Headlines News :
Home » » Malaysia perlu bangunkan satelit

Malaysia perlu bangunkan satelit

Written By zabidi on Tuesday 6 May 2014 | May 06, 2014

Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 12,000 satelit yang aktif di ruang angkasa ketika ini manakala
puluhan ribu serpihan bersaiz lima sentimeter (sm) dan ke atas yang berpunca daripada satelit yang tamat tempoh dan pelancar sejak puluhan tahun yang lalu.
Fungsi dan satelit adalah pelbagai bergantung kepada misinya di angkasa lepas tetapi secara umumnya teknologi tersebut boleh menjadi pemantau yang berguna bila bila masa terutama dalam keperluan mendesak.

Malah ada yang menganggap memiliki satelit sebagai satu kebanggaan dan maruah negara.
Jelas dan nyata Malaysia sebenarnya memerlukan satelit dan terlibat secara aktif dalam industri aeroangkasa. Industri tersebut terbahagi kepada dua iaiu aeronautik dan juga astronautik.
Bidang aeronautik merujuk kepada penerbangan yang berkisar sekitar bumi seperti pesawat dan kenderaan tanpa pemandu (UAV) manakala astronautik merujuk teknologi stesen angkasa antarabangsa (ISS), roket dan satelit.
Berdasarkan kepada maksud yang disebutkan, nyata Malaysia sudah terlibat dalam teknologi aeroangkasa termasuk astronautik kerana pernah memiliki dan membangunkan dua satelit sebelum ini iaitu TiungSat-1 dan RazakSAT.
“Kita memang perlukan satelit, dan rasanya kita tidak boleh hidup tanpa satelit," kata Prof. Dr. Renuganth Varatharajoo, seorang pakar tempatan dalam bidang satelit.
Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagaimanapun mengakui pembangunan teknologi satelit bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kos tinggi, kepakaran yang ramai dan masa yang panjang.
Beliau memberi contoh, pembangunan satu satu sistem dalam satelit sahaja boleh mengambil masa 10 tahun dan memerlukan kos serta ramai pakar. Dengan mengambil contoh pembangunan sistem bateri pada satelit bukan mudah disempurnakan kerana sebagai sebuah objek yang akan berfungsi di angkasa dan tidak boleh diselenggarakan dari bumi jika berlaku masalah, pembangunan sistem bateri sahaja perlu mengambil kira ketahanannya sehingga tempoh hayatnya habis.
Malah, beliau berkongsi isu yang sama yang pernah berlaku di Negara Kesatuan Soviet ketika berakhirnya Perang Dunia Kedua, sebanyak 4,000 pakar peringkat kedoktoran dipanggil hanya untuk membangunkan enjin roket ketika itu menggambarkan bukan mudah membangunkan hanya satu dalam sistem mana-mana cabang dalam aeroangkasa.
Sistem atau subsistem dalam satelit adalah pelbagai antaranya bateri, kawalan misi komunikasi, pemantauan haba satu sistem komputer dan sistem elektrik.
Menurut beliau lagi, satelit terbahagi kepada dua bahagian itu payload atau beban bayar dan juga platform, platform ibarat badan yang membawa beban bayar yang menjadi penentu misi sesebuah satelit.
“Nadi sebuah satelit ialah platform yang boleh menerima beberapa jenis beban bayar," katanya sambil menjelaskan bahawa beban bayar adalah misi sebuah satelit seperti pemantauan, komunikasi, penyelidikan atau juga aplikasi lain termasuk memantau planet.
Pembangunan satelit juga perlu seiring dengan kelengkapan Stesen Penerima Bumi yang mana ketika ini kerajaan telah membangunkan Pusat Angkasa Negara di Sungai Lang, Banting Selangor dan Stesen Penerima Bumi Temerloh milik Agensi Remote Sensing Malaysia.
Pada masa sama beberapa stesen bumi milik swasta untuk satelit komunikasi serta yang digunakan di institusi pengajian tinggi (IPT). Dalam konteks pembangunan satelit, stesen penerima bumi ini dikenali sebagai segmen bumi
Mengenai misi satelit, beliau memberi contoh, satelit pemantau atau penderia bumi mungkin membawa peralatan dalam bentuk kamera dan, radar.
Bagi muka bumi dan persekitaran atmosfera seperti Malaysia, radar sangat berguna bagi merakam imej yang sering terlindung kerana awan tebal.
Satelit jenis itu kata Renuganth, perlu dalam aspek pengurusan bencana, mengurus aset, pemantau perairan dan hutan serta perisikan manakala satelit komunikasi sangat berguna untuk kegunaan agensi keselamatan negara.
Ciri-ciri sebuah satelit pula kata beliau ialah boleh diterbangkan, mengorbit dan membuat navigasi penerbangan manakala saiz adalah pelbagai bergantung kepada misinya di angkasa lepas.
Oleh itu adalah jelas bahawa Malaysia memerlukan kedua-dua jenis satelit tersebut ketika ini sesuai dengan keperluan semasa.
“Tetapi suka saya sebutkan kegagalan dalam bidang angkasa bukan satu pilihan," tegasnya.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER