MALAM 15 Syaaban bulan ruah jatuh pada hari Khamis malam Jumaat. Sekejap lagi masuk jam dua
belas malam ketika waktu dikuasai oleh bintang Zuhal dalam putaran bintang tujuh. Kata Makhdum Ali carilah waktu 14 hari sebelum bulan tua ketika bulan berpusing mengelilingi bumi dan bumi berpusing mengelilingi matahari di atas paku alam, tiba pada rupa sama selari segaris segala bulan, bumi dan matahari berhimpunlah bulan bumi matahari. Maka ketika itu muncullah rahu menelan bulan hingga gelap gelematlah segala alam. Nuar melihat ke langit dan merasakan inilah waktunya. 14 hari sebelum bulan tua, tepat jatuhnya bulan ruah 15 Syaaban pada hari Khamis malam Jumaat. Nuar menggamit Ju dalam terang bulan purnama. Ju yang faham mengunjukkan karung kecil kepada Nuar.
Ada semua," kata Ju perlahan. Di dalam karung itu berisi beras kunyit, bertih, sirih, pinang, 7 biji ketupat, 7 biji lepat, sebiji telur ayam selasih, jantung pisang dan limas upih.
Nuar menggamit Poji di sampingnya. Daun putarwali."
Poji mengangguk sambil mengunjukkan sumpik kecil dalam samar bulan. Dah cukup kering untuk dibakar," tukas Poji perlahan.
Kalau terlepas hari ini, kita kena tunggu tahun depan. Itu pun tak tahu dapat atau tidak waktu dan ketika yang tepat macam malam ini." Nuar bersuara perlahan, lalu melangkah melalui denai yang disuluh bulan perbani. Ju dan Poji mengikut langkah Nuar.
Tiada orang di Lepe Kabu ini yang berani menyebut nama itu. Nuar mengingati perkara ini sejak dia kecil lagi. Sejak zaman kanak-kanak ketika mula pandai bercakap dan masih kencing dalam seluar, dia telah ditakut-takutkan tentang nama ini. Maka sejak itu Nuar tidak berani menyebut namanya, hatta pangkal namanya atau bunyi a itu pun tidak berani disebutnya. Malah teringatkan nama itu sahaja Nuar terasa hendak terkencing.
Sering juga pada malam-malam hari Nuar tergigil-gigil apabila terlintas di kepalanya tentang nama itu. Dan sering juga Nuar terkencing apabila kepalanya terlalu ingin menyebut nama itu. Apabila kehendaknya terlalu kuat hendak menyebut nama itu, maka terkeluar bunyi a di pangkal nama itu di mulut Nuar.
Serentak terkeluar bunyi a itu Nuar terasa kainnya basah. Terkencing. Lalu Nuar menyumpah-nyumpah kepalanya yang begitu hendak mengingat dan menyebut nama itu. Besok tentu sahaja dia dibedal oleh meknya yang mengambil kain untuk dibasuh, kerana terkencing lagi dalam kain.
Zaman itu telah berlalu lama, tetapi nama itu terus lekat menghantui penduduk Kampung Lepe Kabu ini. Hari ini Nuar pulang ke kampung, mencari dua orang kawan sepermainannya semasa kecil dan menyatakan hasratnya. Nuar sudah beberapa lama menetap di Kuala Lumpur, tetapi selalu pulang ke kampung menjenguk kedua-dua ibu bapanya seperti mana pemuda kampung yang lain.
Poji dan Ju juga pernah bekerja di Pulau Pinang, di Kuantan, di Kota Bharu sebelum akhirnya pulang menetap di kampung. Hanya Ju yang sudah bertunang, sedang Nuar dan Poji masih bujang. Poji pulang setelah putus cinta ketika bekerja di Pulau Pinang. Tiada apa yang boleh dibuat di kampung kecuali menoreh getah. Poji kemudian menjadi penjual baju bundle di pasar malam di kampung dan pekan sekitarnya. Sesekali ketika harga getah naik, Poji turun juga menoreh getah di kebunnya. Zu setelah pulang dari bekerja di syarikat balak di Kuantan kini bekerja tetap sebagai kerani sekolah rendah di Kampung Lepe Kabu. Dengan adanya kerja kerajaan yang terjamin itu Zu mengambil keputusan untuk berumah tangga.
Tetapi kepulangan Nuar dengan misinya kali ini memang memeranjatkan Ju dan Poji. Bagaimanapun sejumlah wang ringgit yang ditawarkan Nuar jika misi ini berjaya mendiamkan Ju dan Poji. Malah seperti terpukau mereka menuruti Nuar, dan malam ini mereka siap untuk melaksanakan misi Nuar ini. Kepala mereka terbayang ringgit yang dikatakan Nuar, tetapi roma-roma di tubuh mereka juga turut meremang apabila memikirkan misi yang mereka lakukan ini.
Mereka akhirnya tiba di rumah gemulah Nek Tijah yang terletak jauh di hujung kampung. Rumah usang yang ditinggal terbiar sekian lama itu berdiri dalam gelemat malam oleh bayangan pokok-pokok kelihatan sangat menyeramkan. Mereka berhenti di rusuk rumah yang menghadap matahari jatuh. Nuar mencari tempat yang agak tersorok dan menyua tangan ke sumpik di tangan Poji.
"Kita asapkan putarwali."
Hari Khamis bulan cukup cahaya di langit, pedoman barat laut menunjukkan memperoleh laba. Nuar menghafal apa yang dicakapkan Makhdum Ali. Nuar melihat langit, mencari bintang pari. Angin kering timur laut cepat membarakan api di bawah rumpun putarwali. Asap mula membumbun di udara malam. Bau asap pahit perlahan-lahan bergerak ke arah rumah gelap arwah Nek Tijah. Poji dan Ju diam tidak bergerak. Batu. Tetapi ada roma-roma yang meremang berdiri.
"Kita tunggu." Nuar bersuara separuh berbisik.
Mereka menunggu seperti batu tegak di gelemat malam. Tetapi malam sebenarnya cerah oleh cahaya langit yang terang perbani.
"Nuar..." Ju bersuara mengisi bosan. "Apa cerita reformasi kau."
Nuar diam, kelihatan sedikit menggeleng. "Susah..." bau putarwali semakin pahit. "Demonstrasi, demonstrasi dan aku tak tahu di mana akhirnya. Aku mula bosan."
Ju diam. Apa yang dia tahu Nuar kandas pelajarannya di universiti kerana sibuk terlibat dengan demonstrasi mengikut kaum politik yang kononnya melancarkan reformasi dan menjatuhkan kerajaan yang ada. Nuar tak ke mana-mana selain menjadi barua politik, kandas dalam pelajaran, tidak ada kerja dan akhirnya tidak tahu apakah makna reformasi tanpa sebutir beras di dalam perutnya.
"Kau fikir menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya dapat melahirkan sebuah kerajaan baru yang adil, aman dan bahagia untuk semua orang." Ju hanya bertanya.
Nuar diam. Poji mencangkung mula tertarik.
"Kau mula bosan setelah reformasi tidak memberikan sebutir beras pun ke dalam perutmu."
"Aku mula bosan dengan percakapan demi percakapan, janji demi janji, dan ahli politik yang mula gila melihat kuasa berterbangan di atas kepalanya. Sedang aku pulang dan menanggung kelaparan sendiri-sendiri, kesusahan sendiri-sendiri. Besoknya kami turun lagi mendengar percakapan lagi, janji lagi, kutukan makian lagi. Kemudian kami berarak memaki hamun, mencarut dalam laman sosial dan kemudian menghirup gas pemedih mata. Dan pulang ke rumah menanggung kesakitan sendiri-sendiri."
"Aku tidak pernah fikir menjatuhkan kerajaan dengan kekerasan akan mendirikan kerajaan yang lebih baik. Ia akan melahirkan kerajaan yang lebih buruk oleh keadaan huru-hara dan perbalahan masing-masing kelompok yang dulunya bersatu untuk menjatuhkan kerajaan." Poji menyampuk (cerita mula menjadi tidak logik apabila Ju dan Poji anak kampung yang tidak berpelajaran mula bercakap seperti orang bijak pandai. Tetapi politik tidak memerlukan logik maka sesiapa yang bercakap tentang politik tidak memerlukan sebarang logik).
"Mesir, Libya, Tunisia terus bergolak tidak putus-putus setelah kerajaan dijatuhkan oleh tunjuk perasaan, kuasa rakyat kononnya. Indonesia juga tidak pernah lebih baik daripada zaman Suharto selepas hampir dua dekad reformasinya." Ju menambah (ketidaklogikan Ju dapat bercakap sebegini bijak terus berlangsung).
"Mereka ingin menjatuhkan kerajaan dan mendirikan sebuah kerajaan reformis yang liberal. Islam disamakan dengan agama-agama lain, undang-undang syariah diletakkan di bawah kuasa undang-undang sivil jika tidak pun mahkamah syariah dihapuskan terus, tiada hak istimewa bumiputera kerana semua orang harus mempunyai hak yang sama. Masyarakat berhak mempunyai hak ke atas pilihan mereka, termasuk untuk murtad, untuk berkahwin sesama jenis. Ah... aku mula bingung memikirkan negara baru yang bakal lahir di tangan reformis." Nuar bercakap panjang.
Hampir dua dekad selepas malam itu, Nuar dilantik bertanding atas nama parti pembangkang. Tetapi Nuar kalah teruk kerana ketika itu orang Melayu bangkit menentang cita-cita liberal kaum reformis. Pakatan pembangkang berpecah-belah dan saling menyalahkan satu sama lain.
"Aku tidak lihat pembangkang melakukan apa-apa yang lebih baik di negeri-negeri yang dikuasai mereka kecuali menyalahkan Kerajaan Pusat atas segala yang tidak mampu mereka lakukan." Ju menambah (ia adalah sebuah propaganda yang memualkan, tetapi benar).
"Begini." Nuar mula ingin bersyarah. "Ia bermula dengan nama rakyat, kemudian rasuah, kebebasan dan akhirnya kuasa. Begitulah setiap perjuangan reformis ini bermula." Nuar menguis-nguis pasir di tanah. "Setelah regim atau kerajaan yang berkuasa dijatuhkan maka kerajaan reformasi akan bermula semula dari padakuasa, kemudian menyekat kebebasan, melakukan rasuah dan akhirnya menindas rakyat. Kemudian datang lagi perjuangan untuk rakyat, rasuah, kebebasan dan kuasa. Begitulah kitarannya berlangsung tidak putus-putus." Nuar mendongak langit.
Hampir sedekad kemudian pihak pembangkang menjatuhkan kerajaan, tetapi mereka tidak dapat lagi menyalahkan pemerintah pusat atas segala kebodohan mereka kerana merekalah kini pemerintah pusat. Mereka tidak dapat melakukan apa yang lebih baik daripada apa yang mereka runtuhkan, sebaliknya mereka sendiri yang pula bergelumang dengan rasuah, berebut kuasa, berbalah dan mula menyengsara hidup rakyat oleh ekonomi yang tidak dapat mereka uruskan dengan baik.
Malah lebih buruk lagi prinsip liberal dan hak sama rata telah menimbulkan pertelagahan antara kaum yang parah, lebih-lebih lagi apabila Islam mula dicerca secara sinis malah terbuka. Raja-raja Melayu juga, bahkan apa sahaja yang bernama Melayu dan Islam diperlekehkan di mana-mana. Oleh kerana tidak ada lagi undang-undang pencegahan yang keras seperti ISA, maka perbalahan kaum pun berlaku.
"Diam. Aku dengar sesuatu." Nuar semerta merendahkan badannya. Ju dan Poji juga. Bau asap putarwali menyebar ke udara.
"Awe Boceh." Dalam gigil suara Nuar menyebut nama yang tidak pernah berani disebutnya. "Poji, susun isi karung di depan sana." Nuar memberi arahan. Poji segera menurut walaupun bulu romanya meremang dan lututnya menggigil-gigil.
Menurut bari orang Lepe Kabu, Awe Boceh ialah sejenis hantu yang tidak boleh disebut namanya. Apabila tersebut sahaja namanya, maka esok rumah yang menyebut akan diberak oleh Awe Boceh. Bergumpalan dan berpintalanlah tahi di bawah saji, di atas para dan sebagainya.
