Headlines News :
Home » » Kepentingan industri satelit

Kepentingan industri satelit

Written By zabidi on Tuesday 6 May 2014 | May 06, 2014

Kehilangan pesawat MH370 merupakan satu tragedi kepada negara. Tetapi pada masa sama ia turut

membantu meningkat kesedaran orang ramai mengenai kepentingan teknologi satelit.
Ekoran tragedi yang puncanya masih lagi misteri itu, rakyat negara ini telah didedahkan dengan pelbagai istilah komunikasi, radar dan satelit tanpa mengetahui apakah sebenarnya teknologi berkenaan.

Apakah teknologi satelit dan misinya? Satelit mempupunyai pelbagai kegunaan. Antaranya penyelidikan saintifik, pencerapan bumi menggunakan satelit penderiaan jauh atau remote sensing, pemantauan ketenteraan, komunikasi dan perhubungan serta navigasi.
Pembinaan sesebuah satelit bergantung kepada dua faktor utama iaitu misi satelit tersebut dan orbit iaitu di mana kedudukan satelit itu ketika beroperasi di angkasa.
Secara umum semua satelit mempunyai subsistem asas yang sama. Komponen-komponennya adalah sub-sistem satelit dan payload atau beban bayar.
Subsistem satelit terdiri daripada sistem struktur, sistem kuasa, sistem kawalan haba, sistem penentuan sikap dan sistem kawalan (ADCS), sistem telemetri, tele-arahan dan kawalan (TT&C), sistem pengurusan data di pesawat (OBDH) dan sistem pendorongan.
Beban berbayar pula merujuk kepada perkakasan yang digunakan untuk tujuan tertentu. Inilah yang menentukan misi satelit tersebut.
Contoh paling mudah bagi satelit komunikasi, beban berbayar membolehkan satelit tersebut berkomunikasi dengan stesen Bumi atau peralatan komunikasi lain di Bumi.
Beban berbayarnya terdiri daripada antena dan beberapa pengulang yang hampir sama dengan pengulang radio gelombang mikro yang digunakan di Bumi.
Bagi satelit remote sensing pula, beban berbayarnya adalah sistem kamera yang dipasang untuk merakam maklumat yang merupakan pantulan tenaga daripada objek-objek di permukaan Bumi.
Sistem penderiannya terdiri daripada penderia optik, hampir infra merah, infra merah dan gelombang radar yang merakam tenaga dalam panjang gelombang bahagian nampak, infra merah dan gelombang mikro.
Untuk sub-sistem struktur, ia memberikan sokongan mekanikal kepada semua subsistem yang terdapat dalam satelit.
Kebiasaannya, struktur satelit diperbuat daripada kerangka yang kukuh daripada bahan yang bersesuaian di angkasa lepas.
Bahan yang lazim digunakan ialah aluminium tertentu dan ia boleh menampung kesemua beban sub-sistem dan beban bayar serta boleh menahan getaran pelancar yang amat tinggi hingga melebihi 10g semasa pelancaran roket.
Kerangka tersebut akan disambung dengan panel-panel indung madu (honeycomb) yang kuat dan ringan yang mana indung madu terlapik antara dua lapisan aluminium selari.
Satelit yang besar secara umumnya mempunyai struktur utama yang terdiri daripada tiub dan struktur-struktur lain dipasang di sekeliling tiub tersebut.
Untuk sub-sistem kuasa, kebanyakan sistem kuasa untuk sebuah satelit dihasilkan daripada cahaya matahari menggunakan sel suria (photovoltaic) dan kuasa elektrik juga disimpan dalam bateri untuk digunakan semasa satelit berada dalam bayangan Bumi.
Sistem kuasa bersel suria disesuaikan untuk penggunaan subsistem-subsistem lain dalam satelit.
Bagi satelit yang distabilkan secara 3-paksi, sel suria dipasangkan pada panel yang besar dan dikeluarkan (deploy) selepas ia berpisah dengan kenderaan pelancar.
Untuk satelit yang distabilkan secara putaran, sel suria dipasangkan pada badan satelit itu sendiri.
Untuk sub-sistem kawalan haba, ia terdiri daripada penyalutan haba dan selimut penebat yang digunakan untuk mengekalkan satelit dalam julat suhu pengoperasian yang sesuai.
