Debu asing
Written By zabidi on Wednesday, 14 May 2014 | May 14, 2014
keheningan diri. Tanah yang meruapkan debu asing, mengubahkan landskap pandangan juga termakhfi. Diri rasa terkandas. Terkurung. Tersingkir. Terbungkam. Tercekik.
Bagaimana di musim baharu ini, tanya Alora. Sedangkan diri keraguan dengan jawapan yang mahu diujarkan. Restoran kian penuh, hampir semua yang berkunjung memesan minuman berais. Kelapa berais. ABC. Malah bergelas-gelas.
Apa yang mahu dibicarakan kepada pensyarah itu; tahun-tahun sebelum adalah keberhutangan rencana yang belum tertunai. Urusan baharu pula menyesak ke ruang minda. Masih merasakan kegugupan peribadi yang bukan kepalang aruk dan geloranya. Kita bukan di Jakarta atau di Venezuela, bergulat dan bergelut dengan kebebasan manusiawi itu sendiri. Dia teringatkan nota-nota di bilik kerja yang belum dapat disusun, setelah lebih setahun mengerjakan terjemahan.
Oh, sedang sibuk buat terjemahan! Alora mempunyai gaya yang tersendiri. Pertemuan kami ghalibnya berlaku apabila adanya faktor tertentu. Sebelum ini, dia mengetengahkan subjek poligami dan penindasan kaum wanita. Klise, kata saya. Dengan senang, dia beralih ke subjek lain, tentang subjek ekonomi yang begitu sepi bagi diri. Diri berkongsi apa yang boleh dikongsikan, sekurang-kurangnya untuk memancing pandangan Alora. Dia menyatakan isu ini berterusan, cuma berviarasi keadaannya. Ya, kata diri - ekonomi masalah semua dan di mana-mana. Di tengah-tengah kehangatan hari yang tidak terbayangkan itu, dengan tiba-tiba dia berundur ke belakang, lalu menegaskan bahawa dia tidak membantah poligami, tetapi dia tidak mampu untuk melihat dalam sepuluh, sembilannya penganiyaan.
Memang Alora suka bangkitkan kontroversi, bersifat mencabar status quo dan kadang-kadang menzahirkan pendirian sebagai partisan sesuatu aliran. Gemar melihat dari pandangan yang lain, mengalihkan parameter yang ada kepada fakta-fakta pinggiran. Dan kebiasaannya, dia terus mempertahankan dan mengikat kembali kesimpulan yang dibuat dari awal.
Agak panas sekarang ini, apakah ini tengkujuh? Tanyanya pada diri secara separuh menguji. Semalam kata diri, lebih lagi bahangnya - itulah yang dirasakan ketika menghabiskan masa petang kelmarin di pantai Teluk Batik. Dipecutkan keretanya dari tempat kerja ke pantai yang mulai membuka diri kepadanya.
Diri terpaksa meluahkan kepada Alora yang bermuka muram itu (mungkin masih banyak perkara yang belum diperjelas). Soal manusia dan kebebasan yang dipacu dengan laju. Alora menunggu kata-kata. Sedikit ragu. Diri seboleh-bolehnya mahu keluar daripada laluan itu. Laluan-laluan yang mendesak pendirian, wawasan dan harapan dan bayangan yang penuh dengan retorika muluk-muluk. Bunyinya agak terdesak, celah Alora.
Saya terus menyatakan, bahawa dia tidak mampu berada dalam arus yang sama, dalam lingkaran yang sama, dan dalam pecutan kepada sasaran yang sama - maksud saya apa-apa yang mewakili pendirian yang saya pegang sekarang ini. Dengan bahasa yang agak emosional, saya analogikan diri ini hanya debu yang asing. Debu yang kian tersasar dari maya pada ini. Panas di luar kian dirasakan menyusup ke dalam, meruap dan menusuk dengan segala jarum asap dan bahangnya.
Semakin diri mengukuhkan sebab. Dinyatakan bahawa ketidakadilan yang dianggap, kebiasaan atau kelaziman - sekarang langsung diri tidak dapat diterimanya. Tiada lagi pilihan. Ini suatu proses pemujaan yang secara tidak langsung dilakukan.
"Bagaimana mungkin engkau dapat mempertahan keadaan dan mangkinanmu ini. Sedang orang lain mampu bertahan, dua puluh tahun ke tiga puluh tahun," tegas Alora.
Itu orang lain, bukan kepedulianku. Aku berbeza. Aku mahu berlepas ikatan yang membelenggu wujudku. Soal bertahan atau tidak bukan ukuran keperibadian. Sejak bila pula angka panjang atau pendek menjadi subjek diskusi. Tenang, tenang. Engkau perlukan masa untuk berfikir. Kata Alora. Lihat semula sejarah diri yang engkau lalui. Ternyata engkau akan diam, akur beberapa perkara. Dan menyatakan, mereka sebahagian daripada proses sejarah dirimu.
Bukan sebegitu aliran logikanya. Tunggu, tegas diri.
Tanpa mengikuti kata dan resmi manusia, engkau tidak mampu mengendali rengkuh dirimu. Alora menekan suaranya.
Ditanyakan kepada Alora, wajibkah untuk bertaklid. Taklid, dia tersentak. Sekarang kita permudahkan bahas ini, begini antara ijtihad dan taklid - itu suatu perlawanan. Perlawanan apa , tanya Alora.
Perlawanan tradisi pemikiran manusiawi. Begitulah senang diistilahkan diri. Bayangkan sekiranya taklid yang bermaksud mengikut, akan terus menekan kewujudan - mungkin di antara cermin-cermin yang dapat direnungi - didapati berbondong imej-imej manusia yang terkurung. Sejak zaman berzaman, sudah terbentang nama-nama yang bertaklid ini dan tiada percapaian yang dapat dibanggakan daripada ikut-ikutan ini. Jiwa yang merdeka tidak pernah tenang. Jiwa hamba mungkin segera selesa, namun tetap mencetuskan perlawanan dari dalam. Diakhiri dengan penyelesaian yang tidak memberangsangkan.
Nah, jika dilihat sudut ijtihad pula, memang kita jauh dibuai rasa selamat dan aman. Dalam keadaan serba-serbi berpacukan ancaman, kita lupa bahawa khazanah yang ada sudah tumpul, lansung tanpa sebarang kebanggaan. Nilai intelektual ditenggelamkan, nilai materialis dipungut dijadikan adiwira.
Sekatan pandangan, sekatan mendalami nas atau realiti (namun bukan mempertikai nas atau teks agama yang mengheret seseorang kepada masalah yang dia sendiri tidak menjangka, lantaran teks agama mempunyai kualiti yang berbeza daripada teks manusia dan apakah setiap manusia atau setiap pemikir mempunyai kualiti untuk menilai, membaca dan menafsir teks agama ).
Maka yang terlalu mendesak sekarang adalah serangan akal fikiran yang tidak terkawal yang terus menyebabkannya lumpuh. Sehingga hadirlah penyakit kecurigaan, ketamakkan, kelupaan, rasa lemah diri, rasa bangga diri yang berlebihan dan individualistik. Bagaimana bayang-bayang ini menjadi drama ngeri bagi zaman kita, tanya Alora lagi dengan sedikit prihatin.
Sesungguhnya aku kian bosan dan terpinggir dengan kemampuanku ini. Menjadi manusia memang senang, jika mahu dipenuhi hayat atau tenggoroknya dengan makan dan minum - namun jika dia mengalihkan peranannnya melihat kerangka khalifah Allah, yang sudah tentu melontar kita ke suatu ruang yang lain. Tulang-tulang ini adakah hanya untuk satu pergerakan. Jalan-jalan yang ada, adakah disediakan untuk lurus belaka. Tentunya engkau tidak mahu mendengar syarahan panjang tentang itu.
Musim panas ada hikmahnya yang tersendiri. Debu-debu akan cepat naik merupa ke atas, diapungkan udara yang panas dan berbahang. Lalu dilepaskan segala kemungkinan dan mencipta kemustahilan.
Kemustahilan, itu hanya duga fikir dan igaumu semata. Namun aku perlukannya untuk mencari ketulenanku sendiri. Ketulenan dirimu, tidak hanya sejasad lelaki.
Arora kebinggungan. Dia terperangkap dalam bulatan yang logika yang dicipta pihak pertama tadi. Pihak yang memegang idealisme kebetulan dan kepura-puraan.
Kita tahu, dengan hanya mendiami di batas yang sama - apakah mungkin kita melihat kejauhan sempadan. Sesuatu yang di luar dari lingkaran. Yang kita temui hanyalah nihilisme.
Kekudusan sebuah pandangan. Ketulusan sebuah wawasan. Kekultusan sebuah diri, malah. Ya memang, selama ini kita hanya percaya dan menyenangi apa yang ada, apa yang pasti. Namun sudah berapa lama kita kehilangan wajah kita. Kita hilang kepadatan diri. Kita kelupusan wacana diri.
Dia nanar dengan dirinya, kerana tidak mampu berkata-kata apa. Tidak punya autoriti kepada diri.
Tidak punya suara nan tulen daripada diri. Tidak ada kebebasan seperti yang dilakar dalam hak asasi manusia. Semuanya hanya dipersembahkan dalam lakon layar. Diucapkan dalam konti radio, oleh seorang DJ berwibawa - penuh dengan kekakuan, tiada keakuan.
Dicarinya mungkin keakuan. Apakah itu keakuan, tanya Arora.
Dia sendiri tidak pasti, namun dia cuba memperincikan sendiri, keakuan adalah kedirian dan kemaknaan pada sesuatu aksi. Engkau pasti dirimu sekarang ini punya keakuan dalam aksimu.
Alora berteleku pula. Mengeleng-geleng. Letih.
Ok, kita tengok diri kita. Apakah kita cukup menyenangi, keadaan diri yang sangat murah hati. Memang kita ini orang yang cukup serba-serbi. Akan tetapi bukan semua yang kecukupan ini ini bebas pandangannya. Cerah renungannya.
Berapa yang terteleku dalam kabut samar dirinya. Dia punya kecukupan materi, tetapi bundar segala kepada kesenangan.
Tulang-tulangnya bersandar pada hidup yang nyata melandai dirinya pada padang yang selesa. Tidak perlu gerakkan tulang punggung atau bangkit demi sebuah maknawi.
Sudah lama kita bercakap ingin berubah. Sebetulnya kita tidak berubah, kita masih di takuk yang sama. Yang disebut berubah itu hanya retorika dan bombastika.
Sebenarnya kita banyak bertangguh. Kita hanya cipta sebuah ruang sekatan. Kita hanya biarkan diri dalam kekarutan kata-kata sendiri.
Ibarat seseorang yang termanggu dalam cermin, menatap takdir yang tidak dapat digulingkan. Kekecewaan yang sulit dan memperdalam sejarah yang sudah sedia pahit.
Arora kata, berbicara dengan hanya menjadikan aku berdiri di tepi cerun atau juram.
Alora diam seperti batu nisan.
Mengapa harus bersembunyi keghairahan ini. Untuk berfikir kita perlu membayar harga, memang itulah lumrahnya. Tetapi bukan untuk memudaratkan sesiapa. Tetapi memandirikan diri. Membina dan menjulang sebuah kewujudan diri.
Selama mana kita mahu terjajah dalam dirinya kita sendiri. Memang tanah dan segala yang luar ini, kita punyai. Namun bukankah kita hanya punyai dari segi literalnya sahaja. segala-gala bakal dipulangkan kepada Dia. Tetapi Sang Dialah sumber kewujudan kita ini. Kita tidak disuruh menjadi hamba sesiapa. Kepada kayu dan batu. Kepada nafas dan makanan. Kepada nafsu dan keserakahannya. Kepada kenderaan dan kepada tempat perlindungan. Kepada daun-daun kering. Ya, mungkin kita perlu semua itu, dalam masa yang sama kita menjadi hamba kepada mereka. Kita diperhambakan, tiap kali sesi siang dan malam. Tiap hari kita jadi kurungan yang membejatkan.
Membejatkan daya, akal, dasar pendirian, keinginan dan mengkuduskan semua yang dikatakan dari arus-arus psikologikal dari idealisme selalu menjanjikan.
Yang selalu menjanjikan hanya impian, tetapi bukan kebenaran dan keadilan buat diri. Kita ini apa.
Tidak lebih sekadar daging dan tulang bukan. Tidak lebih suara dan khayalan bukan.
Sila buat pusingan sebentar, lihat kembali kepada pendiri falsafah.
Siapakah mereka tanya Arora.
Mereka itu manusia. Ada salah silap. Tetapi mereka memberikan nyawa dan rupa. Mereka bukan mengajar, tetapi mereka tidak mahu manusia hanya terbiar dalam kebungkaman zaman yang memang selalunya bisu.
Pendiri falsafah, antara yang ditegaskan mengapa kita mahu hanya suatu yang menyenangkan perut - sedang perut tidak lebih beberapa inci sahaja. Dan berapa banyak kebendaan ingin dimuatkan ke dalam lubang perut kita. Nescaya ia hanya keinginan yang membuak-muak dari setiap zaman.
Dan berapa banyak penyesalan yang kita tanggung tatkala kita menumpukan diri kepada proses penumpukan nama dan benda atau harta.
Alora, jangan sembarangan berbicara.
Nah, kita memang tidak pernah mengakui kelemahan yang ada.
Tetapi
Tetapi kita ini tidak sedar diri. Kita hanya mahukan perlindungan dan keselesaan. Kita bimbangkan itu dan ini .sedangkan berapa ramai pangeran itu hanya mahu memuaskan diri. Kita ketakutan.
Apakah diri kita sebenarnya semata-mata, bingkisan Tuhan.
Bukan pengkhianat kepada Dia. Bukan pencaci Dia. Bukan penentang Dia.
Tentulah bukan.
Namun itulah yang kita lakukan, tanpa kita sedar.
Kita hidup sekularisme, membiarkan pil khayal mengkhayalkan ruang sedar kita. Membiarkan kita dalam pasungannya. Kita leka dengan kilasan ananiyyah kita. Dalam kucupan berahi dunia ini.
Alora melorot tajam matanya.
Benar, kita ini hanya mendakwa bingkisan Tuhan, di sebaliknya kita hanya sesuatu rawan yang tidak matang, menentang.
Betapa terlukanya Sang Nabi. Betapa terlukanya dia apabila ada yang menjahilkan dirinya. Jahil berserta sombong. Menolaknya seratus peratus. Ah, sedihnya. Dia terjajah. Dia dibius kekaguman dirinya. Manusia yang dipegang kekaguman diri, takut-takut diserang anti-perintah Tuhan, seperti yang dilakukan Iblis terhadap Nabi Adam a.s. Justeru, sabdanya yang sahih tidak mungkin ditolak apatah dimentahkan. Masalahnya, ia bukan semudah itu. Sungai yang memberikan sumber air kepada sekian makhluk, ia tidak mudah dianggap tohor atau dangkal apatah lagi cetek. Selagi belum ada kemarau panjang yang menyedut isinya. Dan ia belum pun pernah berlaku.
Apakah itu kebebasan seperti yang engkau dambakan, soal Alora.
Yang tuntas ditujukan kepada Tuhan. Tanpa keraguan kepada Tuhan. Kebebasan apa yang didamba, sekiranya kesasar dari jalan-Nya. Suara atau bisikan kepada diri, kebebasan itu mengikut nafsu diri.
Itu hanya khayalan individu itu. Mengapa kebenaran tidak ada dalam sabda. Tidak mungkin. Bahkan ia kebenaran. Cuma mesti dengan faham. Kerana dia telah dilindungi jarak dan kekaguman manusiawi. Kebebasan itu ada, dijamin kepada kita, bukan untuk merosakkan diri sendiri atau akal orang lain. Seseorang itu harus bertenang, bukan terlajak. Menjaga batas.
Lalu kebebasan itu sebenarnya apa, mengapa
Ia sesuatu yang menuju kepastian, bukan semakin jauh. Seperti layang-layang terputus tali. Bukan juga yang sentiasa berada di tempat yang sama. Bukan mengekalkan status quo.
Bayangkan berapa ramai berada di status sendiri, kekal dengan cara dan pendekatan yang sama.
Sistem juga tidak banyak pilihan di hadapan. Manusia pula mudah mengambil kesempatan, memonopoli rentak dan menguasai hala jalan.
Puncak, sekarang ini kita berada di puncak persimpangan dan puncak kewujudan.
Tetapi adakah benar kita berada di puncak kecenderungan kepada kebenaran, hakikat insani, jalan yang lurus
Atau sekadar lakonan semasa.
Lakonan dan drama pentas - suatu yang lazim kepada manusia yang alpa dan membiarkan dirinya larut dalam cahaya yang gilang-gemilang duniawi ini. Selama mana dia mahu dirinya berada di pentas yang sama, yang berkilau-kilau dengan pujian dan perhatian - namun semakin mendekati ketelanjuran dan kecanggungan yang diciptanya sendiri. Maka sejauh mana dia mampu membuat putaran, mencari jalan utama untuk kembali. Apakah dengan bekal akal, mampu menemukan papan tanda untuk tiba ke jalan utama, jalan yang lurus menuju Sang Pencipta, dengan segala kalbu yang jujur, redha dan kudus. Ah, manusia itu penuh keluh-kesah. Untuk apa?
Labels:
Cerpen
Post a Comment