Lebih buruk lagi rumah yang diberak oleh Awe Boceh mula diganggu dengan pelbagai perkara sehinggalah dipulihkan oleh bomoh dan pawang. Nek Tijah ketika hidup dikatakan menjaga Awe Boceh, maka itu Awe Boceh dikatakan berdiam di rumah Nek Tijah. Selepas kematian Nek Tijah tiada sesiapa yang berani menjenguk dan lalu di rumah itu lagi.
Nuar kembali ke kampung Lepe Kabu dengan cerita yang melucukan tetapi menyeramkan - iaitu menangkap Awe Boceh. Katanya dia ditawarkan sejuta ringgit untuk membawa Awe Boceh kepada pembeli yang tidak diketahui oleh Ju dan Poji (jumlahnya sama untuk membayar ahli DUN yang menang berpaling tadah, dan ceritanya juga sama, tidak tahu siapa pembeli atau pembayarnya).
Ju dan Poji termasuk Nuar sendiri pun tidak tahu apa tujuan si pembeli itu mahukan Awe Boceh. Mereka hanya mampu membuat telahan bahawa si pembeli itu mungkin anak Nek Tijah, atau seseorang yang menuntut ilmu ghaib, atau dia ialah bomoh yang berkhidmat kepada orang kaya atau ahli politik yang mahu menggunakan Awe Boceh untuk tujuan tertentu.
Tetapi mereka tidak mahu ambil tahu, yang penting duit sejuta ringgit itu. Maka malam itu mereka datang dengan persediaan yang diarahkan oleh Makhdum Ali, orang tua misteri yang muncul dalam mimpi di kepala Nuar.
Pada malam itu mereka menyaksikan lembaga berperut buncit, gondol dan bermata merah dalam gelemat malam meratah 7 biji ketupat dan lepat serta sebiji telur di hadapan mata mereka. Mereka diam dan terkencing dalam seluar tetapi Nuar membuat persediaan yang cukup.
Sebaik-baik muncul bintang pari, dan waktu dalam kuasa bintang zuhal bertukar yang dikatakan saat segala hantu syaitan menjadi lemah, Nuar pun melontar duri mengkuang bersama jala buruk yang telah diperasap kemian ke arah lembaga tersebut. Mereka mendengar raungan yang sungguh mengerikan. Selepas itu mereka pulang dengan seluar yang basah oleh terkencing dan terkincit menghela jala yang bergumpalan duri mengkuang dan asap hitam pejal yang terperangkap di dalamnya.
Nuar, Ju dan Poji hilang dari kampung selepas itu. Tiada siapa yang tahu ke mana mereka dan apa yang berlaku di kampung Lepe Kabu malam itu. Apa yang mereka tahu tujuh hari tujuh malam raungan seakan-akan suara Nek Tijah menjerit dan menangis dari rumah.
Pelbagai bomoh dan pawang dipanggil tetapi suara itu hilang sendiri selepas tujuh hari berlalu. Tujuh hari selepas itu, wakil rakyat yang memenangi kerusi DUN Lepe Kabu meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada pemimpinnya bertanding - kononnya atas strategi untuk menjadikan pemimpinnya itu sebagai menteri besar. Mereka lalu menamakan strategi ini sebagai Lepe Kabu Move.
Pada hari pengiraan undi sesuatu yang misteri dan luar biasa telah berlaku. Semua kotak undi yang dibuka setelah pengundian selesai telah dipenuhi tahi-tahi yang banyak. Semua kotak undi. Semua!
Selepas itu rakyat mula tahu bahawa demokrasi di dalam kotak-kotak undi telah diberak dan dinajisi oleh ahli-ahli politik yang berjuang demi kepentingan kuasa untuk diri mereka.
Pada bulan tua, saat bulan berada di atas ufuk dan matahari segaris di atas ufuk berhimpun dengan bulan dan bumi; alam tiba-tiba menjadi gelap oleh gerhana. Semua menjadi panik dan kalut. Setelah gerhana berlalu keadaan tidak lagi seperti dahulu; kemarau, banjir, tanah runtuh, ribut silih berganti. Ekonomi, politik dan masyarakat juga mengikut. Keadaan menjadi tidak stabil dan tidak pernah membaik lagi. Lahirlah segala kesesatan menolak hadis, menghina Rasulullah, merobek al-Quran, bertuhan kepada akal fikiran dan segala yang tidak mampu diceritakan lagi.
Post a Comment