Malaysia pernah memiliki dua sateliti sebelum ini iaitu TiungSAT-1 dan RazakSAT yang kedua-duanya telah tamat tempoh hayatnya.
Bagaimanapun menurut Astronautic Technology Sdn Bhd. (ATSB), Malaysia kini dalam rangka memiliki satelit baharu dalam tempoh dua tahun akan datang jika semua yang dirancangkan berjalan lancar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad, program pembangunan pengganti RazakSAT iaitu RazakSAT-2 akan dimulakan pada pertengahan tahun ini.
“Pelancaran satelit RazakSAT-2 ini dijangka pada tahun 2016 dan kami sedang menunggu perincian program bagi memastikan negara mendapat manfaat sepenuhnya.
“Satelit ini akan mempunyai keupayaan yang lebih tinggi, malah akan meletakkan keupayaan Malaysia setanding negara negara yang lain," katanya.
Beliau berkata, satelit yang menggantikan RazakSAT akan mempunyai teknologi pengimejan resolusi tinggi dan akan menghasilkan imej-imej beresolusi satu meter.
ATSB kata beliau, telah mengesyorkan kepada kerajaan untuk membangunkan satelit resolusi tinggi yang mempunyai potensi penggunaan menjadikannya berfungsi seperti satelit komersial dengan penghasilan imej berkualiti tinggi.
Sistem satelit yang disyorkan ATSB juga mempunyai warisan teknologi yang amat baik dengan reliabiliti yang tinggi.
Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko pembangunan satelit dan memastikan ATSB dapat menghasilkan satelit untuk kegunaan pelbagai agensi dan aplikasi.
Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, kerajaan telah meluluskan projek RazakSAT-2 pada penghujung tahun 2010 iaitu sejurus selepas tamat hayat RazakSAT.
Walau bagaimanapun, kelewatan pelaksanaan projek ini berpunca daripada proses pemilihan rakan teknologi dan perubahan spesifikasi teknikal.
Ketika ini ada ura-ura mengatakan Malaysia mempunyai dua pilihan sama ada syarikat Korea atau Perancis yang akan dipilih bekerjasama dengan ATSB untuk pembangunan satelit seterusnya itu.
ATSB katanya, sebagai syarikat milik kerajaan dan mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi satelit secara komprehensif sentiasa memastikan satelit yang dibina nanti mengikut jadual perlaksanaannya untuk manfaat pengguna data satelit.
Oleh itu pelbagai program penyelidikan dan pembangunan diteruskan bagi memastikan jurutera ATSB memiliki tahap professional yang sentiasa di tahap terbaik.
Menurut Ahmad Sabirin membangunkan teknologi satelit meskipun memerlukan pelaburan besar dan berisiko tetapi tidak boleh dianggap membazir.
“Semua negara maju mempunyai program satelit mereka yang tersendiri. (Oleh itu) membangunkan dan memiliki teknologi satelit merupakan satu langkah yang perlu untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.
Malah katanya, teknologi angkasa merupakan teknologi larangan yang dirangkumkan di bawah akta-akta seperti Missile Technology Control Regime (MTCR) dan International Traffic in Arms Regulation (ITAR) oleh negara-negara barat.
JIka tidak ada usaha untuk membangunkan industri satelit sendiri, Malaysia tidak mudah mendapat akses kepada teknologi canggih negara maju dan selamanya tidak akan berupaya menghasilkan teknologi terkini untuk pelbagai sektor industri.
ATSB berharap satelit yang akan dibangunkan nanti menjadi satu alat untuk membuat keputusan (tools for decision making) di samping menyumbang dalam pembangunan dan penyelidikan yang berkaitan teknologi satelit.
Pembangunan TiungSat-1 hasil kerjasama yang terjalin dengan Surrey Satellite Technology Limited (SSTL) mnakala
RazakSAT dibangunkan oleh ATSB dengan kerjasama syarikat SATrec-i dari Korea Selatan.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER