iman sangat penting bagi setiap Muslim, apalagi para aktivis dakwah dan para mujahid fisabilillah.

Sebabnya ialah kesibukan dengan tugas harian, sering kali didapati kesibukan dalam menjalankan tugas-tugas dakwah, ditambah lagi kesibukan mencari nafkah atau mengurus rumah tangga, para aktivis dakwah dan mujahid tidak sempat untuk mengurus hatinya yang terkadang-kadang melekat padanya warna hitam yang terpalit dosa yang tidak disedarinya.

Ramadan yang dilalui sebulan lalu, penuh dengan tarbiyah dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT, mengapa tidak, Ramadan sinonim dengan tadarus al-Quran, solat tarawih, berqiyamullail, ada Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, zakat dan seumpamanya, semua itu adalah amalan yang boleh menaikkan iman sekali gus mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Justeru Rasulullah mengingatkan kita dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan suatu dosa terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu.

Dan apabila dia terus melakukan dosa bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah di dalam kitabnya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan telah menutup hati mereka.” (Surah al- Mutaffifin ayat 14). (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Ghazali pernah berkata, bahawa hati (kalbu) itu ibarat cermin. Ketika seseorang melakukan dosa/maksiat, maka ada satu titik hitam menodai kalbunya. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik itu menutupi kalbunya. Jika sudah tertutup dengan banyak titik hitam, kalbu yang ibarat cermin itu tidak mampu lagi digunakan untuk bercermin; dengan demikian, kepekaan spiritual yang biasa dilakukannya, akan lenyap daripada dirinya.

Jika sudah seperti itu, jangankan dosa kecil, apalagi sekadar berbuat makruh dan melakukan banyak hal mubah yang melalaikan, dosa besar sekalipun tidak lagi dianggap besar. Jangankan meninggalkan hal sunnah, meninggalkan kewajipan pun sudah dianggap perkara biasa. Akhirnya, kepekaan kalbunya akan hilang; tidak lagi mampu mengenali dosa, apalagi dosa yang dianggap kecil.

Arahan baginda s.a.w. untuk memperbaharui iman bertujuan mengikat kalbu dan hati manusia kepada Allah, Tuhan Yang Mencipta alam ini dan segala yang ada di antara langit dan bumi, terutama golongan pendakwah, motivator, ustaz, pensyarah, pemerintah dan apa sahaja namanya, kesemua mereka dituntut untuk sentiasa memperbaharui iman.

Kenapa perlu perbaharui iman?





 Justeru baginda s.a.w. ada menegaskan dalam satu hadisnya yang mafhumnya kita boleh fahami, bahawa berpagi-pagi seseorang Muslim itu sebagai seorang Muslim, dan ketika berpetangpetang dia menjadi kafir. Begitulah sebaliknya, ini menunjukkan bahawa seseorang Muslim itu tanpa disedari melakukan kesalahan yang melibatkan persoalan agama.


Sebagai contoh, pada waktu pagi bersolat subuh, tengah hari di pejabat menerima sogokan atau rasuah daripada seseorang untuk mengeluarkan lesen dan sebagainya.

Mari kita renung persoalan iman dan amalan yang dilakukan oleh para ahli ibadat, tidak akan meningkat mutunya jika tidak disandarkan kepada kefahaman mendalam mengenai ilmu-ilmu fardu ‘ain, malah seseorang itu perlu mengetahui sedalamdalamnya maksud dan tujuan beribadat kepada Allah SWT, ia tidak lain agar hati-hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan-Nya.

Berikut adalah antara pendekatan agama yang menjadi kemestian untuk diketahui, direnungi dan seterusnya diamalkan sebagai satu cara hidup beribadat kepada Allah:

1. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa Allah SWT amat gembira kepada hamba- Nya yang sentiasa memohon dan berhubung dengan-Nya.

2. Setiap Muslim juga perlu mengetahui, bahawa segala apa yang menimpa diri adalah hasil daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan. Hal ini telah diperingatkan Allah menerusi ayat 79 surah an-Nisaa yang bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu adalah kesalahan diri kamu sendiri.”

3. Semestinya setiap Muslim tidak terlibat dalam dosa-dosa besar dan kecil yang berterusan, kerana ia boleh menjadikan seseorang itu jauh daripada rahmat Allah dan sentiasa berwaspada dalam hubungan akidahnya dengan Allah.

4. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa dosadosa yang dilakukan itu mempunyai banyak rangkaian yang menjurus ke arah neraka, justeru perlu dia menjaga hati, roh dan meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan mampu menyelamatkannya dari mememasuki api neraka.
Sehubungan ini, Allah SWT menjelaskan dalam ayat 81 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Sebenarnya, sesiapa melakukan dosa dan dia telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka dan kekal di dalamnya.”

5. Perlu setiap daripada kita mengetahui, bahawa kita sebagai manusia, sentiasa terdedah kepada dosa dan maksiat. Ini membuktikan kelemahan diri kita dan sekali gus membuktikan keagungan Allah, justeru kewaspadaan adalah senjata paling utama dalam menangkis segala kekurangan dari sifat-sifat mazmumah.

6. Dalam menjalani proses kehidupan sebagai Muslim, kita berada antara dua keadaan, sama ada roh kita akan maju atau sebaliknya, perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddathir yang bermaksud: “Iaitu bagi siapa yang ingin maju dengan peringatan atau mundur dengan menolak peringatan.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER